Ahad, 21 Ogos 2022 | 1:41pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Isu buli dalam khidmat kesihatan tuntut penyelesaian menyeluruh

MASALAH tekanan di tempat kerja akibat kes buli serta tugasan berlebihan petugas kesihatan adalah isu yang menjadi tumpuan siasatan petugas khas di Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.

Situasi membimbangkan ini turut dikaitkan dengan beberapa insiden kematian, sekali gus memerlukan siasatan lanjut terhadap punca utama sedemikian.

Hakikatnya, situasi semasa keadaan kerja dalam sektor berkenaan adalah satu cabaran getir perlu dihadapi setiap petugas perubatan.

Beban kerja sedia ada dengan pertambahan pesakit dari masa ke semasa terutama ketika berlaku krisis kesihatan, tekanan akibat berdepan pelbagai situasi kecemasan, waktu bekerja panjang serta keperluan berada 'dalam panggilan' atau on call adalah sebahagian situasi cukup berbeza berbanding dengan sektor pekerjaan bukan kesihatan.

Meskipun pada masa ini perkhidmatan dalam bidang kesihatan sudah jauh berbeza berbanding 20-25 tahun lalu dengan adanya elaun kerja lebih masa dan sesi giliran untuk pegawai perubatan siswazah, namun tekanan bekerja masih wujud.

Beban kerja yang teruk dan berat dialami petugas kesihatan boleh ditinjau berdasarkan maklumat dikongsikan individu terbabit dalam media sosial.

Terdapat beberapa faktor mengapa wujud tekanan bekerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan yang akhirnya dikaitkan dengan gejala buli.

Punca pertama budaya pegawai kanan atau senior membuli pegawai lebih junior adalah masalah sikap dan tingkah laku.

Umum mengetahui, kebanyakan pegawai perubatan melalui tempoh pengajian agak panjang berbanding bidang lain.

Justeru, tumpuan utama ketika tempoh pengajian banyak tertumpu kepada dimensi kemampuan seseorang menguasai pengetahuan serta mahir dalam kemahiran yang didedahkan.

Namun, aspek moral dan memiliki tingkah laku menepati norma insan serta kemanusiaan tidak diberikan penilaian sama seperti kemampuan pengetahuan dan kompetensi perubatan.

Meskipun diajar dalam kurikulum sebagai doktor perubatan, namun penilaiannya tidak sama seperti peperiksaan berdasarkan pengetahuan dan kompetensi.

Ini menyebabkan sebahagian mereka yang dinilai sebagai pandai dan mendapat markah tinggi dalam peperiksaan bertulis dan klinikal tetapi sebahagiannya ada yang gagal berfungsi menghormati individu lain sebagai insan.

Kewujudan 'little napoleon' dalam skim perkhidmatan bukan sahaja wujud dalam bidang perubatan, namun boleh muncul dalam apa sahaja disiplin pekerjaan sehingga mengganggu perjalanan organisasi serta menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai.

Lebih buruk lagi apabila ia dianggap sebagai menyalah guna bidang kuasa tertentu dalam mempamerkan tingkah laku tidak sihat sehingga menyebabkan tekanan kepada petugas kesihatan lain.

Punca kedua pula melalui perspektif mereka yang berasakan dibuli, adalah berkaitan dengan kemahiran dan kompetensi dimiliki pekerja.

Kebiasaannya, mereka yang berpengetahuan dan kompeten tidak menghadapi masalah berdepan dengan pelbagai cabaran dan cabaran sukar dalam pekerjaan.

Namun mereka yang kurang pengetahuan, kurang mahir serta 'lembab' dalam bertugas, menyifatkan keadaan menjadi sukar sehingga menyebabkan banyak 'backlog' terhadap tugasan.

Akhirnya, mereka kemudian menganggap seolah-olah dibuli dengan tugas yang banyak sedangkan hakikatnya, mereka lemah dan gagal menyelesaikan kerja dipertanggungjawabkan.

Justeru, kedua-dua situasi di atas perlu ditangani dengan bijak bagi membolehkan jalan tengah terbaik dapat dipertimbangkan untuk memastikan perkhidmatan diberikan kepada masyarakat dapat diteruskan.

Tekanan akibat aduan pihak 'kayangan' 

Tidak dinafikan aduan demi aduan dari pihak yang terbabit diterima menyebabkan pelbagai jawatankuasa sementara diwujudkan untuk membuat penyiasatan, sehingga mungkin membawa kepada penyelesaian masalah yang berpotensi berubah dari masa ke semasa.

Satu lagi bentuk buli jarang diketengahkan ialah tekanan terhadap kakitangan kesihatan akibat aduan terus ke pihak KKM oleh pihak dianggap 'kayangan' apabila terdapat sebarang isu tidak puas hati dengan perkhidmatan kesihatan diberikan.

Dalam era 90-an dahulu, bentuk buli seperti ini tidak wujud. Masyarakat ketika itu saling menghormati dan tidak ada yang potong barisan untuk mendapat perkhidmatan di klinik.

Namun pada hari ini, wujud kelompok minoriti mempunyai persepsi mereka perlu dilayan seperti orang kenamaan dan dihormati kedudukan mereka ketika hadir mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Laporan tidak rasmi di lapangan sebelum ini menyebut, 'janganlah silap apabila berurusan dengan mereka'. Pasti ada laporan tunjuk sebab perlu dibuat untuk menjelaskan keadaan dan kekeruhan.

Fenomena seperti ini menyusahkan sebahagian kakitangan kesihatan yang pada masanya perlu bertugas mendepani masyarakat dalam tugasan hakiki mereka.

Lebih membebankan apabila setiap aduan yang sampai terus ke pihak atas perlu dijawab satu persatu sehingga menyebabkan terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan mereka yang terbabit.

Kenal pasti cabaran 

Justeru, 'Kertas Putih' perkhidmatan kesihatan yang menumpukan kepada satu sistem kalis masa depan dalam menjamin perkhidmatan terbaik kepada masyarakat diharapkan dapat mengenal pasti cabaran berkenaan serta mengambil proaktif bagi mengelakkannya menjadi terus serius.

Penyelesaian kepada isu buli memerlukan perubahan besar dalam penilaian kompetensi mereka di dalam organisasi.

Selain markah daripada ketua jabatan, laporan perkhidmatan tahunan juga sepatutnya mendapat maklum balas daripada pegawai junior serta kakitangan bertugas dalam organisasi sama.

Ini sangat relevan dalam laporan tingkah laku komunikasi, kesopanan bahasa serta disiplin dalam bidang tugasan.

Penilaian juga perlu dilakukan terhadap mereka yang kurang berpengetahuan dan tidak kompeten.

Mereka perlu disandarkan kepada pakar perubatan yang menilai mereka tanpa campur tangan pihak pengurusan yang tidak ada kena mengena dengan bidang kompetensi perubatan.

Seandainya doktor perubatan didapati tidak kompeten ia sepatutnya perlu diberikan laluan alternatif lain untuk diberhentikan.

Campur tangan ibu bapa 'berpangkat', menggunakan 'kabel' tertentu untuk meraih simpati supaya anak mereka ini dipertahankan perlu dihentikan.

Pendapat pakar dalam bidang perlu diguna pakai bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Selain itu, bagi orang kenamaan yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan, mereka mungkin perlu diberikan laluan khas tetapi dikenakan bayaran tertentu sesuai dengan kedudukan dan pendapatan mereka.

Badan pemantau perkhidmatan di setiap klinik bagi menjawab aduan perlu diwujudkan untuk mengatasi masalah ditimbulkan dengan serta-merta.

Ia perlu diselesaikan tanpa campur tangan pegawai tertinggi KKM jika mahu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan moral petugas kesihatan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berita Harian X