Jumaat, 12 Ogos 2022 | 12:57pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Wujudkan garis panduan sistem kerja 4 hari tanpa mengikat majikan

Selaras pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) berkuat kuasa 1 September ini, timbul saranan supaya kajian dibuat untuk meneliti kebolehlaksanaan sistem kerja empat hari merentasi semua sektor ekonomi negara, termasuk perkhidmatan awam.

Ini bermakna pekerja bekerja empat hari seminggu dibayar gaji dan faedah kerja sama, tetapi dengan beban kerja sama atau produktiviti sama perlu dikekalkan.

Sebenarnya, ia bukan baharu di negara ini, tetapi kilang besar sudah lama melaksanakannya menerusi sistem kerja giliran (syif). Dalam aturan kerja ini, pekerja akan bekerja selama 12 jam sehari selama empat hari dan berehat selama tiga hari. Namun, dari segi waktu operasi, kebanyakan kilang beroperasi sepanjang tahun menerusi sistem kerja syif tidak menjejaskan pengeluaran mereka.

Seksyen 60A Akta Kerja 1955 memperuntukkan majikan tidak boleh memaksa pekerja bekerja lebih 12 jam sehari, termasuk kerja lebih masa atau melebihi 10 jam secara berterusan serta tidak melebihi 48 jam seminggu (dikurangkan kepada 45 jam berkuat kuasa 1 September ini).

Bagi perkhidmatan awam, Perintah Am BabG1974 memperuntukkan waktu bekerja penuh adalah dari jam 8 pagi hingga 4 petang (tidak termasuk satu jam 15 minit rehat) dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari, manakala sebarang perubahan waktu bekerja perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Peruntukan undang-undang sedia ada hanya menetapkan tempoh masa maksimum waktu bekerja dalam sehari dan seminggu, justeru sistem bekerja empat hari bukan mustahil dilaksanakan, sebaliknya bergantung kesediaan majikan untuk melakukan kajian kebolehlaksanaan dan membuat pengubahsuaian sistem kerja sedia ada.

Pelaksanaan sistem kerja empat hari rata-rata masih dalam skala kecil dan berada pada peringkat kajian rintis dengan Iceland antara mendahului, iaitu hampir 90 peratus pekerjanya menikmati kemudahan hari bekerja lebih singkat.

Belgium, United Kingdom (UK), Scotland, Wales, Ireland, Sweden, Jerman, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sepanyol, New Zealand, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada agak terbuka dengan dapatan kajian rintis.

Ironinya, tempoh bekerja agak terkehadapan dalam pelaksanaan sistem kerja empat hari, terutama di Eropah berada pada purata antara 35 hingga 40 jam seminggu, sedangkan Malaysia baharu sahaja memendekkannya kepada 45 jam seminggu.

Kepuasan pekerja, kebimbangan majikan

Tinjauan firma Qualtrics mendapati 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara ini lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu. Kajian itu melaporkan kebanyakan responden percaya bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup pekerja (86 peratus); kesejahteraan mental (82 peratus) dan produktiviti (83 peratus), selain meningkatkan kesetiaan kepada majikan.

Namun, pandangan majikan juga perlu diambil perhatian sebelum sebarang dasar diperkenalkan.

Rata-rata majikan di negara ini berpandangan situasi ekonomi semasa tidak sesuai untuk pelaksanaan idea itu.

Kaji selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendapati 60 peratus daripada 170 syarikat tidak mempunyai kerja syif dan 78.6 peratus daripada 112 syarikat mempunyai kerja syif tidak bercadang melaksanakan amalan minggu bekerja lebih singkat.

Kajian juga melaporkan sebanyak 55 peratus daripada 111 syarikat mempunyai kerja syif dan 38.3 peratus daripada 162 syarikat dengan kerja syif berpandangan tidak dapat melaksanakan sistem itu.

Diakui, kebanyakan perniagaan masih belum pulih sepenuhnya selepas bergelut pandemik COVID-19. Syarikat dalam industri tertentu masih belum beroperasi dalam kapasiti penuh disebabkan kekurangan pekerja, terutama pekerja asing.

Kebimbangan akan berlaku peningkatan kos operasi mendadak ada asasnya bagi kebanyakan syarikat yang sudah pun terbeban dengan penguatkuasaan dasar gaji minimum RM1,500.

Kebanyakan majikan berpandangan pertambahan kos pengeluaran dalam bentuk kos upah kerja lebih masa dijangka akan berlaku mengambil kira keperluan menjaga kepentingan pelanggan sepanjang masa, selain faktor tenaga kerja berbeza di setiap bahagian dan syarikat.

Kaji selidik MEF mendapati 65 peratus syarikat berpandangan khidmat pelanggan mungkin terjejas sekiranya waktu bekerja empat hari seminggu dilaksanakan.

Jumlah cuti umum di negara ini dikatakan antara terbanyak di dunia mengatasi purata global, iaitu lebihan 11 hari dan sekiranya kerja empat hari turut dilaksanakan, wujud kebimbangan operasi organisasi akan turut terjejas.

Walaupun produktiviti di tempat kerja tidak ditentukan masa bekerja diperuntukkan, rata-rata majikan mengambil kira hal itu. Dengan tahap produktiviti semasa agak rendah, pengurangan hari bekerja dijangka menjejaskannya, seterusnya memberi impak kepada pulangan syarikat.

Terdapat juga pandangan keperluan bekerja untuk masa panjang dalam sehari (12 jam) selepas jumlah hari bekerja dalam seminggu dikurangkan, akan menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja kerana faktor lesu upaya.

Majikan juga berpandangan tiada keperluan mendesak untuk melaksanakannya kerana dasar AKF bakal memberi peluang kepada pekerja untuk memohon kemudahan seperti perubahan waktu dan hari bekerja serta tempat kerja.

Kesediaan syarikat, sektor awam

Dasar ini membenarkan pekerja membuat surat permohonan kepada majikan yang pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari secara bertulis mengenai status permohonan sama ada menerima atau menolak dengan alasan.

Pihak berkepentingan juga mengesyorkan AKF seperti bekerja dari rumah, penggiliran kerja, waktu kerja anjal atau kerja secara hibrid boleh diteruskan atau ditambah baik.

Bagaimanapun, masih ada harapan untuk merealisasikan sistem itu kerana dalam kaji selidik MEF, 20.4 peratus syarikat tidak mempunyai syif dan 11.7 peratus syarikat mempunyai syif, menyatakan kemungkinan akan melaksanakan minggu bekerja empat hari. Walaupun jumlah syarikat kecil, kesediaan melaksanakan idea itu harus dilihat positif.

Sektor awam pula dilihat lebih terbuka dengan cadangan pelaksanaan kerja empat hari. Media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan pasukan khas mengkaji cadangan bekerja empat hari seminggu.

Ia akan melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam bersesuaian untuk pelaksanaan masa kerja itu dan jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Turut akan dikaji, aspek pulangan pelaburan, sama ada relevan untuk dilaksanakan atau tidak. Ruang dan masa secukupnya perlu diberikan kepada majikan mengkaji kesesuaian pelaksanaan sistem itu, termasuk kebebasan menentukan jenis

perniagaan, peringkat dan pekerjaan sesuai melaksanakannya tanpa menjejaskan operasi.

Satu garis panduan bersifat tidak mengikat majikan untuk melaksanakannya, sebaliknya memberi pilihan kepada majikan menentukan kesesuaian pelaksanaan mengambil kira model perniagaan adalah wajar dibangunkan untuk rujukan masa hadapan.

Lambat-laun desakan menyediakan kemudahan kerja empat hari mungkin akan berlaku, terutama apabila berlaku persaingan mendapatkan bakat dan mengekalkan mereka di organisasi. Keterbukaan majikan dalam hal ini adalah penentu kebolehlaksanaan idea sistem kerja empat kerja pada masa hadapan.

Penulis adalah Pensyarah Pengurusan dan Gelagat Organisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Perniaaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X