Selasa, 5 Julai 2022 | 12:15pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Subsidi, M40 terkilan T20 dipinggirkan?

Topik subsidi bersasar hanya tertumpu kepada B40 sedangkan golongan M40 dan T20 yang turut terjejas akibat kenaikan kos sara hidup serta inflasi harus dikupas secara rasional, bukan secara beremosi. Sebaliknya, perbincangan ilmiah harus digalakkan serta kebenaran perlu dicari untuk kepentingan negara dan seluruh rakyat.

Perbincangannya perlu dilihat dalam konteks keseluruhan, iaitu politik, sosial dan ekonomi, manakala sebarang kesimpulan harus adil, bukan sekadar bersifat populis.

Justeru, perbincangan perlu bermula dengan melihat kepada definisi subsidi itu sendiri sebelum melangkah lebih jauh membicarakan perkara lain.

Subsidi adalah bantuan kewangan atau kebendaan diberikan kerajaan untuk meringankan beban atau memastikan harga barangan dan komoditi berada dalam tingkat harga 'mampu', demi kesejahteraan, kelangsungan hidup serta kelestarian penghidupan rakyat dalam jangka panjang.

Bentuk subsidi diamalkan di dunia, secara amnya bertumpu ke arah sektor pendidikan dan kesihatan seperti di United Kingdom (UK), Kanada, Belanda serta Jerman demi memastikan kedua-dua perkhidmatan itu dapat dimanfaatkan bukan sahaja warga negara mereka, malah pemastautin di sana secara berterusan.

Ada juga negara memberi subsidi dalam memastikan sektor pertanian dan makanan dapat bertahan serta keselamatan makanan dipertahankan seperti Indonesia, Iran, Korea dan India.

Penjelasan ringkas ini seharusnya sudah boleh menangkis dongeng bahawa Malaysia adalah negara tunggal dunia memberikan subsidi seperti diungkap beberapa pembuat polisi negara kebelakangan ini.

Justeru, persoalan seterusnya perlu dirungkai, adakah hanya B40 layak menerima subsidi?

Saban kali, apabila topik subsidi dibincangkan, ia sering bertumpu ke arah keperitan dan kepayahan golongan B40 serta bagaimana mereka perlu dibantu.

Tidak dinafikan ia satu langkah amat wajar dan harus dipuji. Sememangnya B40 adalah golongan sangat rapuh serta terkesan apabila berlaku peningkatan kos hidup dan kenaikan harga barangan.

Bagaimanapun, kita perlu menelitinya lebih lanjut adakah ia adil dan berlaku kesaksamaan?

Apabila beban subsidi meningkat sedikit seperti berlaku ketika ini apabila diunjurkan subsidi bakal mencecah RM77.3 bilion, maka kita mula menekankan subsidi bersasar, iaitu hanya untuk golongan B40 yang layak menerima subsidi dan pada masa sama, seolah-olah M40 serta T20 tidak terkesan. Apakah benar begitu?

Kita harus sedar dan akur, subsidi adalah negative tax dari segi sistem percukaian. Dalam konteks Malaysia, sistem percukaian negara adalah berbeza daripada sistem percukaian Islam, iaitu zakat.

Zakat adalah secara kadar rata, iaitu 2.5 peratus, sebaliknya Malaysia mengamalkan sistem percukaian progresif, iaitu semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi kadar cukai yang ditanggung.

Melihat dari sudut ini, golongan M40 dan T20 sudah pun melakukan pengorbanan dengan membayar kadar cukai tinggi untuk memastikan perkongsian kekayaan, demi memenuhkan kantung negara bagi melaksanakan projek pembangunan.

Oleh itu, subsidi seperti diperjelaskan pada awal tulisan ini adalah bermatlamat untuk 'berkongsi' kekayaan negara, memastikan rakyat terpelihara dan tidak sengsara.

Bukankah dengan menidakkan hak M40 dan T20 daripada 'menikmati' perkongsian kemewahan itu adalah tindakan zalim dan tidak adil?

Tidakkah ini bermaksud mereka seolah-olah dihukum dua kali? Pertama, dengan kadar cukai lebih tinggi, manakala kedua dengan dinafikan hak berkongsi kemewahan negara. Tidakkah ini akan menghantar isyarat bahawa, seolah-olah kita bertentangan dengan produktif?

Persoalan seterusnya apakah mungkin subsidi bersasar akan tersasar? Tidak dinafikan jumlah untuk subsidi sekarang agak besar, namun jangan dilupakan prospek pertumbuhan ekonomi negara juga sekarang agak baik.

Ini dapat dilihat seperti rating kedaulatan negara dinaikkan ke A- oleh S&P dan kita ditanda aras sebagai stabil berbanding negatif sebelum ini. Malah, pertumbuhan ekonomi untuk 2022 juga dijangka berada pada landasan amat baik, iaitu 6.1 peratus.

Penambahan drastik subsidi ke RM77.3 bilion adalah nilai melambung, akibat kenaikan dalam harga komoditi utama yang juga menjadi penyumbang kepada hasil negara.

Apa dikhuatirkan adalah perancangan subsidi bersasar berbentuk agihan tunai ini tidak mampu untuk menyaingi kenaikan bebanan bakal dihadapi B40, apabila pengeluar, peruncit dan pembuat yang akan mengalihkan kenaikan dalam kos kepada pengguna.

Akhirnya, pengguna khasnya B40 sebenarnya akan menerima impak lebih teruk berbanding sebelumnya.

Subsidi harus dilihat dari konteks yang suci, sebagai satu medium kerajaan berkongsi kemewahan dan kekayaan negara yang insya-Allah ada barakahnya, bukan sebagai sesuatu jijik, menjadi liabiliti negara serta harus dinikmati rakyat semua.

Justeru, janganlah menghukum rakyat M40 dan T20 buat kali kedua selepas membayar cukai progresif dan tinggi hingga dinafikan hak menikmati subsidi (cukai negatif).

Penganalisis Ekonomi, INCEIF University

Berita Harian X