Isnin, 16 Mei 2022 | 11:49am

'Laungan demokrasi bagaikan tak laku lagi di Asia Tenggara'

APAKAH isyarat boleh diberikan susulan keputusan Pilihan Raya Presiden Filipina terhadap pembangunan politik dan demokrasi di Asia Tenggara?

Pemerhati politik dan kumpulan hak asasi Filipina melihat demokrasi di negara berkenaan semakin melemah. Kemenangan besar ini memberi gambaran kepada kembalinya satu daripada dinasti politik terbesar dan berkuasa di negara itu suatu ketika dahulu.

Ferdinand Marcos Jr dikenali sebagai Bongbong, yang dipilih pengundi negara itu dengan majoriti besar, sukar mengikis bayangan pentadbiran kuku besi bapanya sebelum ini. Beliau, malah enggan memohon maaf ke atas pelanggaran hak asasi manusia dilakukan bapanya.

Oleh itu, beliau tidak dapat lari daripada persepsi negatif daripada kumpulan hak asasi yang bimbang kepada masa depan demokrasi negara berkenaan. Ini dikuatkan pula dengan keputusannya membentuk pasukan pentadbiran bersama Sara Zimmerman Duterte-Carpio, iaitu anak kepada Presiden Duterte, yang juga Timbalan Presidennya, Jun nanti.

Presiden Duterte pula masih disiasat pelbagai badan antarabangsa mengenai tuduhan pelanggaran hak asasi manusia dalam perangnya terhadap mafia dadah.

Perkembangan politik ini juga seolah-olah memberikan satu trend kepada pembangunan demokrasi di Asia Tenggara. Jika pada awal 1990-an dahulu, negara Asia Tenggara dilanda gelombang pendemokrasian politik dengan menyaksikan tumbangnya rejim autoritarian seperti Indonesia dan Filipina serta bermulanya gerakan demokrasi di Kemboja, Myanmar, Thailand dan Malaysia, mutakhir ini keadaan adalah sebaliknya.

Demokrasi di Myanmar dan Thailand sudah mati apabila tentera merampas kuasa. Di Indonesia, menurut satu rencana dalam Jakarta Post minggu lalu, masa depan demokrasi di negara berkenaan semakin menjadi tanda tanya.

Pemerhati politik Indonesia semakin tidak yakin demokrasi akan terus mekar dalam pascapentadbiran Jokowi apabila beberapa dinasti keluarga politik besar semakin galak bekerjasama dengan pihak tentera untuk mengembangkan pengaruh mereka.

Di Malaysia dan Thailand pula, kerajaan memerintah dan pemimpin politik yang sebelum ini dijatuhkan kuasa rakyat dengan pelbagai tuduhan rasuah serta salah laku, menjadi semakin popular dan berkemungkinan membuat kemunculan semula dalam landskap politik tempatan.

Persoalannya, mengapa rakyat Filipina memberikan kemenangan besar terhadap gabungan Marcos Jr dan Sara Duterte sedangkan mereka daripada dinasti keluarga politik berpengaruh yang terpalit dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan krisis kemanusiaan? Mengapa Leni Robred yang juga penganjur kuat isu hak asasi manusia ditolak?

Selepas hampir tiga dekad rakyat Filipina mengecapi demokrasi, pembangunan ekonomi negara berkenaan masih pada takuk lama. Kerajaan yang sebelum ini melaung-laungkan demokrasi masih gagal membawa perubahan pembangunan di negara berkenaan.

Selatan negara itu masih bergolak dengan serangan terorisme dan serpihan kumpulan pejuang di sebalik perjanjian damai ditandatangani. Kira-kira 6.4 peratus penduduk negara berkenaan menganggur dengan sebelum pandemik, lebih 2.2 juta bekerja di luar negara yang kebanyakannya di Amerika Syarikat dan Asia Barat.

Rakyat Filipina memerlukan kerajaan kuat dan sudah letih dengan retorik demokrasi serta hak asasi. Ahli politik pula lebih menumpukan pengumpulan kekayaan dan tidak memperjuangkan nasib rakyat seperti mereka laungkan. Mereka lebih banyak berpolitik berbanding menyelesaikan masalah.

Apa yang rakyat Filipina perlukan adalah peluang pekerjaan untuk lari daripada kemiskinan. Walaupun Duterte belum berupaya mengatasi masalah berkenaan ketika pentadbirannya, rakyat Filipina memerlukan kesinambungan politik.

Mereka tidak termakan dengan janji Robred untuk menambah baik sektor awam, memperbaiki semula sistem kesihatan dan membantu kumpulan masyarakat terpinggir yang tertinggal daripada arus pembangunan. Janji itu sudah lama mereka dengar lebih tiga dekad lalu.

Oleh itu, pemilihan Bongbong adalah manifestasinya. Ia juga menunjukkan rakyat Filipina bersedia bertoleransi ke arah politik yang lebih autoritarian di bawah Marcos Jr demi kelangsungan hidup mereka

Di Filipina, politik naungan (patronage) dan bukannya kepartian memainkan peranan besar. Keluarga dinasti politik mempunyai kekuasaan politik untuk bagaimana wang negara diagihkan.

Kebanyakannya dibelanjakan untuk kawasan konstitusi yang dinasti ini berkuasa. Akibatnya wang pembangunan tidak agihkan secara adil. Ini juga menjelaskan mengapa peluang pekerjaan masih terhad dan kemiskinan tegar semakin melebar.

Namun, dinasti keluarga ini adalah kaya dan mengawal infrastruktur media negara berkenaan seperti radio, televisyen serta internet, sekali gus mempengaruhi pendirian dan sikap politik mereka. Kemenangan Marcos Jr ini juga dikatakan mendapat sokongan puak politik lain dinaungi keluarga Duterte, Aroyo dan Estrada.

Rakan penganalisis di Manila dan Delhi melihat keputusan ini sebagai satu referendum kepada penjajaran politik serantau. Prof Rommel Banloi umpamanya berhujah hubungan Manila dengan Beijing akan menjadi lebih rapat seperti dilakukan Presiden Duterte sebelum ini.

Walaupun dasar Manila ke atas Beijing akan sentiasa berhati-hati kerana permasalahan pertindihan tuntutan di Kepulauan Spratly, Marcos Jr akan menggunakan pendekatan diplomasi pesona dalam berurusan dengan kuasa besar berkenaan.

Hubungan baik dua negara terjalin bukan bermula daripada Duterte, tetapi ketika pentadbiran ayahnya.

Adakah ini tamparan kepada Amerika Syarikat (AS) kerana bekas koloninya semakin berkiblat kepada kuasa China? Agak awal untuk membuat kesimpulan itu.

Menurut Prof Baladas Ghoshal dari Universiti Jawahalal Nehru, dasar luar Manila untuk rapat dengan Beijing bertitik tolak kepada faktor ekonomi dan perdagangan. Filipina antara negara Asia Tenggara mempunyai kedekatan geografi dengan China.

Kuasa besar itu menawarkan pelbagai bantuan ekonomi kepadanya. Manila pula harus lebih pragmatik dan sukar menolak kerana asas ekonomi serta perdagangannya masih lemah.

Hubungan terjalin akan meletakkan China dalam keadaan lebih selesa untuk mempertingkatkan pengaruhnya di Filipina.

Penulis adalah Felo Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X