Jumaat, 15 April 2022 | 10:00am

Pemilihan PKR 2022 tentukan nafas baharu, hala tuju parti

PEMILIHAN PKR 2022 dikatakan perlu menjadi titik perubahan kepada hala tuju parti itu terutama selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang sebagai kerajaan pada Februari 2020 dan bakal mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kegagalan mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan Persekutuan dan kemerosotan prestasi dialami PKR dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor menguatkan lagi hujah parti ini dan kepemimpinan tertingginya seperti memerlukan 'nafas baharu' dan mungkin wajar dirombak semula oleh ahlinya.

Parti yang lahir daripada gerakan reformasi pada 1998 ini dilihat perlu melaksanakan perubahan drastik jika mahu mengembalikan semula keyakinan rakyat dan penyokong tegarnya.

Antara isu yang melingkari PKR ini adalah amalan dinasti yang wujud sejak ia tertubuh dan berakar lebih dua dekad lalu. Soalnya, adakah amalan ini perlu ditamatkan bagi memberi peluang kepada pelapis baharu untuk memimpin PKR atau dikekalkan.

Meskipun ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan penting selepas dipilih menerusi pemilihan parti, namun PKR masih terpalit dengan corak kepemimpinan dinasti yang belum hilang sepenuhnya.

Misalnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR ketika Anwar sendiri adalah Presiden parti.

Justeru, apakah nafas baharu yang perlu dibawa dalam pemilihan PKR kali ini. Mampukah pemilihan kali ini mengetepikan politik legasi keluarga, proksi politik keluarga dan mencipta hala tuju baharu PKR menjelang PRU-15.

Melihat kepada kemandirian PKR, ternyata ketokohan Anwar masih tidak ada galang gantinya. Ahli PKR masih mendukung kuat kepemimpinan beliau dan ia terbukti apabila insan ini tidak dicabar dalam pemilihan PKR kali ini.

Mungkin pemilihan PKR 2022 memerlukan pasukan baharu yang tidak lagi terikat dengan pendekatan dan budaya politik PKR sebelum ini, iaitu berlandaskan legasi Anwar.

Hal ini kerana rakyat yang akan mengundi dalam PRU-15 akan datang tidak lagi memilih elemen simpati kepada PKR dan nasib dialami Anwar bersama keluarganya, tetapi menentukan pengundian berdasarkan kepada pencapaian sebagai kerajaan, prinsip dan perjuangan yang jelas bersama PH.

Perubahan orientasi pengundian ini dapat dicerap menerusi corak pemilihan dalam beberapa PRN lalu dan PKR gagal menepati kehendak semasa rakyat sehingga menyebabkan prestasi parti berkenaan merosot.

Pengalaman beberapa PRN lalu perlu dijadikan kesedaran kepada ahli dan kepemimpinan tertinggi PKR untuk mencari nafas baharu politik dan merombak barisan kepemimpinan parti agar selari dengan politik semasa.

Pemimpin yang kritikal terhadap beberapa dasar dan kepemimpinan parti perlu mengisi ruang ini meskipun kadangkala tidak selari dan mempunyai pandangan berbeza dengan Anwar Ibrahim.

Antaranya Rafizi Ramli dan Tian Chua dilihat sebagai pemimpin pelapis masa depan yang tidak terikat dengan perjuangan individu, tetapi memiliki pemikiran kritikal dan meletakkan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi.

Namun, dalam PKR penentangan terbuka kepada Anwar sukar diterima sebilangan pemimpin malah mereka akan dilabel sebagai saki-baki pasukan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melompat ke BERSATU.

Ketaasuban sebilangan pemimpin kepada Anwar akan menyukarkan kelangsungan parti jika ditakdirkan beliau tidak lagi memimpin PKR.

PKR perlu mencari arah perjuangan lebih kukuh selepas pemilihan parti 2022 bagi memastikan ia terus kekal relevan dalam kalangan rakyat dan mempertahankan pengaruh khususnya di Pulau Pinang dan Selangor.

Sekiranya pertembungan dalam PKR memenangkan kumpulan masih mahu mengekalkan budaya politik lama, maka perpecahan dalaman akan terus memusnahkan PKR sehingga boleh menyebabkan parti ini kehilangan kuasa mentadbir Selangor dan hilang pengaruh pada PRU-15 nanti.

Sudah pasti, kumpulan yang tewas dalam pemilihan tahun 2022 tidak akan berpuas hati dengan kekalahan yang dialami dan boleh mencetuskan sabotaj dalaman pada PRU-15.

Oleh itu, PKR semakin menambah seteru politiknya bukan sahaja daripada parti politik pemerintah, tetapi pada masa sama ahli dan pemimpinnya yang tewas dalam pemilihan parti.

Keadaan ini juga akan mewujudkan laluan berliku dan cabaran lebih sukar kepada PKR untuk kembali mencapai kejayaan pernah dicapai dalam PRU-14.

Malah, PRU-15 nanti juga berpotensi menjadi peristiwa hitam kepada PKR sejak ditubuhkan yang mungkin berpunca daripada perpecahan selepas pemilihan 2022 dan kegagalan mengubah perjuangan berdasarkan cita rasa politik semasa rakyat.

Justeru, pemilihan PKR menjadi platform paling sesuai dan tepat kepada seluruh warga parti untuk bermuhasabah dan menggunakan kuasa dimiliki mereka sebagai pemilik sebenar parti untuk mengubah hala tuju parti.

Calon muka baharu dan mempunyai wawasan lebih jauh perlu dipertimbangkan oleh ahli yang memilih berbanding terus memilih calon yang taasub kepada individu atau mempunyai matlamat membunuh karier politik pemimpin asal parti sejak era reformasi.

Pembunuhan karakter oleh pendatang baharu dalam PKR terhadap pemimpin lama juga dikatakan semakin menjadi-jadi sehingga terdapat dalam kalangan mereka dipecat, dipinggirkan dan mengundur diri daripada perjuangan parti.

Oleh demikian, pemilihan PKR 2022 mungkin menjadi satu peristiwa reformasi sebenar kepada PKR untuk menjamin kelangsungan kewujudannya.

Namun bibit-bibit reformasi dalam 'parti reformasi' ini masih lagi perlahan dan PKR memerlukan pemimpin berani untuk menentang dinasti keluarga dan proksi yang berakar umbi dalam parti.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X