Khamis, 14 April 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Semai sikap takutkan Tuhan pulihkan integriti anggota PDRM

KENYATAAN Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zaini Jass bahawa polis akan memperkenalkan program kembali ke pusat latihan (back to training centre) untuk pegawai dan anggota bermasalah khususnya terbabit dalam isu integriti serta moral sewajarnya diberikan pujian.

Ini kerana ia bertujuan memperkasa pegawai dan anggotanya melalui penerapan nilai murni bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam isu integriti, selain memberi bimbingan serta sokongan kepada mereka.

Ia juga mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan menjaga imej PDRM, sekali gus memberi peluang kedua kepada mereka tersalah langkah untuk memperbaiki diri sendiri.

Hakikatnya, PDRM sering menjadi fokus perbincangan berkaitan wujudnya krisis persepsi berhubung integriti pegawai dan anggotanya.

Usaha melatih semula pegawai dan anggota bermasalah itu nawaitunya baik tetapi persoalannya bagaimana ia boleh dilakukan agar lebih berkesan dan efektif? Ramai berpendapat amalan seperti biasa, mereka akan diajar mengenai pelbagai teori dan maklumat ilmiah bagaimana mengekalkan integriti dalam pasukan polis.

Oleh itu, fokus program ini perlu menyemaikan aspek pendekatan agama the fear of God dan pendidikan moral bagi mempertingkat ketahanan serta jati diri supaya menjauhi amalan tidak bermoral dan berintegriti khususnya rasuah.

Integriti sukar diajar. Ia terpahat dalam jiwa sama ada dimiliki seseorang atau tidak.

Ada berpendapat doktrin agama juga tidak berupaya mengubah perasuah. Pembudayaan integriti diamalkan dalam diri sejak kecil hasil good parenting dan sistem persekolahan baik bagi membentuk pembangunan modal insan masyarakat bencikan rasuah. Ini disahkan teori jenayah (nature vs nurture) bahawa faktor persekitaran lebih mempengaruhi tingkah laku atau akhlak perasuah daripada keturunan.

Kredibiliti, pengalaman dan kepakaran tenaga pengajar juga perlu diberi keutamaan supaya ia lebih memberi impak positif kepada peserta kursus.

Fasih dalam undang-undang kepolisan, mahir ilmu psikologi dan bertindak secara profesional apabila berdepan dengan masyarakat kompleks adalah penting.

Dalam ilmu kriminologi, terdapat bimbingan cara tindakan seseorang pegawai polis ketika berada dalam sesuatu situasi tertentu. Sudah sampai masanya pengambilan pegawai polis memerlukan individu mempunyai ilmu dalam bidang berkaitan.

Untuk kelestarian, apabila tamatnya kursus pegawai atasan juga hendaklah menunjukkan contoh baik dan menjalankan tanggungjawab pengawasan kepada pegawai bawahan. Kepemimpinan melalui teladan patut ditonjolkan dan bukan sekadar cakap kosong.

Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam menjadi inti pati kepada istilah integriti serta etika yang patut ada kepada pegawai dan anggota polis. Tingginya budi pekerti dan bergerak berlandaskan prinsip berfokuskan integriti dapat tingkatkan prestasi, produktiviti serta mampu meyakinkan rakyat terhadap kewibawaannya dalam proses penyampaian perkhidmatan.

Dengan kata lain, integriti dan etika dalam pekerjaan serta organisasi bukan sekadar pembabitan individu untuk menyediakan keperluan diri sahaja, sebaliknya membabitkan tindakan baik dilakukan dalam kerja dan semua ini mempunyai kaitan rapat dengan ajaran agama dan tanggungjawab sebagai manusia.

Dalam organisasi besar seperti PDRM, sudah tentu terdapat segelintir pegawai dan anggota bermasalah dari segi integriti serta moral.

Mengikut mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hanya satu peratus daripada kira-kira 100,000 anggota PDRM terbabit gejala rasuah.

Namun, semakin ramai jumlah anggota, kebarangkalian menimbulkan masalah tetap ada. Apa dikesalkan, masyarakat tetap menganggap gejala ini seperti sinonim dengan pasukan polis. Ia tidak adil kepada pegawai dan anggota yang bekerja keras, mengekalkan integriti demi kesejahteraan dan keselamatan negara.

Maklumat ini disahkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, yang gigih memperjuangkan isu integriti PDRM, bahawa 1,571 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2021.

Antara kesalahan integriti dilakukan adalah tidak mengisytiharkan harta, mengunjungi pusat hiburan, berkahwin tanpa kebenaran, enggan menerima laporan dan meminta imbuhan.

Selain itu, terdapat juga 23 pegawai dan anggota polis direkodkan terbabit kesalahan jenayah; rasuah (18); dadah (84) dan syariah (48).

Adalah baik jika PDRM melaksanakan tapisan keutuhan dan keselamatan rapi terutama semasa pengambilan pegawai pegawai kanan dan untuk mengisi jawatan berisiko tinggi.

Di Amerika Syarikat (AS), ujian poligraf dilaksanakan dalam pengambilan pegawai polis, tentera, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA). Amalan itu turut dibuat di Singapura membabitkan polis, tentera, Biro Penyiasatan Amalan Rasuah, Kementerian Sumber Manusia serta pejabat pendakwa raya.

Untuk kelestarian mengekalkan integriti, mereka menjalankan ujian poligraf secara rawak dan impaknya sangat memberangsangkan.

Selain itu, isu integriti turut dipastikan dengan meletakkan ketua polis daerah (OCPD) dan ketua polis balai (OCS) berintegriti tinggi tetapi berkhidmat tidak lebih tiga tahun. Mereka bertanggungjawab ke atas kelakuan pegawai bawahannya yang sengaja melakukan penyelewengan serta aktiviti melanggar undang-undang di kawasan jagaannya.

Kerajaan pula sewajarnya mempertimbangkan isu berhubung gaji dan perihal anggota pangkat rendah. Kenaikan gaji anggota rendah dapat membantu mengurangkan isu integriti kerana terdapat perbezaan besar antara pendapatan mereka.

Adalah baik jika peruntukan lebih diberikan kepada PDRM, terutama untuk penyelenggaraan balai polis dan kuarters serta pembinaan kuarters baharu, selain menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya.

Penjagaan kebajikan juga boleh membantu mereka mengelak daripada terjebak dalam aktiviti tidak beretika. Di Hong Kong dan Singapura, selain gaji lumayan, kerajaan memberi keistimewaan serta diskaun kepada pegawai polis termasuk dalam pembelian rumah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sendiri pernah menyatakan apabila nilai integriti rapuh, ditambah dengan ruang dan peluang mendapat habuan lumayan daripada pihak berkaitan, maka kecenderungan untuk terjerumus dalam rasuah adalah besar.

Diharapkan latihan semula pegawai dan anggota dapat memperkasa integriti PDRM, sekali gus meningkatkan imej, prestasi serta kepercayaan orang ramai. Usaha bersungguh dan baik patut diberi pujian serta sokongan sepenuhnya.

Ahli Lembaga Institut Integriti Malaysia (IIM)

Berita Harian X