Rabu, 13 April 2022 | 10:00am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Agenda pindaan Perlembagaan perlu pandangan awam, pakar

DALAM demokrasi global hari ini, lompat parti menjadi cabaran baharu dalam mana-mana sistem politik sama ada demokrasi liberal, mahupun semiautoritarian.

Di kebanyakan negara menjadikan pilihan raya sebagai teras utama dalam pembentukan kerajaan, lompat parti seolah-olah 'dibudayakan' mengikut acuan konteks politik tempatan.

Di India, sekurang-kurangnya 2,000 wakil rakyat lompat parti antara 1967 hingga 1971. Demi mengekangnya, kerajaan pimpinan Rajiv Gandhi memperkenalkan Undang-Undang Anti Lompat Parti pada 1985 dengan pilihan raya menjadi kunci kejayaan utama pembentukan undang-undang berkenaan.

Jadi, gejala lompat parti membangkitkan pelbagai andaian, sekali gus timbul persoalan sejauh manakah parti politik mampu berperanan tanpa terperangkap dalam ruang lingkup moral.

Dalam konteks penulisan akademik, lompat parti dibingkaikan dalam kerangka teoritikal dan membantu pengembangan badan kesarjanaan merangkumi sebab khusus permasalahan lompat parti.

Ini juga berkaitan undang-undang khas antipembelotan di negara demokrasi berparlimen seperti New Zealand, Israel dan India yang fokus utama untuk menyelamatkan kerajaan sepenuhnya.

Malaysia tidak ketinggalan dalam mencipta naratif tersendiri. Gejala lompat parti menjadi perbualan hangat hingga mendapat perhatian pihak legislatif yang akhirnya bersetuju merangka satu set undang-undang baharu mengekangnya.

Usaha kerajaan dan blok pembangkang mengolah persetujuan itu, bakal memberikan ruang kepada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti selepas semua ahli Parlimen bersetuju Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan untuk memperincikan semua butiran dan syor dikemukakan pada sidang khas Dewan Rakyat, kelmarin.

Ia memperlihatkan komitmen tinggi semua demi mencapai keharmonian politik dalam kerangka pluralisme masyarakat. Cuma beberapa isu berbangkit mesti diselesaikan, terutama Perlembagaan sebagai perkara asas kerana isu lompat parti ini memerlukan pindaan khusus.

Dalam sistem politik Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menjadi sumber asas perundangan dan rujukan utama menjelaskan perihal hubungan antara politik dengan masyarakat dan perjalanan pentadbiran awam.

Ini berbeza dengan apa dipraktikkan di United Kingdom (UK) dikenali sebagai model Westminster yang mana Parlimen menjadi institusi dominan dalam sistem politik dan Perlembagaan bukan sumber perundangan utama kerana negara berkenaan memiliki Perlembagaan tidak bertulis.

Jadi Perlembagaan bertulis dimiliki Malaysia berperanan signifikan dalam usaha mendamaikan krisis politik antara parti politik, malah bertindak sebagai ejen kestabilan dari semasa ke semasa.

Cuma di sini, pembentukan RUU Anti Lompat Parti perlu melalui beberapa pindaan Perlembagaan khususnya Perkara 10 Perlembagaan berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Ia membawa tafsiran sosiopolitik sangat luas dan jika tidak diperhatikan menyeluruh, ia akan mendatangkan implikasi tidak diingini ke atas sistem politik.

Perkara 10 menjadi 'pintu gerbang' perlu dilalui terlebih dahulu. Penghujahan lain juga menyatakan pindaan ke atas Perkara 10 perlu disetarakan dengan pindaan ke atas Perkara 48 Perlembagaan menyentuh berkenaan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Perkara 10 dan 48 akan menyumbang kepada perkelahian pendapat jika tidak ditangani dengan efisien dan akademik.

Malah, dalam blok kerajaan sendiri terdapat kebimbangan mengenai pindaan manakah perlu diberikan keutamaan. Pendukung fahaman demokrasi berhujah RUU Anti Lompat Parti dibimbangi mendatangkan ancaman terhadap kebebasan wakil rakyat dipilih yang kuasa politik dipusatkan sepenuhnya di tangan kepemimpinan parti, sekali gus memberikan gambaran tidak sihat ke atas perjalanan demokrasi.

Tidak dinafikan ia akan memberikan kelebihan, terutama dalam konteks kuasa dan dominasi dengan suara wakil rakyat dalam sesuatu parti mungkin akan terhad serta terpaksa membelakangi prinsip sendiri.

Dalam hal lain, Perkara 10 juga menimbulkan beberapa tanda tanya mengenai siapakah secara prinsipnya, perlu diikuti sama ada telunjuk kepemimpinan parti atau suara rakyat? Jika seseorang wakil rakyat bertindak meninggalkan parti di atas alasan memperjuangkan nasib rakyat tertindas, adakah RUU Anti Lompat Parti akan terpakai?

Adakah seseorang wakil rakyat meninggalkan parti boleh mencabar keputusan mahkamah diputuskan ke atasnya dengan menggunakan justifikasi Perkara 10 menekankan kebebasan untuk bersuara dan berpersatuan?

Bagaimana pula calon Bebas memenangi kerusi dan berhasrat menyertai mana-mana parti? Adakah perbuatan melompat parti itu akan disifatkan sebagai kesalahan jenayah atau sekadar kegelinciran moral?

Keadaan ini saling tidak tumpah seperti warga Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan hak mereka dengan memetik Pindaan Kedua Perlembagaan AS yang memelihara hak untuk memiliki dan membawa senjata api. Jadi, mempolitikkan dalam konteks Perlembagaan itu dikhuatiri akan berlaku jika Perkara 10 ini diberikan ruang tafsiran yang meluas.

Justeru, sebahagian isu ini akan dibincangkan Jawatankuasa Pilihan Khas seperti diputuskan pada sidang khas Parlimen kelmarin untuk membuat syor perlu, termasuk meneliti dan memberi pengkhususan terhadap tafsiran kepada larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan merujuk fasal 2 (c) dan fasal (3), sekatan ke atas hak membentuk persatuan diberikan kepada perenggan (c) fasal 1, Perlembagaan Persekutuan.

Ia turut membabitkan cadangan untuk memansuhkan Perkara 48 (6) termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang difikirkan perlu.

Agenda pindaan disenaraikan di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu bukan sahaja perlu membabitkan semua parti politik, bahkan wajar merangkumi pandangan awam, pakar akademik seperti sains politik, undang-undang dan Perlembagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pindaan bersejarah itu bukan hanya membabitkan hak ahli Parlimen serta parti politik, sebaliknya menyentuh kepentingan rakyat, kedudukan negara dan kelangsungan sistem demokrasi di negara ini.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X