Selasa, 12 April 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

RUU Anti Lompat Parti hukum wakil rakyat tak hormat mandat

ISU undang-undang antilompat parti jika diperhalusi bukanlah bermula daripada niat untuk mengekang kebebasan seseorang menubuhkan persatuan atau menyertai dan bergiat aktif dalam sesebuah persatuan. Perkara ini juga tidak hanya membabitkan hak seorang warganegara secara peribadi seperti diperuntukkan Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, isu itu membabitkan secara khusus kedudukan seseorang ahli Parlimen yang dipilih melalui proses undang-undang dan terdapat peruntukan khusus dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi governan kepadanya.

Undang-undang antilompat parti yang sering dibahaskan adalah bermaksud suatu undang-undang untuk melucutkan keanggotaan seorang ahli Parlimen yang meninggalkan partinya. Asas bagi penggubalan undang-undang sedemikian kerana ahli Parlimen itu dinamakan partinya mengikut sistem ditetapkan undang-undang pilihan raya.

Sistem pilihan raya menetapkan seorang calon perlu dinamakan. Penamaan calon itu pula tidaklah berlaku sekelip masa, sebaliknya melalui proses sebelum penamaan membabitkan kepercayaan kepemimpinan parti dan banyak pihak lagi kepada calon itu. Seterusnya proses selepas penamaan calon, iaitu kempen pilihan raya oleh partinya hingga calon itu diberi mandat oleh pengundi yang sebahagiannya juga ahli parti berkenaan yang berdaftar dalam kawasan Parlimen berkenaan.

Objektif sebenar undang-undang antilompat parti itu jika diamati secara mendalam adalah untuk menghukum ahli Parlimen meninggalkan parti menamakannya dalam sistem pilihan raya sebelum berakhir tempohnya. Asasnya tidak sukar untuk difahami seperti dibangkitkan banyak pihak kerana kedudukan atau mandat sebagai ahli Parlimen itu sudah terputus apabila dia meninggalkan partinya.

Oleh itu, banyak desakan dibuat agar prinsip menghormati mandat parti dan rakyat dalam pilihan raya dikuatkuasakan melalui undang-undang melalui pelucutan ahli Parlimen yang meninggalkan partinya.

Bagi individu yang bukan ahli Parlimen meninggalkan partinya, mereka bebas berbuat demikian. Kaedah untuk menguatkuasakan prinsip menghormati mandat parti dan rakyat itu ada dicadangkan melalui penggubalan undang-undang Persekutuan di bawah peruntukan sedia ada Perkara 10 dan juga melalui pindaan Perlembagaan Perlembagaan.

Draf rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung antilompat parti yang asal membabitkan pindaan ke atas Perkara 10 dan kemasukan Perkara 49A, selain pindaan ke atas Perkara 60 serta pindaan ke atas Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Jemaah Menteri pada 6 April lalu, akhirnya memutuskan hanya pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan dalam sidang khas pada 11 April. Cadangan pindaan peruntukan baharu Perkara 49A menyentuh definisi lompat parti akan dikemukakan dalam bentuk akta selepas ini.

Cadangan pindaan Perlembagaan membabitkan kemasukan Fasal (3A) kepada Perkara 10 membenarkan sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan berkait dengan parti politik boleh juga dikenakan Perlembagaan.

Cadangan pindaan dinyatakan di atas atau dalam bentuk akan diluluskan Parlimen nanti bertujuan untuk menjelaskan lagi peruntukan Perkara 10. Hal ini kerana Mahkamah Persekutuan dalam kes Nordin Salleh mentafsirkan kuasa pelucutan keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh diberikan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 10.

Oleh itu, penggubalan melalui undang-undang Persekutuan dilihat memadai berlandaskan keputusan berkenaan. Perkara 10(3) sedia ada membenarkan sekatan menyentuh kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam, kemoralan, perburuhan atau pendidikan digubal melalui undang-undang Persekutuan.

Kemoralan boleh dijadikan asas bagi mengadakan sekatan dimaksudkan kerana tindakan meninggalkan parti dianggap ramai ahli Parlimen dan pengundi sebagai sikap tidak bermoral atau rendah moral.

Sekiranya diteliti Perlembagaan Persekutuan, peruntukan bagi pelucutan keanggotaan ahli Parlimen akibat meninggalkan parti menamakannya sebagai calon pilihan raya lebih sesuai dimasukkan dalam Perkara 48 sebagai kesalahan pilihan raya sebagai tambahan peruntukan sedia ada.

Perkara 48(1)(d) memperuntukkan, "setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian."

Perkara 48 itu ialah peruntukan khusus menyentuh pelucutan keanggotaan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen. Sebab pelucutan lain termaktub di bawah Perkara 48(1) jika sekiranya seorang ahli Parlimen didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal; bankrap belum lepas; memegang sesuatu jawatan berpendapatan atau disabitkan kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas; sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan; sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan atau membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara lain.

Ringkasnya jika cadangan pindaan Perlembagaan dibuat ke atas Perkara 48, pindaan itu hanya menyentuh ahli Parlimen dan ahli Parlimen tidak ditegah menyertai persatuan lain tetapi keanggotaan dalam Parlimen akan terlucut jika mana-mana ahlinya meninggalkan parti kerana menyalahi mandat diberikan. Implikasi ahli Parlimen disingkir daripada partinya juga boleh digubal sama.

Akhirnya, sebarang penggubalan undang-undang ingin dibuat perlulah bermatlamatkan agar implikasinya dapat memenuhi keperluan serta menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Pengasas Jurisprudens Watan

Berita Harian X