Isnin, 11 April 2022 | 10:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Masyarakat mesti membudayakan amalan 'tak pasti, jangan kongsi'

Isu penularan berita palsu di laman sesawang atau media sosial bukan asing dalam kalangan masyarakat. Saban hari masyarakat dihidangkan berita tidak sahih, termasuk ketika bermula COVID-19.

Bahkan sehingga kini, ada sahaja khabar angin ditularkan mengenai jangkitan COVID-19 dan vaksin.

Kesan penularan berita palsu ini boleh mencetuskan keraguan dan kebimbangan kepada orang awam serta merosakkan imej kerajaan atau agensinya.

Dalam hal ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras penularan berita palsu.

Ini termasuk pelancaran laman sesawang dan aplikasi 'sebenarnya.my' sebagai pusat sehenti orang ramai untuk mendapatkan pengesahan sesuatu maklumat yang tular.

Selain itu, SKMM dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan media melaksanakan pelbagai kempen menerapkan budaya 'tidak pasti, jangan kongsi' dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai kesan buruk berita palsu.

Dari segi penguatkuasaan, SKMM memantau dan menyiasat sebarang aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan isu berita palsu.

Ketika Malaysia mula dilanda COVID-19 awal 2020, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi menangani pelbagai maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat.

Statistik pada 2021 menunjukkan bilangan kes aduan jenayah siber diterima SKMM pada 2020 meningkat 99.5 peratus kepada 20,805 aduan dengan peningkatan tertinggi adalah elemen penyebaran berita palsu iaitu 117.6 peratus.

Soalnya, mengapa hal ini berlaku? Antara punca berita palsu terus tular dan wujud dikatakan berpunca daripada sikap dan mentaliti masyarakat.

Keterujaan untuk menjadi individu terpantas dan dianggap hebat dalam berkongsi berita atau maklumat tular antara faktor utama mendorong peningkatan angka kes penularan berita palsu.

Sikap ini menyebabkan mereka kurang memberi perhatian kepada kesahihan berita yang ingin dikongsi, apatah lagi mengambil inisiatif menyemak dan mencari bukti kebenarannya.

Kajian dijalankan di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan lebih daripada sebahagian responden (51.2 peratus) berkongsi berita palsu berikutan tidak mengambil perhatian terhadap kesahihan berita ingin dikongsikan.

Sifat dan mentaliti seperti ini boleh mengundang padah kepada masyarakat jika ia tidak dibendung.

Justeru, masyarakat perlu mendidik diri mengenai adab dan cara berkongsi berita atau sebarang maklumat.

Ini boleh dilakukan dengan lebih berhemah seiring konsep diajar dalam Islam iaitu 'tabayyun'.

Tabayyun mengajar masyarakat berwaspada apabila menerima maklumat atau berita. Ia juga berlandaskan prinsip memastikan dan menilai kesahihan maklumat diterima sebelum dikongsi kepada orang lain.

Prinsip ini sangat universal dan boleh diterapkan dalam kehidupan di seluruh rakyat di bawah payung Keluarga Malaysia.

Tabayyun menyarankan setiap individu bertanya kepada diri sendiri tiga soalan iaitu adakah berita itu benar, apakah keperluan untuk berkongsi maklumat berkenaan dan adakah maklumat ini bermanfaat untuk dikongsi?

Sekiranya, salah satu jawapan mengatakan tidak atau tidak pasti, maka lebih baik tidak dikongsikan.

Secara tidak langsung, kaedah ini dapat menyahut dan menyokong seruan kerajaan dalam membudayakan konsep 'tidak pasti, jangan kongsi'.

Selain itu, dengan kaedah ini juga membantu menangkis segala kesan buruk akibat penyebaran berita palsu.

Generasi Keluarga Malaysia harus sedar mereka tertakluk di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda jika didapati bersalah menyebarkan berita palsu.

Masyarakat perlu memiliki kesedaran tinggi untuk mengutamakan kesahihan maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya.

Segala inisiatif, kempen dan kemudahan disediakan kerajaan atau pihak berwajib tidak berjaya jika tiada kesedaran daripada masyarakat sendiri.

Keseronokan dan kealpaan berada di alam maya menyebabkan terhakis banyak nilai murni insan kesan penularan berita palsu.

Dalam hal ini, kepesatan dan kemajuan teknologi tidak harus dipersalahkan, sebaliknya masyarakat perlu bertanggungjawab dalam memastikan wujud keharmonian dengan mengamalkan konsep tabayyun.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Berita Harian X