Sabtu, 2 April 2022 | 10:00am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatan rasmi pertama ke Qatar pada 27 hingga 29 Mac lalu.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatan rasmi pertama ke Qatar pada 27 hingga 29 Mac lalu.

Malaysia terus perkukuh kerjasama pelbagai bidang di luar negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekali lagi berkunjung ke luar negara menerusi lawatan rasmi pertama ke Qatar pada 27 hingga 29 Mac dan lawatan kerja pertama ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Lawatan rasmi kedua Perdana Menteri ke Indonesia pula berlangsung semalam.

Lawatan ke Qatar amat penting kerana Qatar adalah rakan penting Malaysia di rantau Asia Barat.

Hubungan dua hala Malaysia dan Qatar pula berada pada tahap amat baik dengan kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, kesihatan, COVID-19, pendidikan dan pertahanan.

Pada majlis menghadap Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, Perdana Menteri dan Amir Qatar bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Qatar yang terjalin selama 48 tahun sejak 1974. Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi.

Dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama Malaysia-Qatar, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan mengaktifkan pelaksanaan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi (HLJC) yang pertama masa terdekat.

Dari segi kerjasama pasca pandemik, kedua-dua negara memberi kemudahan vaksinasi COVID-19 secara percuma kepada rakyat Qatar di Malaysia dan rakyat Malaysia di Qatar.

Malaysia dan Qatar juga bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing secara rasmi, selain bersetuju mengintegrasi aplikasi EhTeRaz (Qatar) dan MySejahtera (Malaysia).

Dari segi kerjasama ekonomi, Malaysia berterima kasih kepada kerajaan Qatar kerana memberi peluang pelabur dan syarikat Malaysia untuk terbabit dalam projek pembangunan negara itu.

Setakat ini, 14 syarikat pembinaan Malaysia berjaya menyempurnakan 59 projek bernilai RM16.87 bilion (AS$4 bilion) di Qatar.

Malaysia juga berterima kasih kerana Qatar memilih Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara, khususnya dalam projek hartanah dan sektor perkhidmatan. Sehingga hari ini, nilai pelaburan Qatar di Malaysia melebihi RM13.49 bilion (AS$3.2 bilion).

Perdana Menteri dan Amir Qatar turut berbincang secara mendalam dan bersetuju untuk meningkatkan pelaburan dua hala.

Kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan lanjut untuk menentukan sasaran pelaburan ingin dicapai dalam masa dua tahun.

Mengambil kira pembukaan sempadan kedua-dua negara dan fasa peralihan ke endemik, Perdana Menteri percaya Malaysia dan Qatar perlu mengambil peluang mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang khususnya dalam industri halal, makanan, perbankan Islam, tenaga boleh diperbaharui serta minyak dan gas.

Dalam usaha kerajaan memperkukuhkan kerjasama sebagai rakan pelaburan serta perdagangan dengan Qatar, Ismail Sabri turut melawat ladang lembu dan kilang pengeluaran tenusu Baladna yang menjalin memorandum kerjasama (MoC) serta menjadi rakan kongsi Felda Global Ventures (FGV) dan FELCRA dalam projek usaha sama ladang tenusu berskala besar di Malaysia.

Kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan FELCRA membabitkan pelaburan RM2.1 bilion (AS$$500 juta) bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis.

Baladna bersetuju menambah pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (AS$$500 juta) bagi pembangunan projek tenusu di Pahang.

Perdana Menteri juga mengadakan lawatan ke ladang kumpulan syarikat Agrico Qatar yang menjalankan pertanian organik serta menerima surat komitmen untuk pelaburan RM1.51 bilion (AS$360 juta) daripada Agrico Qatar.

Agrico mengemukakan cadangan antara lain bagi menubuhkan kilang penapisan minyak sawit di Malaysia untuk dieksport ke Qatar, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran minyak sawit ke rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Ia termasuk membina kilang pemprosesan sisa sawit dan sisa organik lain bagi menjadikan makanan haiwan ternakan serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

Perbadanan PR1MA Malaysia pula mengadakan perbincangan bersama Qatar Investment Authority (QIA) dan mengemukakan cadangan Pelaburan Strategik bernilai RM8.1 bilion.

Kerajaan Qatar menyatakan persetujuan untuk QIA berbincang secara lanjut dengan PR1MA bagi meneroka peluang pelaburan di Malaysia, khususnya dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia. Ini selaras sasaran kerajaan untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik.

Sementara itu, pada lawatan kerja di UAE, Perdana Menteri meluangkan masa mengunjungi Ekspo 2020 Dubai. Ismail Sabri gembira kerana Malaysia melebihi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan dan perniagaan utama berjumlah RM70 bilion secara keseluruhan bagi 26 program mingguan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

Sebelum penyertaan pada ekspo, Malaysia menetapkan sasaran mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ini berasaskan pencapaian Malaysia di Ekspo Astana, Kazakhstan pada tahun 2017.

Nilai ini diperoleh melalui 131 memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian perkongsian, dan pertanyaan perniagaan membabitkan sejumlah 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan.

Ekspo 2020 Dubai membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Kerajaan turut menanggung kos yuran penyertaan semua PKS di Ekspo 2020 Dubai bagi memberi mereka peluang mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang baharu di luar negara.

Akhirnya, di Indonesia, Perdana Menteri menyaksikan MoU di antara Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

MOU PDI ini mengandungi 4 elemen utama, pertama, ia menggunakan hanya satu saluran tunggal kemasukan PDI atau One Channel System (OCS).

Kedua, ia akan menggunakan konsep One Maid One House, iaitu satu PDI berkhidmat untuk maksimum enam orang isi rumah dewasa dan tidak termasuk penjagaan bayi atau warga emas.

Pada masa ini, kos ditetapkan pada kadar maksimum RM15,000. Keempat, gaji permulaan PDI sebanyak RM1,500, bersamaan dengan kadar gaji minimum semasa negara.

Seperti dinyatakan Perdana Menteri, pemeteraian MoU ini satu detik besar dan penting kerana ia komitmen berterusan Malaysia dan Indonesia untuk memberi manfaat besar dan berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara.

MoU ini akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI dilaksanakan secara komprehensif pihak berkaitan, mengikut dasar dan perundangan kedua-dua negara.

Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri

Berita Harian X