Khamis, 31 March 2022 | 11:35am

Perluas Dasar Pandang ke Timur meliputi China, Korea Selatan, Taiwan

TINDAKAN Malaysia memulakan langkah alternatif untuk tidak bergantung secara keterlaluan dengan blok Barat, terutama Britain dan Amerika Syarikat (AS) sejak 1982 memaparkan satu kejayaan dasar kerajaan patut dibangga.

Dasar alternatif politik-ekonomi antarabangsa dilakukan Malaysia melalui pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur dengan menjadikan Jepun sebagai asas model pembangunan dan kemajuan menunjukkan keberkesanannya.

Objektif utama dasar ini adalah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan negara serta mewujudkan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai dan etika kerja positif bagi meninggikan kemajuan negara.

Menerusi Dasar Pandang ke Timur, kerajaan membuat kajian, penelitian dan pemilihan terhadap teladan terbaik daripada Jepun dan Korea Selatan dengan mengubahsuaikannya mengikut keadaan di negara ini.

Perkara harus ditumpukan melalui dasar ini ialah kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja.

Selepas 40 tahun Dasar Pandang ke Timur dilaksanakan, negara mengecapi pelbagai kejayaan apabila dasar baharu dirangka dan dilaksanakan berteraskan dasar berkenaan membawa anjakan paradigma dalam hala tuju negara serta kerajaan.

Diplomasi ekonomi dilaksanakan menerusi keazaman kepemimpinan dan kerajaan membantu memperkukuhkan daya upaya Malaysia dari sudut geopolitik serta ekonomi.

Dasar Pandang ke Timur membantu Malaysia mencipta kekuatan jenama tersendiri dengan menjadikan persahabatan dengan Jepun sebagai alternatif kepada peralihan pergantungan ekonomi dominasi Barat.

Malaysia berjaya mengubah dimensi 'dendam' dan sejarah hitam Perang Dunia Kedua yang meragut nyawa manusia akibat tindakan ketenteraan Jepun, kepada persahabatan kukuh dan menguntungkan kedua-dua pihak.

Perubahan aspek psikologi rakyat melihat Jepun sebagai 'negara ganas' ketika perang, berjaya diubah dan membawa kesan positif.

Perubahan sikap rakyat mampu menerima Jepun sebagai sahabat ekonomi dan kemajuan juga unik, walaupun sejarah mencatatkan sesuatu menghibakan dalam perjalanan hidup sebahagian besar penduduk negara ini.

Hikmah pengorbanan perasaan dendam dan kecewa akibat pengalaman perang membuahkan hasil apabila kepercayaan diberikan kepada Jepun oleh pemimpin, kerajaan dan rakyat membawa nilai persahabatan serta kesetiaan akrab hingga kini.

Kejayaan Jepun mengubah situasi ngeri dan trauma yang mereka lalui akibat kemusnahan besar-besaran akibat serangan balas tentera Barat sehingga membawa kejayaan pembangunan ekonomi yang pesat adalah aset utama wajar dicontohi.

Jepun pada masa singkat berjaya mengatasi kemiskinan dan kemunduran akibat perang. Bahkan seawal 1960-an Negara Matahari Terbit itu kembali maju dan mampu mengukuhkan daya kewangannya.

Hanya dalam 10 hingga 15 tahun, iaitu antara 1945 hingga 1955 atau 1960, Jepun berjaya bangkit sebagai negara maju dan berdikari. Ini 'keajaiban Timur' yang Malaysia kagumi sehingga mendorong Dasar Pandang ke Timur direka dan dijayakan.

Dasar Pandang ke Timur bukan satu dasar sehala, tetapi bersifat futuristik dan realistik. Melalui dasar ini, Malaysia tidak terlalu bergantung dengan dolar, terutama dalam aspek pinjaman luar negara dan pelaburan.

Yen dan pelaburan serta pemodalan dari Jepun menjadi alternatif berkesan buat Malaysia membina ekonominya untuk bersaing dengan negara jiran.

Disebabkan persahabatan Malaysia dan Jepun melalui inisiatif DPT, Malaysia mendapat manfaat dari segi pinjaman asing dan pengurangan kebergantungan kepada blok Barat.

Ia juga membolehkan Malaysia mewujudkan jenama kukuh dan menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) tulen dari Jepun.

Ia dapat dilihat menerusi pembukaan banyak kilang elektronik, zon perdagangan bebas, kerjasama perusahaan serta penjanaan kawasan ekonomi bebas berdaya saing.

Malaysia juga bangga dengan penyediaan guna tenaga penuh ketika Dasar Pandang ke Timur dilaksanakan pada peringkat awal.

Agenda kesedaran kemajuan sains dan teknologi serta peralihan kepakaran dapat dijana sumber manusia di negara ini dengan mendapat pelbagai peluang latihan, pemindahan kepakaran, pendidikan serta kerjasama niaga.

Ini semua agenda menjana rakyat kreatif dan berminda saintifik serta moden dengan semangat keusahawanan tinggi.

Jaringan strategik antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan institusi berkaitan di Jepun memanfaatkan 17,062 rakyat Malaysia, termasuk 6,715 pelajar diberikan biasiswa melanjutkan pengajian di Jepun dalam fokus kepada kejuruteraan, sains dan teknologi.

Pelbagai teknologi baharu dijana Malaysia bahkan model pengurusan pentadbiran kerajaan dan perniagaan juga dijana mengikut model serta aturan kerja Jepun.

Jumlah perdagangan Malaysia dan Jepun dari Januari hingga November 2021 berjaya ditingkatkan 20.8 peratus kepada RM135.01 bilion berbanding tempoh sama pada 2020.

Dasar Pandang ke Timur berjaya meranapkan 'psikologi negatif' daripada melihat Jepun dengan 'penuh ngeri dan kejam' kepada perubahan sebagai sahabat murni setia serta terbina akrab sehingga Jepun kini menjadi rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia.

Persahabatan ketika Malaysia sebagai negara sedang membangun masih dalam polemik miskin dan mundur adalah persahabatan setia membawa kemajuan serta perubahan kukuh.

Pada era baharu ini, peluasan Dasar Pandang ke Timur mungkin merangkumi China, Korea Selatan serta Taiwan. Inisiatif One Belt, One Road (OBOR) dicetuskan China mungkin boleh dijadikan peluang baharu kepada Malaysia mengembangkan perdagangannya.

Namun, ia perlu bersandarkan kebijaksanaan mengurus potensi dan ancaman dalam apa saja bentuk pelaburan serta model potensi pelaburan baharu muncul.

Dalam apa saja dasar dan strategi dilakukan negara, elemen kebijaksanaan bagi negara menghadapi perubahan geopolitik antarabangsa perlu dilakukan teliti dan saksama.

Contohnya, dalam berhadapan 'konfrontasi Barat', Malaysia berjaya menunjukkan keberanian luar biasa seperti 'Serangan Waktu Fajar' ke atas Bursa Saham London yang membolehkan Malaysia menjadi pemilik Guthrie.

Impak kepada Dasar Pandang ke Timur juga memberi kekuatan kepada Malaysia melaksanakan dasar Buy British Last pada 1980-an sebagai strategi diplomasi ekonomi negara.

Jika tidak kerana pengukuhan Jepun sebagai sahabat utama Malaysia, konfrontasi ekonomi Malaysia dan Barat terutama dengan Britain pasti membawa kesan besar terhadap ekonomi negara.

Dasar ini juga membantu negara berdepan Krisis Kewangan Asia 1997/98 yang menyaksikan kejatuhan nilai mata wang tempatan di pasaran global dan Malaysia berupaya menanganinya menerusi acuan sendiri walaupun dipertikai kebanyakan pakar kewangan dunia.

Dasar Pandang ke Timur memberikan keberanian Malaysia untuk bertindak dalam elemen kreatif ketika waktu sukar. Ia dasar berharga kepada Malaysia, bukan saja dari sudut persahabatan Jepun-Malaysia, malah memastikan agenda keselamatan ekonomi dipelihara.

Penulis adalah Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X