Isnin, 21 March 2022 | 10:00am
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pinda akta jadikan DBP lebih 'bertaring' tegur kesalahan bahasa

Perjuangan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara sejak kemerdekaan 65 tahun lalu melalui pasang surut.

Banyak kemajuan yang tercapai dalam pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan bidang lain.

Bagaimanapun di sebalik perjalanan panjang itu, kita harus mengakui masih banyak juga harapan yang belum tercapai.

Justeru, siri kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai bahasa Melayu memberikan sinar baharu kepada bahasa Melayu.

Bermula dengan penegasan penggunaan bahasa Melayu oleh agensi dan swasta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada hujung tahun lalu, beliau memberikan kejutan apabila berucap dalam bahasa Melayu di Kampuchea dan di Thailand.

Hal ini menunjukkan Perdana Menteri menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, Sabtu lalu, beliau sekali lagi merumuskan pendirian mengenai bahasa Melayu sebagai Naib Presiden UMNO, sekali gus sebagai Perdana Menteri.

Seingat saya, beliau menjadi Perdana Menteri pertama yang mengisytiharkan penggunaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Mengenai penegasan bahasa Melayu pada peringkat negara, kesediaan kerajaan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudah bertahun-tahun dikemukakan oleh agensi itu, memberikan harapan baharu.

Kita harus mengakui selama ini DBP hanya boleh bergerak sebagai 'badan dakwah bahasa' kerana Akta DBP hanya memperuntukkan peranan menegur, menasihati dan membimbing tanpa sebarang kuasa undang-undang.

Akibatnya, panduan, teguran dan nasihat DBP melalui kursus, pemantauan, khidmat nasihat bahasa serta khidmat pengesahan bahasa hanya diberi perhatian oleh sebahagian pihak sahaja.

Misalnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kuasa pengeluaran permit peragaan iklan, nama perumahan, bangunan dan yang lain kebanyakannya kurang prihatin terhadap penegasan bahasa kebangsaan serta penggunaan bahasa yang betul di tempat awam.

Oleh itu, pindaan Akta DBP akan membolehkan agensi yang ditubuhkan pada 1956 terbabit, berfungsi dengan lebih tegas berdasarkan peruntukan Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan, iaitu penggunaan bahasa itu pada tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Dengan kata lain, pindaan akta itu akan menjadikan DBP bukan sahaja dapat meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu dengan lebih berkesan, bahkan memberikan 'taring' untuk menegur sebarang pengabaian atau kesalahan bahasa terutama dalam konteks penggunaan di tempat awam.

Selain itu, pindaan memperuntukkan DBP secara sah untuk mengembangkan bahasa dan persuratan negara di dunia walaupun agensi itu sudah menjalankan tugas berkenaan sejak dekad 1980-an.

Kerajaan sendiri sebenarnya meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada 1997 dengan DBP sebagai urus setia.

Seterusnya, pindaan itu membolehkan DBP menubuhkan perbadanan untuk melaksanakan fungsi perniagaan, khasnya dalam bidang penerbitan dan pemasaran dengan lebih berkesan tanpa kekangan birokrasi, untuk turut membantu aspek kewangan negara.

Bagaimanapun, perkara penting yang perlu disebut dan ditegaskan ialah pentingnya semua pemimpin lain seiring serta sejalan dengan hasrat Perdana Menteri itu.

Justeru, dalam perkembangan sama, kita bersyukur dengan langkah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengisytiharkan Diplomasi Kebudayaan pada November 2021 yang turut mengembangkan bahasa dan persuratan negara di dunia melalui kedutaan Malaysia.

Pada tahun lalu juga, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula membuat kejutan berani dengan berucap dalam bahasa negara pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula mengumumkan pengembangan bahasa Melayu di universiti negara ASEAN dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai terajunya.

Arahan Perdana Menteri agar semua pelajar asing diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu dan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu seperti Test of English as a Foreign Language (TOEFL) dan International English Language Testing System (IELTS) untuk bahasa Inggeris perlu disegerakan semua institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Sebenarnya perkara itu sudah dimasukkan ke dalam Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pendidikan Swasta 1996. Tiga perkara wajib yang mesti diambil pelajar antarabangsa ialah Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia dan Agama Islam/Pendidikan Moral.

Kecuaian dan tidak prihatinnya pemimpin kebanyakan IPT terhadap hal itu tampaknya memerlukan masa 20 tahun untuk dibetulkan dan menunggu Perdana Menteri menyuntikkan kesedaran.

DBP, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sudah lama menyediakan modul kursus serta instrumen peperiksaan, tetapi terbiar kerana tiada sambutan kebanyakan IPT.

Semoga hasrat Perdana Menteri untuk memperkukuh jati diri, asas kenegaraan melalui bahasa negara dan melonjakkan bahasa negara pada peringkat antarabangsa mendapat dukungan utuh daripada semua pemimpin lain, termasuk pemimpin perkhidmatan awam, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Penulis adalah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Berita Harian X