Ahad, 6 Februari 2022 | 10:00am
Banjir antara kesan perubahan iklim hingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. - Foto hiasan
Banjir antara kesan perubahan iklim hingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. - Foto hiasan

Kelestarian alam sekitar agenda penting tangani perubahan iklim

Fenomena bencana alam menuntut keprihatinan semua pihak kerana ia sudah mula menjadi krisis bencana pada peringkat global. Satu demi satu bencana di seluruh dunia termasuk Malaysia perlu menjadi titik permulaan kepada pelbagai pihak untuk berganding bahu menangani krisis ini.

Mengikut laporan badan kebajikan berpangkalan di United Kingdom (UK), Christian Aid, jumlah kerugian akibat bencana alam terpaksa ditanggung pada 2021 meningkat 13 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pola peningkatan ini menunjukkan perubahan iklim akibat aktiviti manusia hingga membawa bencana alam paling teruk dalam sejarah apabila meragut ribuan nyawa dan jutaan rakyat hilang tempat tinggal.

Di Malaysia, banjir besar melanda negara pada hujung tahun lalu, meragut puluhan nyawa dan puluhan ribu mangsa terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala ramai hilang tempat tinggal.

Banjir itu mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam sejarah di negara ini. Lazimnya, tiupan Monsun Timur Laut membawa banjir ke negeri Pantai Timur, namun kali ini ia di luar jangka membadai Lembah Klang hingga menyebabkan beberapa kawasan lumpuh sepenuhnya.

Tragedi itu menjadi siren amaran kepada pelbagai pihak terutama kerajaan mengenai realiti bumi semakin tenat. Tindakan segera perlu digerakkan dan diimplementasikan secara komprehensif agar bencana besar seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.

Khamis lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dipengerusikan Perdana Menteri, menerima 17 cadangan dikemukakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) termasuk pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART), pemindahan kawasan kampung atau penempatan di tepi sungai berisiko banjir ke kawasan lebih tinggi dan pembangunan kawasan penempatan berdaya tahan seperti sponge city di China.

Pada masa sama, faktor pembalakan haram juga perlu diambil kira kerana beberapa kawasan dan negeri ditimpa musibah banjir disebabkan aktiviti berkenaan yang memberi impak buruk kepada alam sekitar.

Apatah lagi statistik Global Forest Watch menunjukkan Malaysia memiliki 20.3 megahektar hutan semula jadi pada 2010 malangnya jumlah itu semakin menyusut kerana negara kehilangan 193,000 hektar hutan semula jadi dalam tempoh hingga 2019.

Keadaan ini menunjukkan isu kelestarian alam tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya perlu menjadi fokus utama Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang perlu dicapai negara selari Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (Agenda 2030).

Hakikatnya, usaha dan tindakan pihak berwajib memenuhi SDG sukar direalisasikan sekiranya gagal mendapat sokongan pelbagai pihak. Matlamat SDG adalah paksi penting dalam semua dasar dan perancangan bagi menangani isu pembangunan tidak lestari hingga mendorong kerosakan alam sekitar.

Kelestarian alam sekitar memberi impak besar kepada kewujudan iklim stabil, membabitkan pengurusan sumber semula jadi dengan mampan dan melindungi biodiversiti. Kegagalan melestarikan alam sekitar bakal membawa bencana besar kepada rakyat dan masa depan negara. Soalnya, apakah langkah boleh diambil untuk memelihara dan melestarikan alam semula jadi di negara ini?

Justeru, Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG dilancarkan untuk mengisi jurang SDG merangkumi pemeliharaan serta pemuliharaan kelestarian alam sekitar sebagai usaha mempercepatkan pencapaian Agenda 2030. Kedua-dua inisiatif ini ialah rangka kerjasama strategik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan platform menyelaras pembiayaan dari sumber awam dan swasta dengan lebih sistematik bermula dana RM20 juta.

Kerjasama dijangkakan lebih signifikan dengan pembabitan pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang ramai dan ahli akademik untuk mencapai SDG.

Pengukuhan dan kerjasama berterusan diperlukan untuk menyokong inisiatif berkaitan yang boleh dilihat sebagai game-changer dalam menangani beberapa cabaran pembangunan negara.

Tiga tema dan sektor diketengahkan, iaitu insan bagi membantu golongan mudah terjejas dan tercicir termasuk akibat banjir; planet (krisis iklim, biodiversiti dan pencemaran serta kesannya terhadap kehidupan dan mata pencarian) dan kerjasama (pendekatan senegara dalam mencapai SDG).

Selain itu, KASA turut menjadi peneraju utama dalam usaha memastikan negara ke arah Malaysia Lestari 2030. Empat tunjang utama dilaksanakan membabitkan pengukuhan governan, pertumbuhan hijau, kolaborasi strategik dan keterangkuman sosial menjadi dasar membangunkan 30 inisiatif direncanakan. Ia bagi memastikan kebergantungan manusia kepada sumber semula jadi dapat ditingkatkan selari dengan peningkatan tahap kesejahteraan alam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor, kemerdekaan negara dikecapi lebih enam dekad seakan-akan tidak bererti sekiranya kita tidak berganding dalam isu kelestarian alam semula jadi.

Sokongan inklusif diperlukan untuk memastikan kelestarian alam sekitar dapat dimanfaatkan bukan sahaja pada hari ini, bahkan generasi masa akan datang. Pelbagai dasar perlu terus dilaksanakan untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi hijau membabitkan Dasar Teknologi Hijau Negara (NGTP), Dasar Perubahan Iklim Negara (NCCP) dan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP), manakala menjelang 2030 nanti, Malaysia mengunjurkan teknologi hijau mampu menjana RM100 bilion kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semua ini sebenarnya memerlukan skala kerja berterusan untuk memastikan transformasi terancang dapat dilaksanakan dalam mencapai SDG membabitkan Kelestarian Alam Sekitar.

Malaysia sebagai antara 193 negara menyertai Agenda 2030, mengemukakan dua Laporan Voluntary National Review kepada PBB pada 2015 dan laporan terkini mengenai pencapaian SDG dibentangkan pada 2021 membabitkan pelbagai aspek utama termasuk kelestarian alam sekitar yang memfokuskan kemampanan dan perubahan iklim (SDG 12 dan SDG 13).

Malah, dalam pelan pembangunan lima tahun negara bermula Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) perangkaan pelaksanaan SDG sudah dimulakan. Apa diharapkan adalah lebih ramai penggerak industri menggalas beban bersama merancakkan usaha dirancangkan kerajaan untuk kelangsungan kesejahteraan alam sekitar memandangkan kita bergantung hidup dengan kelestarian alam semula jadi.

Apa berlaku pada hari ini adalah cerminan untuk masa hadapan dan elakkan sudah terhantuk baru tengadah.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi & Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM

Berita Harian X