Isnin, 24 Januari 2022 | 11:30am
Antara kawasan yang terjejas banjir di Shah Alam pada 19 Disember tahun lalu. - NSTP/Asyraf Hamzah
Antara kawasan yang terjejas banjir di Shah Alam pada 19 Disember tahun lalu. - NSTP/Asyraf Hamzah

Jadikan bencana tanda aras rangka strategi, pulih kerosakan alam

BANJIR besar melanda sebahagian Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan pada hujung tahun lalu memberi impak dahsyat kepada kita semua.

Siapa sangka dua kota raya gah seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam hampir lenyap digenangi air. Kuala Lumpur masyhur dengan binaan moden, bangunan pencakar langit serta pusat tarikan pelancong hampir lumpuh dilanda banjir.

Selangor sebagai negeri elit di Malaysia pula hampir tenggelam dek hujan lebat berpanjangan. Keadaan lebih meruncing apabila paras air naik mendadak membawa bersama air keruh berlumpur dan sampah sarap.

Rumah hilang sekelip mata, harta benda rosak dan haiwan ternakan mati bergelimpangan. Lebih menyedihkan banyak nyawa terkorban. Semua ini sedikit sebanyak memberi kita ruang dan peluang untuk membuat refleksi, audit dan cakna beberapa perkara.

Namun, apa boleh kita belajar daripada kejadian banjir ini?

Pertama, kesedaran menjaga alam sekitar yang nampaknya masih rendah. Realiti harus diterima bahawa bumi semakin tenat dan hancur disebabkan tangan manusia.

Jadi, jangan dibudayakan membuang sampah merata tempat. Contoh mudah, selepas pasar malam ataupun aktiviti berkelah di kawasan rekreasi. Bekas makanan pakai buang, botol air, plastik, penyedut minuman dan sisa makanan tidak dilupuskan dengan baik. Semuanya bergelimpangan, jijik dilihat.

Selain itu, slogan 'Sungai Nadi Kehidupan' pernah diperkenalkan satu ketika masa dahulu wajar dilihat, dirombak dan diperteguhkan semula. Jangan lagi slogan ini dibiar sepi, tandus dan diratah nafsu manusia!

Lihat sahaja betapa sedihnya keadaan sungai kita sekarang, menjadi takungan sampah, aliran air keruh dan lesu tidak bermaya. Ekosistem alam terganggu apabila sungai yang sepatutnya menjadi alur air, terhalang dan sempit dek pencemaran manusia.

Kedua, integrasi kepakaran di universiti dan jabatan bertanggungjawab. Peristiwa banjir ini memerlukan lebih banyak kajian pada peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) dan kolaborasi bersama pihak berwajib.

Ramai pakar bidang berkaitan di IPT dan pastinya mereka mahu turut serta menyumbang kepakaran dimiliki bersama masyarakat.

Pihak berwajib disaran menerima pakai saranan dan pendapat ahli dalam bidang ini. Kajian dibuat bukan omongan kosong atau semberono, sebaliknya berdasarkan kajian permasalahan dan data dikumpul di lapangan.

Integrasi dan sinergi antara kepakaran universiti dan pihak berwajib mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat yang lebih baik.

Ketiga, kerakusan pembinaan di kawasan bukit yang kononnya menjanjikan pemandangan mantap. Seakan menjadi trend sekarang untuk membeli hartanah di kawasan bukit yang kononnya menjanjikan pemandangan indah lagi mendamaikan.

Jika diamati, sedekad lalu kita masih dapat melihat kehijauan bukit di kawasan bandar mahupun luar bandar. Landskap pemandangan hijau bukit kini bertukar apabila aktiviti guna tanah dijalankan dengan rakus, tanpa seliaan baik bagi tujuan penempatan, perladangan, mahu pun pelancongan.

Rimbunan hijau kini bertukar kawasan kediaman, sama ada bertingkat mahupun taman perumahan. Rimbunan pokok kini ditukar struktur besi, batu dan cermin untuk memenuhi permintaan rumah idaman.

Perkara ini perlu dilihat dan dikaji semula memandangkan kesan pembinaan di kawasan bukit amat menakutkan. Kesannya tidak dapat dilihat dalam tempoh tiga hari selepas menduduki rumah idaman, tetapi membabitkan tempoh yang panjang.

Bukit yang fungsinya seperti cerucuk bumi dan tanaman tutup bumi bertindak sebagai penghalang pergerakan tanah kini gondol dan keadaan sebeginilah yang menyebabkan berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh.

Adanya permintaan daripada pelanggan, pemaju dengan galak melakukan penawaran penjualan, sekali gus menjanjikan hasil lumayan. Namun, pada masa sama, akan ada jiwa menjadi taruhan menunggu masa untuk terkorban. Semua itu demi kerakusan!

Keempat, perubahan iklim jangan diambil mudah. Sudah tiba masanya kita semua ambil peduli dengan isu perubahan iklim. Kita perlu menerima hakikat bahawa negara tidak terkecuali menerima kesan perubahan iklim yang sangat mendadak.

Cuaca tidak menentu, perubahan musim semakin sukar untuk diramal, terik matahari menyengat serta jumlah taburan hujan yang berubah memberi impak kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Seperti contoh, sedekad lalu kita mungkin jarang mendengar terma strok haba. Kini strok haba menjadi perbualan dan mendapat perhatian masyarakat apabila tiba musim kemarau dengan suhu ekstrem.

Selain itu, peningkatan paras air laut, gelombang haba, penyusutan bekalan sumber air bersih, serta penurunan pengeluaran hasil pertanian dan perikanan, antara contoh lain kesan perubahan iklim.

Hakikatnya, kejadian banjir besar yang berlaku ini perlu dijadikan penanda aras kepada pihak kerajaan untuk mengorak langkah dengan memandang serius isu perubahan iklim.

Sudah tiba masanya kerajaan merancang pelan tindakan lebih teratur dan sistematik dalam pengurusan bencana. Pada masa sama, kerajaan perlu sedar dan buka mata melihat nilai kerosakan perlu dihadapi dan dibiayai disebabkan perubahan iklim ini.

Pelan kewangan perlu dirangka dengan baik bagi membolehkan negara mengurus dan mentadbir mangsa yang terbabit dalam insiden yang berpunca daripada perubahan iklim.

Adalah diharapkan kejadian seperti banjir besar yang berlaku penghujung 2021 tidak berulang pada tahun mendatang.

Namun, sebagai makhluk yang diberikan akal fikiran untuk berfikir, kita perlu bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan merancang strategi untuk menguruskan insiden sekiranya berlaku pada masa akan datang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Program Pengurusan Sumber Manusia di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X