Khamis, 20 Januari 2022 | 11:30am
Kerajaan dan rakyat Malaysia perlu berganding bahu jayakan agenda memperkasa program penjagaan warga emas. - Foto hiasan
Kerajaan dan rakyat Malaysia perlu berganding bahu jayakan agenda memperkasa program penjagaan warga emas. - Foto hiasan

Kerjasama bersepadu diperlukan hadapi 'tsunami' warga emas 2030

PENUAAN hakikatnya proses tidak dapat dielakkan sehingga kerajaan perlu berbelanja untuk memberi sokongan kebajikan kepada warga emas melalui faedah penjagaan kesihatan dan sokongan persaraan.

Pada masa kini, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan RM900 juta bagi menyalurkan bantuan dan penjagaan warga emas pada 2021.

Ini termasuk RM62.5 juta untuk menampung 1,940 penghuni 15 institusi; bantuan kebajikan pelbagai bantuan kepada 138,000 warga emas (RM840 juta) dan program khidmat bantu di rumah (RM18 juta), selain bantuan khas kewangan bersasar warga emas dalam kalangan pesara kerajaan, nelayan dan kategori lain.

Malah, perubahan senario ekonomi dunia akibat COVID-19 juga memberi kesan kepada peningkatan harga barangan dan keperluan warga emas di pasaran tempatan. Secara keseluruhan didapati jumlah perbelanjaan RM900 juta hanya menampung hampir 5 peratus warga emas menikmati kemudahan dan perkhidmatan daripada kerajaan berbanding jumlah keseluruhan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, iaitu 3.5 juta pada tahun lalu.

Semua bantuan kewangan kerajaan melalui JKM itu hanya tertumpu kepada golongan warga emas B40 mendaftar eKasih sedangkan M40 dan T20, iaitu status sosioekonomi menengah dan ke atas masih kurang pilihan perkhidmatan kemudahan penjagaan warga emas.

Peningkatan jangka hayat warga emas akan disusuli kenaikan bukan sahaja permintaan kewangan dan kesihatan, bahkan perkhidmatan sosial akibat keterbatasan kognitif (masalah demensia) dan kefungsian hidup.

Satu kajian dijalankan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama UKM Pakarunding pada 2021 bertujuan membentuk model penjagaan warga emas jangka panjang pada 2030. Penemuan kajian menunjukkan tahap kesediaan warga emas di negara ini, terutama dari segi kewangan masih rendah dengan 45.7 peratus warga berusia 50 ke atas tidak ada pelan persaraan dan 57.9 peratus pula bimbang kebajikan selepas bersara.

Malah, hampir separuh rakyat negara ini tidak mempunyai simpanan peribadi dan insurans mencukupi untuk membiayai kehidupan selepas bersara 20 hingga 30 tahun ke hadapan.

Oleh itu, beberapa cadangan pengurangan kos kerajaan dapat dilakukan melalui penambahbaikan insurans kesihatan mampu milik ala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), institusi penjagaan berkonsepkan wakaf atau badan keagamaan dengan membabitkan pengurus kes.

Sistem penyampaian perkhidmatan dalam talian memberi kesedaran awal kepada anak dewasa mengenai kebolehcapaian perkhidmatan hotline secara mudah dan ringkas berorientasikan komuniti setempat. Misalnya direktori daftar e-warga emas perlu meliputi jangkauan perkhidmatan dan kemudahan lebih meluas membabitkan perkhidmatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Begitu juga, memperkasa pendigitalan pemantauan, kepatuhan, piawaian dan penghargaan melalui dalam talian sistem (mean testing) penjagaan warga emas jangka panjang. Semua perkhidmatan penjagaan warga emas jangka panjang dikendalikan NGO menggunakan bayaran dalam talian.

Seiring pertambahan populasi dan jangka hayat warga emas sebanyak 15.3 peratus pada 2030, kerajaan disyor menubuhkan pusat perkhidmatan dan kemudahan formal serta tidak formal antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan JKM dengan kolaborasi tadbir urus pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bersifat bersepadu dan mampan dalam memperkasakan penjagaan warga emas setempat.

Bahkan Malaysia perlu menggubal akta holistik bagi melindungi warga emas kerana setakat ini, tidak ada polisi perkhidmatan berkualiti dan modal insan profesional terutama dalam penjagaan warga emas dalam komuniti serta pusat jagaan.

Dasar, akta dan undang-undang berkaitan warga emas sedia ada masih tidak bersepadu sehingga perlu dibahas di Parlimen untuk penambahbaikan bagi persediaan menangani 'tsunami' warga emas pada 2030.

Semua cadangan itu wajar diberikan perhatian kerana pengecutan reproduksi, struktur kekeluargaan, jenis pekerjaan dan jarak geografi mempengaruhi keupayaan anak dewasa dalam mengambil tanggungjawab dalam memberi pelbagai bentuk sokongan kepada ibu bapa.

Dapatan kajian juga menunjukkan 90.3 peratus warga emas di negara ini ingin tinggal bersama ahli keluarga yang memerlukan perkhidmatan sosial serta emosi dan hampir 52 peratus warga emas mempunyai lebih dua penyakit.

Maka, kerajaan perlu memperkasa penjaga berbayar dan penjaga sukarelawan ditambah baik terutama latihan, pengiktirafan, profesionalisme, upah serta elaun lebih menarik bagi meningkatkan standard modal insan dalam bidang penjagaan warga emas jangka panjang.

Peningkatan belanjawan kos penjagaan warga emas adalah realiti yang perlu dihadapi kerajaan Persekutuan dan negeri bersama rakyat dalam menangani isu tsunami warga emas pada masa akan datang.

Bagaimanapun, keluarga masih tetap menjadi tunjang utama dalam melindungi kehidupan warga emas. Kesejahteraan warga emas meniti pengakhiran hidup adalah tanggungjawab kita bersama.

Pembangunan kemakmuran dan produktiviti negara terjamin maju apabila populasi warga emas dihargai dan dihormati sepanjang hidup mereka.

Hakikatnya, banyak ayat al-Quran menghuraikan kepentingan anak menjaga orang tua. Masyarakat Cina dan India pula, sinonim dengan konsep tugas berbakti atau xiao serta membalas budi. Secara tradisional, asas ini sangat utuh dalam masyarakat kita yang perlu diasah dan dipupuk untuk mencapai Keluarga Malaysia yang beradab tinggi dan mulia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X