Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:09am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pastikan sistem pendidikan siap siaga hadapi era tidak stabil

KITA bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Belum pun selesai pandemik COVID-19, datang pula bencana banjir tidak terjangka sejak beberapa minggu lalu. Seluruh rakyat terkesan dengan bencana ini dalam pelbagai situasi hingga masing-masing ada kisahnya.

Ada terkesan teruk sehingga kehilangan harta benda dan kediaman, sedangkan sebahagian pula menerima kesan emosi akibat kehilangan pendapatan serta pekerjaan. Tidak terkecuali anak-anak kita yang terpaksa pula menangguhkan sesi persekolahan mereka selama seminggu apabila sekolah dibuka kembali Ahad dan Isnin ini.

Kita sebenarnya sedang melalui norma kehidupan baharu sering disebut pakar dan pengkaji masyarakat sebagai era VUCA, iaitu ketidalstabilan (volatility), ketidakpastian (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity). Norma baharu VUCA ini tidak akan terhenti,sebaliknya berterusan pada masa depan.

Krisis kesihatan, ekonomi dan perubahan iklim serta bencana alam akan berterusan dalam persekitaran tidak dapat kita jangkakan. Oleh itu, strategi terbaik boleh kita lakukan adalah dengan melakukan kesiapsiagaan untuk berhadapan ketidaktentuan ini.

Bayangkan akibat penularan COVID-19, sistem persekolahan kita terpaksa ditutup lebih 270 hari sejak 20 bulan lalu sehingga menjadi antara negara menutup sekolah paling lama. Bayangkan berapa ramai anak kita keciciran pembelajaran sepanjang tempoh berkenaan?

Malah Menteri Kanan Pendidikan sendiri mengakui hal itu di Dewan Rakyat pada Oktober 2020 bahawa berlaku keciciran dalam sistem pendidikan negara kita.

Walaupun kita cuba melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tempoh sekolah ditutup, Menteri Kanan Pendidikan pada September 2021 turut mengakui pelaksanaan itu didapati tidak begitu berjaya seperti diharapkan. Kajian Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Mei tahun lalu, membuktikan ramai kanak-kanak tidak hadir ke sesi PdPR dan sebahagian besarnya disebabkan ketiadaan gajet serta akses internet.

Bagaimanakah norma baharu era VUCA perlu diuruskan dalam sistem pendidikan negara agar anak kita tidak terus terjejas pembelajaran pada masa depan?

Pertama, kita memerlukan kepemimpinan pendidikan mempunyai visi jelas mengenai hala tuju pendidikan era VUCA. Tentu sahaja kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada visi dan matlamat pendidikan dalam dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dibina 10 tahun lalu.

Keadaan sudah berubah dan sistem pendidikan memerlukan pembentukan visi pendidikan baharu sesuai dengan persekitaran sekarang dan masa depan. Kita mengharapkan sistem pendidikan lebih fleksibel, desentralisasi dan sesuai dengan keperluan setempat.

Kita memerlukan pemimpin pendidikan negara yang dapat menunjukkan apakah bentuk kesiapsiagaan yang diambil supaya anak kita masih boleh terus mendapat pendidikan baik walaupun negara berhadapan persekitaran VUCA kini dan pada masa hadapan.

Kedua, rakyat memerlukan kepemimpinan pendidikan memahami isu pendidikan negara sedalam-dalamnya dan mempunyai strategi jelas dalam menyelesaikan secepat mungkin. Contohnya, isu sekolah daif di pedalaman, sekolah sesak di bandar besar, buli, beg berat, infrastruktur digital, melahirkan kepemimpinan sekolah efisien dan meningkatkan kemahiran pedagogi digital guru.

Rakyat ingin melihat isu berlarutan sekian lama ini diselesaikan segera kepemimpinan pendidikan negara atau sekurang-kurangnya membangunkan dasar, pelan dan strategi untuk penyelesaiannya.

Ketiga, pemimpin mempunyai ketegasan dalam menguruskan kerumitan isu seperti kuota pendidikan, kurikulum dan mata pelajaran terlalu berat untuk sekolah rendah serta isu beban tugas guru.

Begitu juga isu pelbagai pihak menguruskan sistem pendidikan prasekolah dan taman didikan kanak-kanak (tadika). Semua isu ini perlu diselesaikan secara tegas dan berjiwa besar.

Keempat, kepemimpinan pendidikan perlu memberikan pencerahan kepada banyak isu pendidikan berlegar dalam masyarakat. Isu sekolah vernakular memerlukan pencerahan daripada kepemimpinan pendidikan negara.

Begitu juga isu pengangguran graduan semakin meningkat. Rakyat ingin mengetahui secara jelas mengapakah selepas bertahun-tahun belajar, akhirnya semakin ramai graduan menganggur?

Prof Marilyn Leask dan Prof Sarah Younie dalam buku mereka baru diterbitkan beberapa minggu lalu bertajuk Education For All in Times of Crisis: Lessons From COVID-19 menjelaskan beberapa perkara menarik untuk ditelitikan.

Antara lain mereka menyarankan sistem pendidikan ketika era VUCA perlu mempunyai 'pelan kecemasan' yang sedia dilaksanakan apabila negara atau komuniti berhadapan keadaan menyebabkan sekolah perlu ditutup. Pelan kecemasan ini mesti bersifat setempat dan memenuhi keperluan lokaliti berkenaan.

Pemimpin pendidikan pada peringkat wilayah atau daerah disiapkan dengan latihan kepemimpinan dalam membuat keputusan pengurusan lebih besar ketika berlaku sesuatu bencana di kedaerahan mereka.

Guru pula dibekalkan kemahiran mengajar dan planning toolkit pengajaran yang bersedia digunakan sebaik sahaja terjadi sesuatu bencana menyebabkan sekolah terpaksa ditutup.

Norma baharu sistem pendidikan era VUCA menuntut sistem pendidikan lebih bersiap siaga dalam memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan walaupun sesi persekolahan terpaksa ditutup untuk tempoh tertentu akibat bencana.

Kesiapsiagaan pendidikan dari segi kepemimpinan pendidikan peringkat daerah, kemahiran mengajar guru secara digital dan sekolah dilengkapkan dengan alatan bantuan mengajar termasuk infra pendidikan seperti gajet dan internet perlu diberikan perhatian yang lebih ketika ini dan masa depan.

Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Fakulti Pendidikan UKM

Berita Harian X