Sabtu, 1 Januari 2022 | 10:38am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Industri buku tetap bersemarak walaupun tempuhi jalan berliku

TAHUN 2021 yang baru sahaja berlalu, semalam, menyaksikan industri buku bermula dengan baik pada awal tahun, dipacu perkembangan jualan buku secara dalam talian dan pemulihan jualan runcit.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberikan impak besar kepada industri susulan kedai buku terpaksa ditutup ketika tempoh berkenaan.

Di sebalik kegembiraan selepas pergerakan rentas negeri dan ekonomi umum dibuka semula pada suku keempat, ia turut mencetuskan impak kepada jualan buku secara dalam talian hingga jatuh merosot kerana masyarakat umumnya keluar bercuti dan balik kampung.

Pengumuman pembukaan tahun baharu persekolahan pada Mac ini, memberi kesan pada jualan segmen pendidikan. Kalendar jualan kembali ke sekolah yang biasanya berlangsung pada suku keempat, bergerak ke awal tahun ini.

Apapun, terima kasih kepada program Baucar Buku Semarak Membaca di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada November lalu, yang memberi suntikan promosi kepada 167 kedai buku seluruh negara.

Cuma, bencana banjir yang masih melanda negara sejak 18 Disember lalu membawa kepada penutup suku keempat lemah untuk industri buku.

Namun, masuk tahun baharu, industri buku ada beberapa sebab untuk lebih optimistik melihat ke depan. Pertama, kelahiran pembaca generasi baharu. Ini nampak jelas dalam media sosial apabila kelompok pempengaruh (influencer) muda giat bercakap mengenai buku dan pembacaan.

Generasi usahawan baharu juga bercakap mengenai hal sama. Pinjaman e-buku dari perpustakaan naik melambung sepanjang dua tahun ini. Kumpulan ini adalah enjin baharu untuk pembacaan dan buku.

Kedua, walaupun secara total berlaku kejatuhan, muncul benih baharu tumbuh segar dalam dua tahun pandemik ini. Pengarang tempatan terus melahirkan karya, begitu juga penerbitan tempatan masih giat menerbitkannya.

Sepanjang dua tahun pandemik ini, kita terus melihat kumpulan penerbit kendiri (self publish) juga terus tumbuh. Malah, kumpulan menerbitkan buku ilmiah dan separa ilmiah seperti Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) melaporkan jualan buku terbitan mereka terus meningkat. Kandungan berkualiti terus terjual dengan baik sepanjang pandemik ini.

Faktor ketiga mengenai kembali berlangsung pesta buku. Pada suku keempat tahun ini, kita melihat penganjuran dua pesta buku berjaya. Pesta Buku Selangor di Shah Alam dan Big Bad Wolf di Tropicana Mall.

Seterusnya, ia membawa kepada penganjuran 'ibu' kepada pesta buku di negara ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan kembali ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (KLWTC) yang dijadualkan pada pertengahan bulan depan.

Industri buku juga menunggu pengumuman pesta buku peringkat negeri untuk bulan seterusnya. Kembalinya pesta buku fizikal akan merancakkan industri buku secara keseluruhan.

Selain itu, berita pembukaan kedai buku baharu menjelang tahun hadapan juga dilihat sebagai tanda cukup positif kepada industri. Kita akan melihat dua jenama antarabangsa ke pasaran Malaysia, iaitu Eslite dari Taiwan dan Tsutaya dari Jepun.

Kita juga mula melihat penggerak tempatan membuka cawangan baharu. Ini isyarat keyakinan kepada pemulihan jualan runcit kedai buku.

Begitu juga dengan jualan dalam talian yang sudah menjadi saluran jualan utama kepada industri buku. Saluran jualan ini dijangka terus berkembang selaras dengan perkembangan industri e-perdagangan negara.

Keenam, berkisar kepada perkembangan kandungan digital yang akan jadi wilayah pertumbuhan baharu untuk industri buku.

Buku audio misalnya terbukti membawa kumpulan pembaca baharu ke dunia buku.

Orang yang berat kepada format muzik, didapati 'membaca' menggunakan buku audio. Format komik digital akan jadi tarikan kepada kumpulan pembaca awal yang hidup dengan gajet. Komik jadi laluan kepada pembacaan buku.

E-buku terbukti berkembang pesat di perpustakaan sepanjang pandemik dan lebih penting adalah jumlah perpustakaan awam dan sekolah menawarkan format ini kepada pembaca mereka terus meningkat.

Namun, pada masa sama industri buku akan terkesan dengan pelbagai cabaran baharu pada tahun ini. Ancaman gelombang varian baharu Omicron seperti sedang berlaku di luar negara akan sampai ke negara kita.

Apakah gelombang Omicron akan memerlukan satu lagi pusingan PKP untuk mengawalnya?

Penerbit juga sangat khuatir dengan inflasi bahan mentah sekarang. Kita boleh lihat harga buku sedang meningkat. Kenaikan kos kertas selama beberapa tahun kebelakangan menghimpit penerbit, akhirnya tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menaikkan harga jualan buku.

Kenaikan harga pasti akan merendahkan jualan buku. Ini tentu tidak bagus untuk negara yang sedang membangun seperti Malaysia.

Pemulihan ekonomi negara pada tahun ini juga faktor besar yang akan memberi impak pada industri buku. Buku dilihat sebagai kategori perbelanjaan kemewahan mampu milik untuk pengguna.

Maksudnya, jika rakyat mempunyai lebihan wang, maka jualan buku akan naik. Namun, kalau masyarakat terhimpit dengan kesempitan hidup, maka pembelian buku juga akan terkesan.

Bagaimanapun terdapat banyak sebab untuk kita berasa optimistik dengan industri buku untuk tahun ini. Pada masa sama, jalan di hadapan tidak akan rata. Kita berdoa supaya urusan kita dipermudahkan, manakala kita akan terus diberikan rezeki yang baik untuk tahun ini.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA)

Berita Harian X