Rabu, 29 Disember 2021 | 10:46am

Lonjak kearifan watan dalam agenda menyaring ilmu

FAHAM ilmu dalam setiap kebudayaan berbeza menurut sistem nilai dianut. Bagi masyarakat bebas nilai seperti di Barat, mereka meyakini konsep kesejagatan sains, iaitu sains satu-satunya alat untuk mengabsahkan kebenaran.

Bagi masyarakat dipengaruhi nilai agama, ilmu diterbitkan sangat dipengaruhi nilai dan kebenarannya boleh melangkaui keabsahan penerimaan sains.

Ini membezakan watak khas peradaban Islam dengan ilmu dipengaruhi sarat nilai atau dengan kata lain, ilmu memiliki kesetaraan dengan iman.

Alam Melayu sebagai bahagian kebudayaan dunia turut memancarkan nuansa sama. Kemunculan tamadun serentak dengan masuknya iklim intelektualisme tidak lepas daripada pengaruh ilmuwan dan sarjana.

Sebagai menzahirkan sikap menghargai jasa dan sumbangan ilmuwan ini, generasi muda perlu melanjutkan kerja baik yang mereka tinggalkan.

Penghargaan boleh dalam beberapa cara seperti meneladani jalan di rintis mereka, iaitu mengenali dan mengambil iktibar segala perjalanan mereka yang murni terkait peningkatan darjah diri insani.

Juga menggunakan kerangka berfikir mereka dalam memberikan komentar terhadap persoalan ilmu dalam faham epistemologi dan aksiologi diajukan mereka untuk melanjutkan kerja terbengkalai atau belum dilunaskan.

Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menerusi gagasan beliau, menayangkan seruan malar segar supaya ilmuwan Islam, terutama menyaring sains Barat dan menerbitkannya dengan faham berasaskan metafizik serta kosmologi sendiri.

Gagasan beliau itu dinamakan sebagai Islamisasi ilmu pengetahuan. Pandangan alam Islam berbeza dengan apa terkandung daripada faham Barat berasaskan faham sekularisme.

Al-Attas juga mengajukan rumusan penting terhadap memahami makna kunci dalam Islam seperti pendidikan, pembangunan, kemajuan dan kebahagiaan. Beliau termasuk yang terawal memberikan definisi begitu konsisten mengenai pendidikan Islam berasaskan faham adab.

Kemaraan untuk benar-benar membersihkan tubuh ilmu daripada pandangan alam menyeleweng dan menyimpang ditekadkan lagi menerusi gagasan penafibaratan atau penyahbaratan (dewesternization), iaitu membebaskan epistemologi dan struktur ilmu daripada campur tangan kekeliruan faham Barat.

Al-Attas memberikan definisi tuntas mengenai persoalan ilmu. Menurutnya, pentakrifan ilmu bersifat tidak terbatas tanpa had kerana begitu luas pendefinisiannya, iaitu ilmu adalah ketibaan makna ke dalam diri serempak dengan ketibaan diri ke dalam makna.

Apa sahaja proses menemukan kita kepada makna dalam jiwa dan hati, kemudian meresap ke dalam fikiran, lisan dan perbuatan itulah takrif benar memenuhi haknya. Ia tetap dengan sifat ilmu membawa pengenalan, pengiktirafan dan penghapusan keraguan untuk memandu pemiliknya menuju suatu maksud cerah.

Gagasan beliau juga mendorong lahirnya beberapa kumpulan menggerakkan ideanya pada peringkat gerakan belia.

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam karya Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas menyebutkan gagasan itu mengilhamkan landasan konkrit kepada Akademi Sains Islam (ASASI), Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk menyuarakan kepentingan idea pokok pengislahan di medan aktivisme.

Ia turut menumbuhkan pelbagai wacana, usrah dan medan perbincangan intelektual untuk membahaskan serta membumikan usaha keilmuwan.

Seorang lagi tokoh harus diamati golongan belia ialah Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas yang bergelumang di medan sosiologi melalui argumentasi berlawanan dengan wacana pegun di arus perdana tertawan.

Beliau percaya sejarah perlu ditafsir semula seperti apa disebut Edward Said sebagai 'revisionary history' atau penulisan sejarah menolak wacana berpengaruh dan berkuasa. Antara karya seumpama ini ialah The Myth of the Lazy Native.

Dalam karya itu, beliau mengkritik teori penjajah rakyat pribumi adalah malas pada dasarnya. Beliau memperlihatkan peranan citra pribumi Jawa, Melayu, Filipina dalam kapitalisme penjajah serta berterusannya mitos itu dalam kalangan elit pribumi.

Di negara Asia seperti India dan Filipina, suatu tradisi pentafsiran semula sejarah ditanamkan dalam kalangan sarjana, tetapi ia masih belum berlaku di negara ini.

Syed Hussein juga mengkritik sikap minda tertawan yang hanya menerima borong dan pukal apa sahaja citra dilukiskan dalam ilmu kolonial. Tindakan ini menjadikan sejarah kita diherotkan tangan asing yang sangat bias.

Peranan intelektual sangat signifikan dalam upaya mengemudi pembangunan negara. Menurut al-Attas, kesan ketiadaan kepemimpinan intelektual membawa kepada program pembangunan dalam negara tergendala.

Budaya intelektual ditakrifkan sebagai kegiatan bersifat pemikiran mendalam terhadap perkara bukan kebendaan yang menjadi roh menghidupkan sesuatu. Karangan beliau, Intellectuals in Developing Societies wajar dirujuk dan dijadikan bacaan dalam pergerakan belia tanah air.

Za'ba ialah contoh perlu kita timbangkan. Kesungguhannya menebas 'iktikad terpasung yang memahami takdir dan menjalani agama secara pasif memungkinkan umat Islam tertinggal jauh di belakang saf golongan maju.

Beliau antara barisan terawal memecahkan tembok taklid buta dan kepercayaan karut serta menanamkan risalah pembaharuan melalui persenjataan ilmu.

Beliau menegaskan masalah kemunduran orang Islam tidak akan pernah selesai ditangani selagi tidak dicantumkan pendidikan sains dan agama seberapa dalam termampu. Pemikiran ini menayangkan komitmen kepentingan pendidikan sepadu diharapkan dapat melahirkan kelompok multi dimensi atau dengan kata lain – mengintelektualkan ulama, mengulamakan intelektual.

Hakikatnya, budaya ilmu ditandai himpunan karya tulis dan wacana didukung masyarakat. Menjejak karya seawal abad ke-17 seperti Durr al-Fara'id bi Sharh al-'Aqa'id oleh al-Raniri sebagai contoh membawakan dimensi sudah muncul dan berkembang secara mendalam kegiatan ilmu membincangkan soal metafizik dan epistemologi berstruktur di tanah air.

Tidak diketepikan himpunan syair sufi melambangkan pencapaian seni tinggi dan kehalusan rohani seperti tertuang dalam syair Hamzah Fansuri seperti Syair Perahu dan Syair Si Burung Pingai.

Tamsil dibawa pengarang menerbangkan jiwa 'arif billah untuk berangkat menuju pelayaran di dunia fana' dengan kemudi benar. Satu lagi dimensi spritualisme begitu halus bergemerlapan dalam keilmuan tanah air.

Seorang lagi tokoh patut dimajukan untuk dihargai ialah Prof Shaharir Mohd Zain. Pencapaian beliau dalam matematik disemarakkan kerja kerasnya untuk mengangkat apa dinamakan sebagai keilmuwan pribumi.

Sumbangan itu melahirkan gagasan dinamakan pribumisasi ilmu, iaitu menilai sains Barat dan ilmu Islam daripada kaca mata keilmuaan pribumi.

Kearifan watan yang tertanam di kebun kebudayaan sendiri sering diperkecilkan generasi hari ini, termasuk sarjananya. Kekaguman melulu terhadap segala daripada Barat menjadikan penilaian berat sebelah.

Shaharir termasuk mempopularkan bidang etnosains khususnya etnomatematik. Dapatan beliau mengingatkan antaranya penemuan sistem angka perpuluhan bersimbol kosong dalam tradisi Funan yang dianggapnya tertua di dunia.

Beliau yakin tradisi kebudayaan Melayu juga memiliki apa disebutkan sebagai Sains Melayu tidak bertentangan dengan nilai Islam dan boleh dibanggakan seperti sains Barat berkembang daripada kebudayaan Yunani, tetapi kini bernilai semesta.

Jiwa besar sebegini perlu ditanamkan kepada belia. Bagi memastikan soal keintelektualan dilazimi dan dibudayakan dalam kehidupan tiadalah jalan lainnya kecuali amalan membaca dan mencampuri perbincangan ilmu.

Penulis adalah Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM)

Berita Harian X