Selasa, 28 Disember 2021 | 11:30am
Semangat perpaduan antara kaum ketika menghadapi bencana perlu dikekalkan demi keharmonian rakyat Malaysia. - NSTP/Faiz Anuar
Semangat perpaduan antara kaum ketika menghadapi bencana perlu dikekalkan demi keharmonian rakyat Malaysia. - NSTP/Faiz Anuar

Bencana banjir serlah semangat perpaduan kalangan rakyat

SEKALI lagi kita menyaksikan bagaimana rakyat tidak kira agama dan kaum turun beramai-ramai, sekali gus memperlihatkan keprihatinan membantu mangsa banjir di enam negeri dilanda banjir teruk beberapa hari sebelum 2021 melabuhkan tirai.

Mengetepikan perbezaan agama dan kepercayaan, rakyat membantu membersihkan rumah ibadat tidak kira agama dan kaum. Mereka yang bukan beragama Islam membantu membersihkan masjid. Begitu juga mereka beragama Islam menghulurkan tangan turut membantu kerja pembersihan.

Ramai yang dengan segera turun padang menyertai usaha menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir.

Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menyediakan makanan halal, sebahagian usaha diambil untuk membantu mangsa banjir. Malah, rakyat asing membantu warga tempatan, manakala anak tempatan sama-sama menyelamatkan pekerja asing.

Penyediaan makanan halal dengan sendiri membuktikan kita sudah faham satu sama lain. Kita faham keperluan kaum lain. Kita menghormati amalan mereka berbeza agama dan kepercayaan.

Aspek ini tidak datang dalam semalaman, sebaliknya ia hasil pendidikan, pemahaman dan penghayatan mengenai budaya serta amalan satu-satu kaum, etnik dan penganut. Ia sebahagian usaha menyemai dan memupuk perpaduan dalam jiwa rakyat Malaysia.

Semangat sukarelawan membantu ketika tragedi dalam pelbagai bentuk menunjukkan kita sentiasa membantu satu sama lain tidak kira kedudukan, latar belakang, agama dan kaum. Dalam aspek ini, kita perlu mengambil aspek positif untuk ke hadapan.

Sekali lagi, tragedi menghimpunkan rakyat pelbagai agama, kaum dan usia serta latar belakang dalam misi membantu mangsa tidak kira siapa mereka sebenarnya. Ini yang disebutkan keunikan terpancar dalam rakyat Malaysia.

Aset yang kita miliki adalah membantu satu sama lain. Ia antara aspek mencerminkan kita masih kental dari segi semangat perpaduan, diwarnai dengan sifat kemanusiaan. Saya secara peribadi amat terharu apabila menyaksikan keadaan ini.

Tragedi banjir kali ini memberikan pengalaman dengan sendiri menunjukkan kita boleh mengetepikan perbezaan untuk memperkukuh semangat perpaduan yang kita harapkan.

Sebelum ini ramai sangsi, lalu melontarkan tanggapan kita kurang semangat perpaduan. Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pula dianggap luntur dan pudar dibawa peredaran masa. Malah, ramai mendakwa kita gagal dalam usaha menyemai semangat perpaduan.

Sebaliknya tidak. Kita sudah nampak sinaran untuk mengubah keadaan; mengambil usaha memperkukuh semangat perpaduan sedia ada.

Usaha menyelamat dan membantu mangsa banjir menjadi satu lagi contoh jelas dan luar biasa, yang secara langsung menghakis tanggapan kurang yakin dan pesimis seperti itu.

Pokoknya, perpaduan rakyat masih kental. Cuma, kita selalu lihat dari sudut berbeza. Kita selalu dipisahkan pihak tidak bertanggungjawab yang memisahkan rakyat. Kita dipisahkan pihak berkepentingan yang memecahbelahkan rakyat jelata.

Februari lalu, Dasar Perpaduan Negara digubal Kementerian Perpaduan Negara dilancarkan. Perpaduan sememangnya satu istilah selalu menjadi perhatian pada semua peringkat sejak awal negara merdeka.

Dasar Perpaduan Negara berteraskan konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian, menetapkan strategi jangka panjang yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

Tiga objektif utama ditetapkan dalam dasar ini, iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati, bertanggungjawab dan melahirkan rakyat Malaysia menghargai serta mengekalkan perpaduan.

Tragedi terbaru mencerminkan kita perlu mengorak usaha ke arah memperkukuh semangat perpaduan. Bolehkah kita lakukan?

Semangat jati untuk membantu orang lain ketika banjir adalah antara contoh membina dan bernas. Kita perlu menggunakan peluang ini dengan baik. Ia aset kepada kita dalam usaha ini.

Perpaduan perlu menjadi dan dijadikan agenda utama dalam setiap tindakan. Tindakan ketika tragedi adalah antara ruang dan peluang yang baik.

Dalam amalan dan pengukuhan perpaduan, semua individu adalah sama. Sumbangan setiap individu adalah penting. Ia tidak mengira taraf sosioekonomi mana-mana individu.

Setiap peranan dan tindakan kemungkinan kelihatan kecil, tetapi ia bakal membawa perubahan yang besar dalam jangka panjang.

Pengalaman ketika banjir ini menunjukkan usaha memperkukuh atau memperkasa perpaduan perlu dipertingkatkan. Rakyat yang pelbagai mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri ke arah itu.

Perpaduan boleh dibentuk, diadun dan diperkukuh dalam pelbagai cara. Kita perlu menggunakan cara luar biasa ke arah positif berbanding melihat dari sudut kecil lagi sempit.

Hakikatnya, dasar sudah jelas dan rakyat juga memperlihatkan semangat, kesediaan serta kesudian mereka. Teras dan strategi juga sudah ada. Kini yang tinggal hanya tindakan susulan memperkukuh apa yang ada.

Rakyat boleh melakukan apa juga tindakan yang sesuai mengikut kapasiti dan keupayaan masing-masing untuk membawa perubahan diharapkan. Komitmen dan kesungguhan ketika tragedi adalah satu contoh murni.

Bencana dan malapetaka membuktikan negara masih ada insan membantu serta menghargai nyawa orang lain tidak kira agama dan kaum. Marilah kita sama-sama mengoptimumkan tingkap yang ada ini demi masa depan lebih baik untuk Malaysia dari sudut perpaduan.

Sudah banyak detik manis sejak kebelakangan ini, malah sejak negara dihimpit pandemik COVID-19, yang memperlihatkan semangat terpuji rakyat pelbagai agama dan kaum, di seluruh negara, dari Perlis hingga Sabah.

Ia menunjukkan perpaduan masih utuh. Yang penting, ia perlu diperkukuh supaya tidak luntur disebabkan tindakan, sikap negatif dan tingkah laku beberapa pihak tidak bertanggungjawab.

Saya amat yakin kita boleh melakukan perubahan dan merasai perpaduan dan integrasi nasional kental lagi unik, sekali gus menjadi contoh kepada dunia.

Saya berharap kasih sayang, keprihatinan dan semangat 'Kita Jaga Kita' akan membuahkan hasil lebih baik, iaitu memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional di bumi tercinta, Malaysia.

Syabas. Teruskan usaha membina perpaduan dalam kalangan rakyat Keluarga Malaysia.

Penulis adalah Ahli Panel Pemikir Kementerian Perpaduan Negara

Berita Harian X