Isnin, 27 Disember 2021 | 11:15am
Pengguna motosikal cuba melepasi banjir yang semakin surut di Lebuhraya Persekutuan selepas terperangkap sepanjang malam di atas jejantas berhampiran Batu Tiga, Shah Alam, 19 Disember 2021. - NSTP/Suhael Adnan
Pengguna motosikal cuba melepasi banjir yang semakin surut di Lebuhraya Persekutuan selepas terperangkap sepanjang malam di atas jejantas berhampiran Batu Tiga, Shah Alam, 19 Disember 2021. - NSTP/Suhael Adnan

Penyelesaian strategik kurangkan impak banjir terhadap nyawa, harta

TAHUN 2021 mencabar kerana pandemik COVID-19 belumpun reda, kita diuji musibah banjir terbesar pernah melanda Lembah Klang sejak 1994. Soalnya, sejauh mana kesiapsiagaan Malaysia mendepani bencana alam dan apakah faktor menyumbang banjir besar ini?

Tidak dinafikan, kesiapsiagaan menyalurkan maklumat bencana antara punca utama ribuan mangsa terperangkap. Hingga kini, Malaysia belum mempunyai satu sistem penyaluran maklumat bencana alam.

Ini kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mengeluarkan amaran banjir dan fenomena air pasang tinggi sejak awal bulan lalu lagi. Soalnya, apakah maklumat itu tidak dihebahkan atau masyarakat mengambil sikap tunggu dan lihat?

Jepun contohnya membangunkan sistem amaran banjir, Today's Earth Japan (TE-Japan) berfungsi menyalurkan maklumat sebarang bencana alam berdasarkan data terkini daripada satelit dan boleh dimuat turun percuma.

Ia langkah praktikal untuk diguna pakai di Malaysia kerana kita berhadapan risiko banjir setiap tahun. Ditambah kebarangkalian ia tidak lagi hanya terjadi di Pantai Timur Semenanjung sepanjang Disember atau Januari.

Di samping faktor fenomena semula jadi, pembangunan tidak lestari mengakibatkan banjir kilat terutama di bandar besar. Pembangunan perumahan dan kawasan industri lebih berpusat di laluan serta tebing sungai, berpotensi mengganggu aliran air.

Gangguan aliran sungai juga antara punca utama banjir. Berdasarkan statistik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 2020, terdapat peningkatan 62.43 peratus, iaitu 869 laporan banjir berbanding 2019 (535).

Peningkatan ini menunjukkan langkah drastik perlu diambil pihak berwajib, sama ada pemaju atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengguna pakai konsep pembangunan lestari.

Konsep pembangunan lestari perlu mengambil kira tiga faktor, iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi. Semua ini penting dijadikan garis panduan dalam meluluskan projek pembinaan.

Konsep matlamat pembangunan lestari (SDG) diamalkan secara meluas di negara luar seperti Switzerland, Finland, dan Sweden.

Berdasarkan Laporan Pembangunan Lestari 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-65 di belakang negara serantau seperti Thailand (44) dan Vietnam (51). Ini menunjukkan wujudnya keperluan mustahak untuk kerajaan serta pihak seperti PBT melihat kembali pelan pembangunan untuk menjamin keperluan pembangunan tanpa menjejaskan kepentingan generasi masa hadapan.

Contohnya, kerajaan perlu mewajibkan pemaju melakukan konsep tanam semula bergantung keluasan tapak pembinaan dibangunkan.

Langkah serampang dua mata ini dapat mewujudkan landskap hijau dan memastikan alam sekitar dipulihara untuk mengelakkan banjir.

Sistem perparitan tidak cekap dan tidak diselenggara dengan baik juga punca banjir berulang. Masalah perparitan sering menghantui bandar besar kerana sampah tidak dibersihkan berpotensi untuk mendap di dasar saliran parit, sekali gus menyebabkan kedalaman parit menjadi cetek.

Ini menyebabkan parit tidak dapat mengalirkan air pada tahap maksimum apabila hujan lebat berterusan, sekali gus menyebabkan banjir kilat ekoran limpahan air.

Dalam menangani masalah ini, PBT perlu mengambil langkah drastik dan berkesan dalam memastikan saliran parit sentiasa bersih serta berada pada tahap paling optimum sebagai persediaan awal supaya ia mampu berfungsi sepenuhnya dalam melencongkan aliran air sekiranya hujan lebat berterusan.

Tanggungjawab penduduk adalah untuk memastikan sistem perparitan tidak terganggu dengan tidak membuang sisa domestik ke saliran parit. Parit tersumbat mampu mengganggu aliran air, sekali gus berisiko menyebabkan banjir.

Dalam memastikan kecekapan sistem perparitan ini, pengawasan PBT dan tanggungjawab penduduk adalah amat penting.

Kepentingan perubahan sikap dalam melihat hubung kait ekosistem kelestarian, perlu dijadikan agenda pemimpin setempat. Ini kerana aktiviti gotong royong sukar dilakukan sekarang.

Tidak dinafikan banjir disebabkan juga faktor semula jadi, iaitu hujan lebat dan berterusan. Namun, bencana ini menjadi di luar kawalan apabila terdapat campur tangan aktiviti manusia rakus menebang hutan sama ada untuk pembangunan atau aktiviti perhutanan tidak terkawal seperti pembalakan.

Bencana banjir kali ini tidak hanya menjejaskan kawasan bandar, bahkan lebuh raya utama yang

menjadi jalan perhubungan seperti Lebuhraya KL-Karak (KLK) turut terjejas yang berkemungkinan besar berpunca aktiviti pembalakan tidak terkawal.

Sebelum ini kita diberi amaran beberapa episod kejadian tanah runtuh ekoran aktiviti pembalakan tidak terkawal. Kemuncaknya, banjir melanda lebuh raya utama yang menjadi jalan penghubung antara

Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan terutama dari segi logistik kerana majoriti produk sayuran berasal dari Cameron Highlands.

Tidak dapat dinafikan Malaysia mempunyai pasukan penyelamat bersedia berkhidmat dalam misi mencari dan menyelamat. Namun, isu keselamatan sewaktu menghadapi bencana perlu diambil kira.

Ini termasuk keselamatan semasa misi menyelamat digerakkan. Faktor keselamatan ini dapat ditingkatkan melalui kesiapsiagaan pasukan penyelamat merangkumi pelbagai agensi seperti Jabatan

Pertahanan Awam (JPAM), bomba dan tentera.

Kesiapsiagaan aset logistik penting dalam membantu pasukan penyelamat menggerakkan misi bantuan lebih cekap. Keselamatan dan kesihatan penduduk selepas pasca banjir juga perlu dititikberatkan seperti risiko penyakit bawaan air dan pencemaran air, termasuk keselamatan infrastruktur, bangunan, jalan raya dan ancaman haiwan liar.

Kepatuhan rakyat untuk bekerjasama dengan pasukan penyelamat juga penting semasa banjir seperti bersedia berpindah apabila diarahkan dan tidak mengambil mudah risiko banjir pada masa depan.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 terutama di pusat penempatan sementara (PPS) atau semasa menangani tekanan dan kekalutan bencana perlu sentiasa ditekankan supaya risiko sedia ada dapat dikawal dan diminimumkan.

Bencana banjir tidak lagi boleh dianggap sebagai fenomena luar biasa di negara ini. Justeru, kerajaan melalui kementerian terbabit dan PBT perlu mencari penyelesaian strategik jangka panjang supaya impak terhadap keselamatan nyawa dan harta benda awam dapat diminimumkan.

Rakyat pula perlu mengambil tanggungjawab bersama dengan tidak melakukan aktiviti boleh mengakibatkan risiko banjir. Mungkin kesedaran proaktif kepada penilaian risiko atau cakna bencana perlu ditingkatkan sama ada melalui aktiviti setempat atau sebaran maklumat melalui media sosial.

Pengambilan pakej insurans individu mungkin boleh mengurangkan faktor kerugian sama ada harta benda atau nyawa. Walaupun setiap tahun negara kita diancam banjir, dengan kepakaran ilmu dan teknologi, kita sebagai Keluarga Malaysia mampu menjadi negara contoh dalam aspek pengurusan risiko bencana pada masa akan datang.

Mohd Nizam adalah Timbalan Pengarah di Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Ariff Azli adalah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X