Selasa, 21 Disember 2021 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kategori mampu milik bukan 'lesen' pemaju abai kualiti rumah

KESAN pertumbuhan ekonomi negara yang tinggi dan pesat, serta kenaikan harga barang tidak menentu, terutama berkaitan penyediaan perumahan, menyumbang kepada peningkatan berkali ganda harga pelbagai jenis perumahan.

Ketidakseimbangan pengurusan kos pada peringkat makro dan mikro, mencetuskan kesan kepada kemampuan pemilikan rumah rakyat negara ini. Perkembangan sedemikian secara tidak langsung mendatangkan kesan kepada kelompok berpendapatan rendah dan sederhana.

Melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik. Ia diharap meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 untuk memiliki rumah sendiri. Ia menunjukkan kerajaan mengambil serius isu ini.

Dinilai RMK-11, sasaran rumah mampu milik siap dibina hanya 282,000 unit. Kerajaan juga mewujudkan dan menambah baik kemudahan pembiayaan, termasuk dana untuk rumah mampu milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) atau sewa untuk beli, bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak dibebani bayaran ansuran.

Pelbagai program perumahan juga diperkenalkan kerajaan dan swasta bagi membolehkan penduduk bandar berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah sendiri. Antaranya, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Perumahan Awam Kos Rendah Bersepadu, Skim Pinjaman Perumahan, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) serta tidak ketinggalan Rumah Selangorku.

Namun, kajian mendapati ramai penduduk berpendapatan rendah masih tidak berpuas hati dengan isu pemilikan rumah mampu milik ini. Apakah faktor masih membelenggu?

Lantas, semakan dan pemantauan berterusan perlu digerakkan pihak bertanggungjawab bagi memastikan ia benar-benar mencapai aspirasi inisiatif itu terhadap masyarakat.

Aspirasi perancangan ingin diterapkan kerajaan adalah perumahan disediakan pada kadar jualan mampu milik, semestinya tampil dengan kualiti yang baik dan tinggi. Namun, masalah timbul apabila rumah dibeli tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

Bukan itu sahaja, ada rumah yang baru diduduki seminggu, tetapi sudah retak dan berlaku pelbagai kerosakan lain hingga menimbulkan ketakutan pembeli untuk mendiaminya.

Timbul persoalan, apakah spesifikasi mampu milik atau kerana ia dibeli dengan harga rendah, membuatkan pihak tertentu mengambil sikap sambil lewa berkaitan perumahan dibina? Adakah keselamatan penduduk tidak diambil kira?

Oleh itu, satu indikator baharu yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan dalam menilai dan memastikan setiap ruang lingkup projek diwartakan memenuhi kriteria ditetapkan.

Ia bagi membolehkan semua isi rumah mampu mencapai sasaran iaitu memilih rumah dengan kualiti yang tinggi pada harga mampu milik, walaupun mereka tergolong dalam kategori berpendapatan rendah.

Untuk itu, pelaksanaan perancangan ini perlu diteliti dan dilaksanakan secara tegas serta telus, terutama dalam memastikan perancangan membabitkan penyediaan inisiatif rumah mampu milik yang dirangka melalui RMK-12.

Dalam pada itu, kemudahan membeli rumah kos rendah seperti mendapatkan pinjaman pembiayaan perumahan dari institusi kewangan tempatan, juga satu masalah dihadapi pembeli daripada golongan berpendapatan rendah. Contohnya, syarat kelayakan mendapatkan pinjaman.

Masalah ini timbul apabila dasar ketat dikenakan bagi mengelak peminjam tidak dapat membayar balik pinjaman dalam tempoh ditetapkan, sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada syarikat.

Tanpa disedari, inilah sebenarnya punca utama terjadi isu lambakan rumah yang menjadi masalah besar masa kini. Oleh itu, pemaju hartanah tempatan yakin insentif diperkenalkan melalui Bajet 2022 dapat memacu industri hartanah negara serta mempercepatkan pemulihan industri berkenaan.

Melalui insentif Skim Jaminan Kredit Perumahan (HCGC), kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi memudahkan rakyat yang tidak mempunyai bukti pendapatan tetap.

Setakat ini, BSN MyHome (Program Perumahan Rakyat) 2021 satu skim pinjaman perumahan, membuka peluang kepada mereka yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki rumah sendiri.

Ini secara tidak langsung membantu mereka yang menghadapi kesan berganda akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Seterusnya, isu kemampuan memiliki rumah seharusnya mempertimbangkan lingkungan konteks lebih luas melangkaui faktor pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, serta kemudahan pembiayaan perumahan.

Peningkatan kos sara hidup, tempoh dan faedah kemudahan kredit, peningkatan harga bahan binaan serta tanah di bandar juga harus dilihat sebagai penyumbang kepada kemampuan penduduk dan keluarga di bandar untuk memiliki rumah. Ia juga menjadi semakin kompleks.

Sering kali, masalah perumahan bandar di Malaysia berkaitan penawaran rumah kos rendah dan mampu milik yang dilihat masih tidak dapat memenuhi permintaan penduduk bandar di negara ini.

Tambahan lagi, Majlis Profesor Negara (MPN) turut memperincikan pandangan mereka mengenai status pemilikan rumah di bandar bahawa perumahan ingin dibangunkan itu mestilah untuk membina rumah yang diperlukan rakyat, bukannya yang ingin dijual untuk keuntungan mana-mana pihak.

Penetapan spesifikasi rumah dan segala kemudahan perlu disediakan mestilah memenuhi keperluan rakyat dari segi saiz, harga dan lokasi.

Mengambil contoh dasar diamalkan Singapura dan Korea Selatan, kedua-dua negara ini memberi keutamaan kepada pembinaan rumah diperlukan dan mampu dibeli rakyat dalam kawasan utama bandar dan pinggir bandar.

Ia bagi membolehkan rakyat menikmati kediaman diharapkan, walaupun pembinaan rumah dilaksanakan kerajaan dan swasta.

Ini dibentangkan dan dibincangkan secara dasar oleh MPN pada 2014 dan ia perlu dilihat dan diperhalusi kembali mengikut kesesuaian semasa keperluan masyarakat negara kita.

Akhir sekali, penyediaan kemudahan perumahan mampu milik yang mencukupi bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana penting bagi mewujudkan persekitaran bandar yang sejahtera serta mampan, seperti digariskan Dasar Pembangunan Negara 2021 (DPN 2021).

Isu kemampuan keluarga dengan berpendapatan rendah memiliki rumah penting terus dibincangkan dan diperkemaskan bagi mengenal pasti petunjuk dan mekanisme sesuai untuk meningkatkan keupayaan dalam kalangan penduduk untuk memiliki rumah.

Indikator baharu dalam menilai dan memantau penyediaan perumahan mampu milik disarankan kerajaan perlu diperhalusi dari semasa ke semasa, serta diharapkan dapat membantu rakyat golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman mereka sendiri.

Ia secara tidak langsung, mengatasi ketidakupayaan penduduk dan keluarga untuk memiliki rumah, malah menjelmakan kestabilan sosial dalam persekitaran serta meningkatkan kualiti hidup di pelosok negara.

Noorsidi Aizuddin adalah Profesor Madya di Program Harta Tanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Nur Aqila adalah penyelidik di Program Harta Tanah (UTM)

Berita Harian X