Isnin, 20 Disember 2021 | 11:15am
Demensia boleh didefinisikan sebagai kurang kemampuan mengingati, berfikir atau membuat keputusan sehingga mengganggu aktiviti seharian. - Foto hiasan
Demensia boleh didefinisikan sebagai kurang kemampuan mengingati, berfikir atau membuat keputusan sehingga mengganggu aktiviti seharian. - Foto hiasan

Sokongan terhadap pesakit demensia, penjaga sama penting

MALAYSIA sedang menuju negara menua dengan menjelang 2030, warga emas diramalkan meliputi sekitar 15 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Kecenderungan ini sejajar fenomena penuaan yang pesat di seluruh dunia, terutama di kawasan membangun dan negara Asia Tenggara berdekatan seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan Brunei.

Penuaan penduduk hasil daripada pelbagai faktor. Ini termasuk penurunan kadar kesuburan (wanita yang mempunyai anak yang lebih sedikit atau saiz keluarga yang semakin kecil), peningkatan jangka hayat, kadar kematian lebih rendah di segenap kumpulan usia, serta kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit yang lebih efisien akibat penambahbaikan terhadap sistem penjagaan kesihatan dan taraf hidup.

Penuaan populasi perlu diraikan kerana fenomena ini mencerminkan kejayaan inisiatif penjagaan kesihatan dan kesihatan awam di negara kita. Namun, ia juga hadir dengan pelbagai cabaran.

Sebagai contoh, semakin ramai warga emas - jika tidak digabungkan dengan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit yang mencukupi - akan menyebabkan jumlah penyakit kronik lebih tinggi seperti kencing manis, darah tinggi, angin ahmar, barah dan lain-lain.

Isu lain berkait rapat penuaan adalah penurunan kognitif, yang dapat ditakrifkan sebagai demensia. Demensia boleh didefinisikan sebagai kurang kemampuan untuk mengingati, berfikir, atau membuat keputusan sehingga mengganggu aktiviti seharian.

Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2018 (NHMS 2018) menunjukkan 8.5 peratus individu dewasa yang lebih tua menderita akibat demensia. Kajian juga menunjukkan angka ini akan terus meningkat pada masa akan datang disebabkan penuaan penduduk dan peningkatan faktor kesihatan lain yang menyumbang keadaan ini.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati demensia satu masalah kesihatan yang membabitkan perbelanjaan kewangan paling mahal, dengan jumlah kos perbelanjaan pada 2020 sahaja mencecah sehingga AS$305 bilion.

Demensia bukanlah suatu penyakit spesifik, melainkan ia hanyalah beberapa gejala yang mempengaruhi ingatan, pemikiran dan kemahiran sosial seseorang. Semua gejala ini biasanya merosot sehingga boleh mengganggu kehidupan dan rutin harian seseorang.

Individu dewasa yang lebih berusia yang juga menghidapi demensia bukan sekadar pelupa, malah boleh menjadi agresif secara lisan dan bertindak secara fizikal terhadap orang lain di sekeliling mereka.

Anggota keluarga akan sering dapat mengesan 'perubahan aneh' terhadap tingkah laku penghidap dimensia, seperti bersikap dingin, memberontak, sangat mudah marah, atau memandu ke suatu tempat dan lupa cara pulang ke rumah mahupun keluar merayau.

Tingkah laku 'baharu' ini biasanya menjadikan ahli keluarga atau penjaga keliru dan gelisah. Kesan demensia boleh merosot lebih dahsyat. Selain warga emas yang menghidapi demensia, penjaga utama mereka antara golongan paling terjejas.

Penjaga boleh meliputi pasangan, anak yang telah dewasa, menantu, atau saudara mara terdekat. Sebilangan pakar menganggap penjaga kepada pesakit demensia sebagai 'pesakit tersembunyi' atau 'pesakit yang tidak kelihatan/

Ini kerana kebiasaannya, doktor lebih cenderung memberi perhatian lebih kepada 'pesakit' namun mengabaikan keperluan penjaga mereka. Sehingga kini, masyarakat masih kurang menyedari tentang kewujudan demensia.

Mereka juga tidak memahami gejala dan perubahan berlaku terhadap individu yang mereka sayangi sebenarnya suatu masalah perubatan.

Perubahan negatif berlaku terhadap ibu bapa atau saudara mereka yang berusia disalah erti sebagai faktor semula jadi penuaan (nyanyuk), atau percubaan sengaja mendapatkan perhatian, malahan ada dituduh sebagai sihir.

Amat wajar sekiranya sokongan terhadap pesakit demensia disertakan bersama penjaga mereka. Ini kerana penjaga memainkan peranan utama dalam menentukan taraf kesihatan pesakit demensia di bawah jagaan mereka.

Jika pesakit demensia mempengaruhi beban penjaga secara negatif dalam tugasan penjagaan dan asuhan, tidak mungkin warga emas menghidap demensia dapat mematuhi arahan, mengikuti rawatan susulan kesihatan, atau ubat-ubatan lain yang diberikan pengamal perubatan dengan baik.

Begitu juga sebaliknya, keadaan pengasuh akan menentukan persekitaran dan kualiti hidup sosial serta kehidupan warga emas. Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan memberikan perhatian sama kepada penjaga pesakit demensia.

Mereka yang memberi penjagaan kepada pesakit demensia mempunyai pelbagai keperluan untuk membolehkan penjagaan optimum. Ia tidak terhad pada memberi maklumat atau sekadar nasihat perubatan, malah termasuklah sokongan emosi, motivasi dan fleksibiliti untuk membuat penyesuaian hidup signifikan seperti menukar pekerjaan, menyusun semula aktiviti atau rutin harian, serta perundingan bersama anggota keluarga lain untuk penjagaan.

Penyesuaian dan perubahan hidup seumpamanya tidak mudah dan boleh memberi impak amat besar pada hubungan sosial dan kesihatan mental mereka sendiri.

Jika penjaga tidak mendapat sokongan mencukupi daripada ahli keluarga atau orang terdekat yang lain, pengalaman dalam penjagaan akan menjadi sebuah perjalanan sangat sunyi dan amat sukar.

Ia secara tidak langsung meletakkan kedua-dua - pesakit dan penjaga mereka - dalam faktor risiko tinggi untuk mengalami masalah isolasi sosial, seterusnya menjurus kepada risiko dalam penderaan warga emas.

Pandemik COVID-19 meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam aktiviti harian secara meluas. Ini termasuklah dalam pencarian rawatan dan akses rawatan kesihatan.

Penjaga warga emas juga, seharusnya dapat memperoleh kebaikan daripada kemajuan teknologi ini melalui akses platform dan perkhidmatan secara maya yang dapat membantu memenuhi keperluan mereka dalam penjagaan, di samping menjaga kesejahteraan diri mereka sendiri.

Fasiliti dan pengamal kesihatan, penggubal dasar serta masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk menyokong masyarakat kita yang lebih berusia, serta penjaga mereka dalam hal ini.

Kita bukan sahaja perlu membincangkan demensia secara lebih kerap untuk meningkatkan tahap kesedaran, malah harus memikirkan secara inovatif untuk membolehkan pengalaman penjagaan yang lebih memudahkan mereka yang melakukan pengorbanan besar ini.

Penulis daripada Jabatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X