Sabtu, 18 Disember 2021 | 6:00pm
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec). - Foto BERNAMA
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec). - Foto BERNAMA

Muhyiddin perlu memperincikan misi reformasi politik

Reformasi politik perkara amat serius. Atas kesedaran parti dan aspirasi disuarakan akar umbi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil tanggungjawab berat itu untuk menerajui gerakan reformasi atau pembaharuan dan perubahan pada landskap politik serta kerajaan.

Realitinya, imej dan nilai kepada sistem dan struktur politik mahupun kerajaan, perlu dibina semula. Ini dilakukan seiring perubahan dan jika mahu politik terus didukung akar umbi.

Parti politik di Malaysia rata-rata lahir pada pertengahan abad ke-20, menjadikannya tidak lagi relevan dengan aspirasi akar umbi kontemporari abad 21.

Lagipun, kerosakan nama, keruntuhan nilai dan institusi politik terlalu sukar diperbaiki melainkan reformasi dilakukan untuk mengukuhkannya semula mengikut tetapan atau 'setting' sekarang.

Muhyiddin menyedari, landskap politik nasional perlu diperbaiki segera. Kelewatan melakukan reformasi dibimbangi mendorong rakyat menolak politik dan mengelak terbabit politik kerana mereka hilang kepercayaan kepada sistem mahupun institusi tersebut.

Protes terhadap politik terjadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana pengundi muak dan bosan dengan 'politicking' yang berlaku. Trend ini mesti diinsafi dan dibendung.

Ahad ini, satu sejarah tersendiri akan terpahat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara. Dalam dewan itu berlangsung Persidangan Agung Tahunan (PAT) Kelima 5 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menyaksikan Muhyiddin selaku Presidennya menyampaikan ucap tama penting bukan hanya kepada partinya malah massa, akar umbi dan industri.

Tumpuan kepada Muhyiddin dijangka berkisar mengenai reformasi politik nasional yang beliau pelopori. Sewajarnya, beliau memperincikan misi dan naratif reformasi itu serta impak jika berjaya dilakukan atau padah kalau gagal dilaksanakan.

Pentas itu terbaik untuk beliau mengulangi ketegasan bagi terus mempelopori reformasi demi mencapai impian unggul iaitu mewujudkan landskap politik dan kerajaan lebih bersih – berintegriti, sifar rasuah dan salah guna kuasa serta menolak kleptrokrasi.

Bagi menzahirkan manifestasi itu, parti politik mesti mendukung prinsip 'people first' atau rakyat diutamakan. Maksudnya, sistem politik dan kerajaan diwujudkan untuk mensejahterakan rakyat dan menstabilkan negara di mana kemakmuran adalah hak untuk dinikmati tiap seorang warga negara ini.

Selepas PAT, BERSATU mesti menyediakan buku panduan mengandungi perincian reformasi politik nasional. Kandungan, aspirasi, roh, matlamat dan pelaksanaannya mesti ditulis dengan jelas dan teliti. Ini bagi mengelakkan kekeliruan, salah tafsir, manipulasi, pembohongan dan dipersendakan pihak yang mahu menggagalkan reformasi terbabit.

BERSATU perlu mengambil iktibar kegagalan beberapa inisiatif nasional sebelum ini kerana gagasannya kabur atau tidak ditulis dengan nyata.

PAT ruang dan peluang keemasan BERSATU menarik perhatian dan sokongan nasional terhadap reformasi landskap politik nasional. Lihat sahaja bagaimana kenyataan Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Ke-50 Parti GERAKAN pada 4 Disember lalu. Ramai 'terasa panas' atau 'makan cili' dengan ucapan itu.

Muhyiddin juga mesti mencari jalan supaya reformasi politik ini dilabelkan sebagai usaha negara. Ini tidak akan memadamkan 'political mileage' BERSATU, bahkan mendorong semua pihak sama-sama menyumbang, menyertai dan menjayakan gagasan terbabit.

Semakan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 mungkin perlu dilakukan. Contoh, mungkin pada akta itu perlu dinyatakan supaya setiap parti politik menyediakan silibus latihan kepemimpinan yang pro-integriti dan mendukung perpaduan.

Selain itu, setiap parti mesti menyediakan pelan pembangunan tahunan, mewajibkan membuat semakan untuk tempoh tertentu serta menyediakan struktur operasi bagi membolehkan parti dilihat berperanan bukan pasif.

Hakikatnya, sebuah parti mesti diurus sebagaimana sebuah entiti atau syarikat. Ketika ini rata-rata syarikat korporat dan organisasi ekonomi melakukan penstrukturan semula korporat dan pelaburan.

Dari sudut sebuah parti, melakukan penstrukturan semula parti akan menyumbang kepada reformasi politik nasional. Melakukan penstrukturan semula pelaburan pula sama maknanya dengan menggariskan pendekatan baharu untuk menyantuni ahli parti dan akar umbi serta mencari kaedah memasarkan parti menambah keahlian.

Parti juga perlu memperkukuhkan tadbir urus. Ini mendorong pengurusan parti lebih telus dan berintegriti. Jika syarikat korporat turut meluaskan lingkaran keterangkuman, parti politik juga wajar mengalihkan halangan atau sempadan bagi mendekatkan lagi parti dengan akar umbi.

Jika semua proses ini dilaksanakan, ini bermakna semua parti sudah menyumbang kepada proses reformasi politik nasional. Seterusnya, pemimpin parti yang mendukung reformasi berkenaan akan mendorong melahirkan lebih banyak dasar baharu pro-rakyat, jentera kerajaan berintegriti dan membina masyarakat yang menolak rasuah, penyelewengan serta kleptokrasi.

Ternyata reformasi itu akan menjamin keharmonian rakyat serta kestabilan kerajaan, politik dan tanah air. Reformasi akan mewujudkan sistem dan institusi politik baharu yang berupaya membawa pemimpin, rakyat dan negara merentas cabaran masa depan.

Reformasi politik akan mewujudkan landasan lebih kukuh, jelas dan lurus kepada parti dan kerajaan ketika membawa negara melalui zaman digital sekarang serta menempuh cabarannya.

Justeru, BERSATU perlu melakarkan gambaran dan maksud reformasi politik nasional sejelas-jelasnya menerusi buku panduan bagi menjamin nilai dokumentasinya dan maksud yang tidak berubah-ubah.

Reformasi nasional itu akhirnya bukan sahaja akan mewujudkan landskap politik dan kerajaan yang lebih bersih tetapi menjadi pemangkin melahirkan generasi yang menyertai politik, berintegriti dan berharmoni, memperkasa nilai-nilai murni dan kecemerlangan.

Kemuncak kesannya, akan melahirkan rakyat Malaysia yang mendukung sistem dan institusi politik serta sepakat menjayakan aspirasi nasional.

Inilah sumbangan terbesar BERSATU kepada rakyat, politik dan tanah air. PAT parti Ahad ini akan menjadi pencetusnya!

Oleh Mohd Kamal Ahmad / Johor Bahru, Johor

Berita Harian X