Rabu, 8 Disember 2021 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Ubah pendekatan pelancongan demi kelestarian, keselamatan

SAYA berkunjung ke Langkawi sejak 1975 untuk menjalankan kajian mengenai sejarah geologi Malaysia dan sejak 1995 pula, kunjungan adalah menjurus kepada potensi pembangunan sumber geologi untuk pembangunan pelancongan.

Dapatan ini diterjemahkan kepada produk pelancongan baharu bagi membezakan Langkawi dengan pulau pelancongan tropika lain. Pada 2007, Langkawi diisytiharkan sebagai Global Geopark pertama di negara ini dan Asia Tenggara berasaskan keistimewaan landskap geologi bernilai saintifik serta estetik unggul.

Tiga kawasan pelancongan utama, iaitu Puncak Machinchang, Kars Kilim dan Tasik Dayang Bunting kini menjadi daya tarikan utama kepulauan Langkawi ini.

Pada awal Disember lalu, ilmuwan yang membangun geopark berkunjung ke Langkawi untuk menganjurkan Forum Kelestarian Komuniti Geopark, iaitu forum untuk mendengar suara hati orang Langkawi mengenai kemajuan dicapai sejak menjadi geopark.

Pada masa sama, kami meraikan lawatan Koperasi Gunung Jerai ke Langkawi untuk mempelajari pengalaman Koperasi Kilim dan Kubang Badak membangun produk perniagaan berasaskan geopark.

Kami sempat membuat lawatan ke beberapa kawasan kampung di Penarak, Kedawang, Kuala Triang, Kilim, Kubang Badak dan Air Hangat. Kami gembira serta terpegun melihat ramai pelancong domestik ke gerai makan di tepi jalan untuk menikmati juadah orang Langkawi.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi penuh dengan pengunjung keluar masuk ke pulau peranginan itu, manakala di ruang legar hotel pula ramai pelancong menunggu untuk mendapatkan bilik dan jalan raya juga terdapat bas persiaran membawa pelancong domestik melawat ke tempat menarik.

Kami terpaksa berpindah hotel kerana hotel pertama mendapat tempahan penuh dan tempahan kami terlewat. Kami dimaklumkan juga hotel bertaraf empat dan lima bintang menerima tempahan tinggi oleh pelancong domestik dari Kuala Lumpur.

Saya pernah menyuarakan pandangan pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, pendekatan industri pelancongan negara perlu berubah. Demi kelestarian, pendekatan negara bergantung kepada pelancong antarabangsa adalah langkah kurang tepat.

Kita perlu mengutamakan pelancongan domestik dan pelancong domestik perlu dilayan sebagai 'pelancong kelas pertama.' Kebanyakan rakyat Malaysia gemar untuk melancong dan mereka mempunyai keupayaan untuk berbelanja.

Saya pernah dimaklumi rakan dari Jepun, pelancongan di negara mereka tidak bergantung kepada pelancong antarabangsa, jika ada yang datang itu adalah bonus.

Lawatan ke Langkawi kali ini memberikan gambaran jelas, langkah mengutamakan pelancongan antarabangsa kurang menguntungkan komuniti di Langkawi. Selain bekerja dalam pelbagai sektor pelancongan dan perniagaan kecil-kecilan, mereka kurang mendapat faedah daripada kedatangan pelancong luar negara ini.

Saya sering juga ke Langkawi ketika kemuncak kedatangan pelancong antarabangsa, iaitu sekitar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong. Kebanyakan mereka tinggal di hotel mewah, berkunjung ke pantai dan makan di restoran kelas tinggi. Rembesan ke inap desa dan kedai makan orang kampung tidak seberapa.

Kali ini kita dapat lihat dengan jelas, hotel tiga bintang dan ke bawah serta inap desa yang kebanyakan dimiliki orang Langkawi menjadi pilihan utama, sementara gerai makan penuh dengan pelancong domestik.

Saya dapat perhatikan wajah ceria pak cik dan mak cik yang melayan pelanggannya. Warga Malaysia yang berada di Langkawi kini menggantikan tempat pelancong antarabangsa, sebahagiannya tinggal di hotel mewah dan mendapat layanan istimewa.

Strategi memperkasa pelancongan domestik perlu diteruskan dengan pelbagai inovasi baharu dan tambah baik perkhidmatan. Satu daripada perkara paling penting untuk diberikan perhatian segera ialah 'kebersihan dan kualiti perkhidmatan.'

Sebahagian besar daripada gerai orang Langkawi masih dalam keadaan amat asas. Pondok diperbuat daripada kayu, dengan lantai hanya bersimen atau tanah dan tanpa dinding untuk memberikan ruang keselesaan.

Walaupun makanannya istimewa dan sedap, peralatan seperti pinggan mangkuk, cawan, sudu dan garpu tidak dibersihkan dengan baik. Kami yakin jika isu ini dapat di atasi, kualiti perkhidmatan dipertingkatkan, komuniti Langkawi dapat bersama dalam arus pelancongan dengan cara yang lebih terhormat dan mantap.

Pada pandangan kami, perkhidmatan diberikan hotel dan restoran mewah amat mahal, sementara perniagaan disediakan orang Langkawi umumnya murah. Kita faham semua hotel mewah menilai harganya berasaskan tahap hidup pelancong antarabangsa, sementara perniagaan warga Langkawi pula berpandukan kepada kemampuan komuniti tempatan.

Jika satu pendekatan berinovasi dapat dicapai yang jurang harga antara dua darjat ini dapat dikecilkan, kami yakin kelestarian pelancongan di Langkawi boleh berasaskan kepada pelancongan domestik sepenuhnya, sementara pelancongan antarabangsa menjadi nilai tambah sahaja.

Dalam situasi COVID-19 masih tidak menentu, adalah kurang bijak jika kerajaan mahu segerakan membuka gelembung pelancongan antarabangsa. Kita perlu amat berhati-hati dan memberi masa untuk menilai impaknya kepada kelestarian kehidupan, khususnya keselamatan orang Langkawi.

Cara yang terbaik ketika ini adalah perkasa pelancongan domestik, baiki kelemahan yang ada serta bangunkan dasar baharu mengutamakan pelancongan domestik sebagai pelancong kelas pertama seperti diamalkan di beberapa negara maju lain.

Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark dan Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X