Selasa, 7 Disember 2021 | 10:00am

Percaturan calon PRN Sarawak cuba penuhi kehendak pengundi

SEMALAM, penantian hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang selama ini ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Tiada lagi rahsia calon 'ayam tambatan' bertujuan mengatur strategi atau sebagai senjata untuk bersaing dengan parti lawan.

Gelanggang sudah dibuka, bunga dan langkah silat segera menyusul. Tiada rahsia lagi. Canang dibunyikan, dayung sudah di tangan. Kayuhlah mengikut haluan dan hala tuju diinginkan masing-masing. Cuma, jangan sampai hala tujunya tersasar atau lebih parah, perahu karam di pertengahan jalan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan bergaya dan penuh yakin menyenaraikan nama calonnya. Kali ini, pencalonan GPS dilihat sangat reseptif dengan landskap dan sentimen politik semasa.

Mengemukakan 24 calon muka baharu, mengetengahkan anak muda dan kelibat calon wanita antara langkah menyahut kehendak pengundi berpotensi menarik perhatian serta sokongan.

Langkah beberapa pemimpin veteran secara sukarela mengundur diri memberikan laluan kepada kepemimpinan parti untuk merencanakan perancangan memenuhi tuntutan semasa mempermudahkan lagi urusan parti.

Kesediaan parti komponen GPS umpamanya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menerima hakikat kerusi tradisi di Dudong dan Mambong diberikan kepada komponen lain atas semangat parti membayangkan kestabilan serta kata sepakat subur dalam GPS.

Contohnya, strategi meletakkan dua Datuk Bandar sebagai calon di kerusi secara tradisinya didominasi DAP melalui sokongan pengundi Cina yang lazimnya memihak kepada parti itu di kawasan bandar, dilihat mampu memberikan saingan sengit kali ini.

Ini berasaskan personaliti dan penerimaan masyarakat setempat terhadap mereka selama berkhidmat sebagai Datuk Bandar.

Parti pembangkang juga tidak kurang hebatnya membuat percaturan dan gerak gempur masing-masing. Pemindahan calon ke kawasan baharu umpamanya dengan meletakkan Dr Kelvin Yi bertanding di Batu Kawa menentang Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian antara langkah untuk memberikan saingan yang mampu menggugat kedudukan penyandang itu.

Demikian juga beberapa kawasan lain turut menyaksikan pengekalan muka lama dan baharu serta calon muda. Pendekatan DAP lebih bertumpu kepada kerusi bersasar dijangka mampu memberikan kemenangan.

Malah, dalam satu kes, tiada tolak ansur mengenai pendirian mereka untuk bertanding dan melepaskan kerusi kepada PKR bagi dua kawasan bertindih, biarpun sebagai parti bersahabat.

PKR mungkin akan berhadapan cabaran untuk menyaingi GPS atau Parti Sarawak Bersatu (PSB), sekalipun berteraskan trek rekod kebelakangan ini.

Kenyataan terbuka presidennya meluahkan rasa kecewa atas tuduhan tamak kerusi dan hanya mendapat 'sisa' boleh ditafsirkan sebagai tanda tiada kesamaan jitu tersirat, biarpun di atas kertas semuanya kelihatan tenang.

PSB pula pada awalnya menyatakan akan bertanding di semua kerusi dan hingga tarikh penamaan, jumlah kerusi semakin berkurangan.

Biarpun alasan dinyatakan lebih kepada memberikan tumpuan kepada kawasan berpotensi menang, dengan insiden penarikan diri beberapa bakal calon dengan kenyataan terbuka rasa tidak puas hati menyerlahkan lagi punca sebenar ketidakupayaan meletakkan wakil berkemungkinan angkara ketandusan calon.

Strategi PSB meletakkan ramai bekas ahli politik pernah berkhidmat sebagai menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara strategi boleh memberikan saingan, lebih-lebih lagi jika kawasan dipertandingkan itu membabitkan calon lawan tiada pengaruh dan pengalaman untuk disandarkan, selain jenama besar parti diwakili mereka.

Ini juga antara aspek menarik untuk dinilai dan dikaji selepas pengumuman PRN-12 nanti.

Parti lain seperti PAS, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) antaranya dilihat lebih berpotensi untuk memecah undi serta secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada parti lebih dominan meraih kemenangan.

Dalam kes tertentu, mereka mungkin boleh membuat kejutan pada saat akhir. Namun, daripada analisis dan congakan umum serta berdasarkan sentimen dan sokongan semasa, dijangkakan agak sukar untuk parti terbabit memberikan saingan sengit kepada GPS seperti bakal diberikan PSB atau DAP.

Seperti diduga dan komen diberikan sebelum ini, andaian Datuk Ali Biju bakal bertanding sebagai calon Bebas benar-benar menjadi kenyataan menjadikan laluan buat calon lain semakin sukar. Cuma persoalannya, apakah beliau mendapat perkenan parti diwakilinya pada masa ini selepas BERSATU menyatakan pendirian tidak meletakkan calon?

Kita tinggalkan persoalan itu untuk dibincangkan nanti. Cuma, melihat kepada populariti dan pengaruh beliau di kawasan ditandingi, berkemungkinan beliau mampu meraih sokongan.

Namun, jika aspek parti diwakili menjadi antara faktor penting dalam menentukan sokongan masyarakat, inilah masanya untuk dinilai, sama ada ketokohannya mampu dijadikan asas kepada pemilihan atau parti diwakilinya itu?

Perlu diingatkan kemenangan Ali sebelum ini adalah atas tiket PKR.

PRN-12 kali ini bakal dijadikan bahan perbincangan dan kajian ilmiah menyentuh pelbagai persoalan, termasuk strategi serta percaturan ditonjolkan, sama ada ketokohan individu mengatasi parti diwakili atau sebaliknya.

Begitu juga persoalan populariti orang lama pernah menjadi ADUN atau bekas orang penting kerajaan mewakili parti baharu dan mengetengahkan muka baharu atau pencalonan orang muda sebagai sandaran terhadap tuntutan semasa akan membuahkan hasil diharapkan atau tidak.

Apapun, ini semua bakal terjawab pada hari pengundian nanti.

Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Berita Harian X