Jumaat, 6 Ogos 2021 | 10:00am
Istana Negara. - NSTP/Aizuddin Saad
Istana Negara. - NSTP/Aizuddin Saad

Eksekutif, istana kekal harmoni rungkai konflik Perlembagaan

Konflik Perlembagaan antara istana dan eksekutif bukan perkara baharu sejak negara merdeka. Daripada pembacaan, konflik Perlembagaan pertama berlaku pada 1983 sejurus Tun Dr Mahathir Mohamad, mengambil alih kepemimpinan negara.

Pindaan Perlembagaan kepada Perkara 66(4) adalah untuk mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan sesuatu rang undang-undang (RUU) yang diluluskan Parlimen.

Sebelum pindaan 1983, semua RUU diluluskan Parlimen mesti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Tanpa perkenan Seri Paduka, RUU yang diluluskan tidak boleh diwartakan, berkuat kuasa dan mengikat dari segi undang-undang.

Cadangan RUU pindaan 1983 pada asalnya ialah memberi masa sehingga 15 hari kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Ini tidak dipersetujui baginda dan Majlis Raja-Raja kerana dianggap mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Berlaku krisis antara eksekutif dan institusi istana buat seketika, sehingga satu kompromi terhasil dengan memberi masa sehingga 30 hari untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Terdapat juga persetujuan dalam tempoh berkenaan - Yang di-Pertuan Agong boleh memulangkan RUU terbabit kepada Parlimen untuk penambahbaikan dan pindaan. Namun, akhirnya mengikut Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan, sama ada memperkenan atau tidak kerana selepas 30 hari, RUU berkenaan menjadi undang-undang.

Konflik Perlembagaan kedua berlaku pada 1993 apabila eksekutif mengambil tindakan memasukkan Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan dengan memansuhkan imuniti Raja-Raja atas kapasiti peribadi.

Sebelum pindaan 1993, Raja-Raja tidak boleh didakwa sekiranya membuat kesalahan atas kapasiti peribadi. Bagi memastikan keadilan kepada mangsa, tindakan undang-undang boleh dibawa terhadap Raja-Raja atas kapasiti peribadi.

Pada asalnya juga, pindaan ini mendapat bantahan daripada Raja-Raja. Akhirnya, Raja-Raja berkompromi dan bersetuju dengan pindaan itu.

Yang menariknya, semua ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang menyokong pindaan terbabit.

Dengan pindaan 1993, Perkara 182(1) dan (2) dimasukkan ke dalam Perlembagaan dengan penubuhan Mahkamah Khas bagi mengadili Yang di-Pertuan Agong atau Raja negeri atas kapasiti peribadi.

Bagaimanapun, sesuatu prosiding di Mahkamah Khas ke atas Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu atas kapasiti peribadi hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara.

Konflik ketiga dan semasa berlaku apabila Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat 2021 selepas Proklamasi Darurat dibuat pada 11 Januari dan tamat pada 1 Ogos lalu.

Berlaku perjumpaan dan surat menyurat antara Seri Paduka dan Perdana Menteri mengenai pembatalan Ordinan Darurat 2021. Kehendak Agong supaya Ordinan ini dibahas dan diungkai di Parlimen.

Konflik ini bermula dengan hasil mesyuarat Kabinet pada 21 Julai memutuskan untuk membatalkan Ordinan Darurat 2021. Pada 23 Julai Perdana Menteri mempersembahkan keputusan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan mengikut Perkara 150 (2B).

Pada 24 Julai, Yang di-Pertuan Agong memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) serta Peguam Negara menitahkan supaya pembatalan Ordinan Darurat 2021 dibawa ke Parlimen yang akan bersidang pada 26 Julai untuk dibahaskan dan diungkaikan mengikut Perkara 150 (3).

Pada 26 Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat 2021 dibatalkan, tetapi tidak memaklumkan bahawa ia sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 29 Julai, satu kenyataan media dikeluarkan Istana Negara menzahirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong amat dukacita dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) yang mengelirukan Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Agong menzahirkan bahawa Ordinan Darurat 2021 perlu dibawa ke Parlimen untuk perbahasan dan pembatalan.

Pada 29 Julai juga, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media menjunjung kasih atas kezahiran Seri Paduka itu. Kenyataan media berkenaan membangkitkan bahawa kerajaan mahu pembatalan Ordinan Darurat 2021 dibuat di luar Parlimen seperti diputuskan pada mesyuarat Kabinet pada 21 Julai.

Ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai untuk mendapat perkenan. Kenyataan media itu juga mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri/Kabinet berdasarkan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Jika melihat kepada Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga perkara iaitu pertama, pelantikan Perdana Menteri (baca bersama Perkara 43 (2) (a) ), kedua tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubar Parlimen (baca bersama Perkara 43 (4) ) dan ketiga memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja yang membabitkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja serta apa-apa tindakan hasil daripada mesyuarat berkenaan serta dalam apa-apa hal lain disebut dalam Perlembagaan.

Melihat penyelesaian dalam konflik dan krisis Perlembagaan pada 1983 dan 1993, penyelesaian diambil pihak eksekutif adalah dengan menerima cadangan Yang di-Pertuan Agong dalam merungkai kemelut ini.

Lagi pun, pembatalan Ordinan Darurat 2021 tidak lagi berbangkit dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos. Pihak eksekutif sudah pun mengambil pendekatan harmoni supaya Ordinan Darurat 2021 dibahas dan diungkai pada sesi Parlimen September nanti.

Bagaimanapun, menjadi adab resam dan kesusilaan budaya Melayu, terutama apabila membabitkan konflik antara eksekutif dan istana, eloklah pihak eksekutif menjunjung kasih serta memohon ampun atas kekhilafan berlaku.

Ini bertepatan tiga ungkapan dalam Rukun Negara - 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan'.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Berita Harian X