Sabtu, 31 Julai 2021 | 10:00am
Rakyat kini sedang bertarung dengan krisis kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19. - Foto hiasan
Rakyat kini sedang bertarung dengan krisis kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19. - Foto hiasan

Gencatan politik, pemulihan hubungan elak krisis berlanjutan

Reaksi Istana Negara seperti dirakam dalam kenyataan medianya kelmarin, sebenarnya dijangka kerana perdebatan hangat di Parlimen sejak Isnin lalu, bersangkutan dengan kejutan kenyataan pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen dan rakyat tidak diberitahu dalam apa-apa kenyataan awal mengenai isu ini sebelum diumumkan itu. Malah, pengumuman menteri menjaga portfolio undang-undang itu mengenai sebarang perkara penting sebesar Ordinan Darurat seharusnya diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Yang jelas dan mengejutkan ramai, kenyataan tegas Yang di-Pertuan Agong mengkritik kerajaan dengan menjelaskan permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa, 21 Julai lalu, dilakukan tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Kenyataan bercanggah dan mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangkan fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda melihat pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan sebaiknya. Malah, pihak pembangkang juga membangkitkan tiadanya proses pengundian seperti dituntut Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa ini, timbul juga beberapa persoalan mengenai perjalanan proses di Parlimen. Ramai membincangkan Dewan Rakyat. Bagaimana pula persidangan di Dewan Negara yang seharusnya berjalan serentak?

Selain itu, persoalan timbul mengenai peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Jawatankuasa itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat dan penamatannya.

Jadi, kita tidak pasti sama ada pandangan jawatankuasa ini diambil kira dalam membuat keputusan ke atas penamatan darurat oleh kerajaan.

Apa yang jelas daripada kenyataan Istana Negara dan beberapa hujah pemimpin khususnya pembangkang di Parlimen menjelaskan krisis Perlembagaan kerana proses penamatan Ordinan Darurat dikatakan tidak dilakukan berasaskan apa dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan empat halaman malam kelmarin. Kenyataan itu menjelaskan kerajaan mengikuti semua proses yang sepatutnya dilakukan bagi menamatkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.

Kerajaan menyedari pemakluman menteri bertanggungjawab menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

Oleh itu, Perdana Menteri dan Peguam Negara memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu untuk menjelaskan kedudukannya.

Ketika sesi menghadap itu, Perdana Menteri menjelaskan kekeliruan ditimbulkan pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat. Dua perkara utama ingin dijelaskan, pertama, Perdana Menteri sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa pandangan kerajaan akan semua Ordinan Darurat tidak perlu diungkaikan Parlimen memandangkan Jemaah Menteri sudah menasihati baginda untuk membatalkannya.

Kedua, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai Ordinan Darurat.

Sepanjang sesi itu berlangsung, pihak pembangkang jelas mempersoalkan perjalanan Dewan Rakyat yang dikatakan tidak mengikut seruan dikehendaki Yang di-Pertuan Agong.

Sebenarnya, pada 16 Jun lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Yang di-Pertuan Agong bertitah bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Persoalannya, apabila Ordinan Darurat dibatalkan oleh kerajaan, maka tiada lagi keperluan diadakan perdebatan di Parlimen mengenai Ordinan Darurat. Ini tidak selari dengan kehendak baginda yang mahu ia terus diperdebatkan dan mencari jalan terbaik menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi melanda negara.

Baginda mahukan proses penamatan Ordinan Darurat haruslah mengikuti kehendak termaktub berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 150(3) dan baginda diberikan masa untuk memberi perkenan baginda ke atas sebarang usul dibawa khususnya berkaitan Ordinan Darurat ini.

Bagi mengelak isu ini menjadi krisis, langkah pemulihan hubungan perlu dimulakan kerajaan bagi mencari jalan memulihkan semula keadaan sesegera mungkin.

Bagi rakyat, mereka tidak mahu melihat keadaan ketidakstabilan kerajaan. Rakyat sedang bertarung dengan krisis kesihatan dan ekonomi disebabkan wabak COVID-19. Mereka tidak mahu wujud satu lagi krisis politik dan Perlembagaan yang menjejaskan usaha negara menangani krisis sedia ada.

Yang pasti, krisis politik dan Perlembagaan ini harus diselesaikan secara segera yang memerlukan intervensi pelbagai pihak termasuk istana. Gencatan politik dituntut rakyat. Kini terpulang kepada pemimpin politik di pihak kerajaan dan pembangkang mencari jalan terbaik memulihkan keadaan politik negara.

Jadi Pelan Pemulihan Negara (PPN) bukan sahaja merujuk kepada menangani isu kesihatan dan ekonomi, bahkan ke atas politik Malaysia secara umumnya.

Penulis adalah Ahli Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM)

Berita Harian X