Sabtu, 24 April 2021 | 10:00am
Kaedah pembayaran menggunakan e-dompet menggalakkan rakyat memanfaatkan teknologi dan merangsang perkembangan ekonomi digital negara. - Foto hiasan
Kaedah pembayaran menggunakan e-dompet menggalakkan rakyat memanfaatkan teknologi dan merangsang perkembangan ekonomi digital negara. - Foto hiasan

Insentif khas kerajaan rangsang perkembangan ekonomi digital

Ketika pandemik COVID-19 belum menunjukkan tanda akan berakhir, teknologi mengambil tempat hingga berkembang jauh lebih pesat berbanding sebelum ini. Data terkini menunjukkan teknologi menguasai segala aspek dalam kehidupan.

Ini boleh dilihat ketika begitu banyak syarikat terjejas teruk dan ada menghentikan perniagaan, syarikat berasaskan teknologi pesat berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Berdasarkan data Marketwatch, syarikat mengendalikan aplikasi Zoom Meeting memperoleh peningkatan pendapatan pada 2020 kepada hampir AS$1 bilion (RM4.1 bilion). Pendapatan ini jauh lebih tinggi, iaitu empat kali ganda daripada pendapatan diperoleh pada 2019.

Melihat impak positif teknologi kepada pendapatan dan peluang pekerjaan, kerajaan baru-baru ini menyokong dan mengumumkan pelaburan RM4 bilion oleh Microsoft dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di negara ini.

Ia akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 atau sekitar 21 peratus peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat (IT). Melalui kerjasama ini juga, Microsoft akan melatih dan meningkatkan kemahiran 1 juta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023.

Sokongan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan berasaskan teknologi ini selari dengan inisiatif dirangka dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Situasi sama juga berlaku dalam penggunaan e-dompet yang juga meningkat mendadak disebabkan pandemik COVID-19. Konsep baharu pembayaran ini mula mendapat sambutan dan dikenali sebagai konsep pembayaran tanpa sentuh.

Kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif khusus dalam menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan rakyat. Antara inisiatif diambil adalah melalui Belanjawan 2020 dengan memperkenalkan rangsangan digital secara one-off dengan mengkreditkan RM30 ke dalam e-dompet semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang RM100,000.

Pada 2020 ketika krisis COVID-19, kerajaan semasa pembentangan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) bersetuju mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna dalam usaha menggalakkan pembayaran tanpa sentuh dengan jumlah diperuntukkan bernilai RM750 juta.

Berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pemberian RM50 kredit e-dompet ini berjaya memberi manfaat kepada 11.36 juta rakyat dengan menyaksikan sebanyak RM567.9 juta dimanfaatkan penerima.

Penyedia e-dompet terbabit, iaitu Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet juga menyumbang manfaat berbentuk padanan kredit dan pelbagai insentif lain berjumlah RM433.8 juta dalam usaha merancakkan ekonomi Malaysia.

Terbaharu, ketika Belanjawan 2021, Menteri Kewangan meneruskan usaha memperkasakan e-dompet melalui Program eBelia, iaitu mengkreditkan RM50 secara sekali beri ke dalam akaun e-dompet mereka berusia antara 18 hingga 20 tahun, iaitu sekitar 1.5 juta belia membabitkan peruntukan RM75 juta.

Usaha berterusan kerajaan meningkatkan penggunaan e-dompet ini selari dengan Teras 01: Inisiatif 9 di dalam MyDigital, iaitu meningkatkan terminal penjualan, melaksanakan penggunaan antara muka pembayaran bersatu (UPI) dan penggunaan dompet digital.

Namun, dalam memperkasakan penggunaan e-dompet ini, kerajaan boleh mempertimbangkan kaedah tambahan yang boleh membantu rakyat beralih lebih cepat kepada ekonomi digital khususnya dalam penggunaan e-dompet.

Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menambah peruntukan untuk mengkreditkan RM100 setiap bulan ke dalam e-dompet penerima khususnya mereka dalam kategori B40 untuk digunakan dalam membeli barang keperluan asas termasuk makanan.

Kerajaan juga boleh membabitkan pengusaha kedai runcit, kedai makanan, restoran dan penjaja serta peniaga kecil makanan di warung dan gerai termasuk juga perkhidmatan penghantaran makanan untuk turut serta mendaftar e-dompet agar boleh menerima manfaat daripada pembelian menggunakan e-dompet oleh kumpulan B40 yang menerima kredit RM100 setiap bulan daripada kerajaan.

Ia secara tidak langsung akan mempercepatkan dan memperluaskan penggunaan e-dompet, seterusnya merancakkan semula ekonomi rakyat dan negara. Jumlah kos juga mampu ditampung kerajaan disebabkan bayaran dilaksanakan secara bulanan dengan nilai kredit RM100 sahaja sebulan.

Mengambil kira angka ketika pembentangan Belanjawan 2021, iaitu seramai 8 juta penerima B40, unjuran jumlah peruntukan bulanan dikreditkan dalam e-dompet B40 ialah RM800 juta sebulan dan RM9.6 billon setahun. RM9.6 billion adalah sekitar tiga peratus sahaja jika dibuat perbandingan jumlah keseluruhan Belanjawan 2021 iaitu RM322.5 bilion.

Inisiatif ini juga secara tidak langsung akan dapat membantu ekonomi Bumiputera khususnya dalam industri makanan. Ini dapat dilihat dengan jelas dengan perniagaan di restoran, warung dan gerai pada ketika ini amat terjejas dan dilihat tidak serancak seperti sebelum berlakunya COVID-19.

Inisiatif ini berbentuk serampang dua mata, iaitu membantu kumpulan B40 untuk memberi barangan keperluan harian termasuk makanan melalui penggunaan e-dompet. Kedua, menarik lebih ramai rakyat termasuk peniaga makanan untuk turut serta menggunakan e-dompet secara berterusan dan konsisten dalam perniagaan yang akhirnya akan dapat meningkatkan pendapatan.

Penulis adalah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X