Jumaat, 25 Disember 2020 | 11:00am
Proses pengauditan halal bebas memberi nilai tambah dan keyakinan masyarakat terhadap sesuatu produk dan perkhidmatan. - Foto hiasan
Proses pengauditan halal bebas memberi nilai tambah dan keyakinan masyarakat terhadap sesuatu produk dan perkhidmatan. - Foto hiasan

Manfaat pengauditan bebas perkasa sektor halal negara

MUTAKHIR ini, kita dikejutkan dengan pendedahan berkaitan isu kartel daging seludup yang tular hasil daripada pemeriksaan terhadap stok daging dalam gudang pembekal makanan sejuk beku yang diserbu pihak berkuasa.

Berdasarkan maklumat, daging berkenaan dikatakan dipercayai dibungkus semula dengan logo halal palsu dan membabitkan kegiatan pemalsuan dokumen.

Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan kegiatan kartel daging halal palsu wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu, ia tidak menafikan kegiatan ini bukanlah suatu baharu.

Hal ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang beragama Islam. Isu yang dibangkitkan ini berkait rapat dengan status halal haram makanan yang terdapat di pasaran.

Menyingkap kembali isu mengenai status halal haram produk dan perkhidmatan di Malaysia, ini juga bukan isu yang dianggap baharu.

Sebelum ini, kita dimaklumkan mengenai beberapa kes penyalahgunaan logo halal oleh sebahagian daripada pengeluar barangan dan perkhidmatan. Tujuannya semata-mata mendapatkan keyakinan daripada pengguna Muslim.

Contohnya, isu di mana produk berasaskan mi dan bihun yang menggunakan logo halal palsu serta isu status halal bagi produk laksa di mana pensijilan halal hanya diperoleh bagi dapur pusat premis dan bukan seluruh rangkaian premis.

Tidak terkecuali, isu yang mana sebuah kilang memproses makanan masih menggunakan logo halal, walaupun perakuan halalnya sudah pun ditarik balik.

Selain itu, terdapat juga isu was-was dalam kalangan masyarakat mengenai status halal sesetengah barangan dan perkhidmatan, walaupun produk berkenaan mempunyai pengesahan halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Contohnya, status halal ayam yang dijual oleh pasar raya besar di Malay- sia yang dipertikaikan status halal berdasarkan keraguan dalam kaedah penyembelihan, selain status halal coklat berjenama walaupun sudah disahkan halal oleh pihak JAKIM.

Terdapat juga isu penyebaran maklumat tidak tepat mengenai status halal bagi sesetengah barangan dan perkhidmatan dengan tujuan memboikot produk berkenaan.

Contohnya, kesalahan fakta atau usaha mensabotaj produk keluaran Muslim, tetapi dikatakan haram. Dalam hal ini, wujud rungutan dalam kalangan pengusaha Bumiputera yang mendapat sijil halal JAKIM, tetapi dikatakan tidak halal.

Dari satu sudut yang lain pula, apakah status produk bukan Muslim, tetapi mematuhi prosedur dan mendapat pensijilan halal.

Apa yang dilihat, kelemahan penguatkuasaan pengurusan barangan dan perkhidmatan halal oleh pasar raya besar menjadi punca lambakan produk diimport tidak halal ataupun mempunyai logo halal yang tidak diiktiraf JAKIM.

Produk sebegini dilihat banyak dijual bersama dengan produk lain yang tertera logo halal JAKIM.

Kelemahan pengurusan ini juga menyaksikan sejumlah besar penarikan semula sijil halal disebabkan oleh ketidakpatuhan pengeluar barangan dan perkhidmatan terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, terutama dari aspek kebersihan.

Contohnya kes yang berlaku ke atas sebuah premis pemprosesan ayam dan kes premis pemprosesan makanan laut.

Berdasarkan permasalahan ini, kelemahan dari sudut ketidakcekapan pengoperasian membabitkan kedua-dua pihak iaitu pengeluar barangan dan perkhidmatan dan juga penguasa iaitu JAKIM.

Antara permasalahan dihadapi pengeluar disebabkan kurang kefahaman mengenai prosedur halal, dokumen tidak lengkap, pemalsuan yuran pensijilan dan ketidakfahaman mengenai maklumat yang perlu dihantar kepada JAKIM.

Permasalahan dihadapi JAKIM pula seperti kekurangan tenaga kerja yang memberi kesan terhadap kelewatan proses pensijilan dan pengauditan halal, pemeriksaan premis yang memerlukan lebih daripada satu hari dan kelewatan dalam menerima keputusan ujian makmal.

Ketika ini, pengurusan jaminan halal cuma membabitkan proses pengauditan pensijilan halal dilakukan JAKIM bagi permohonan pensijilan halal dan proses pengauditan halal dalaman yang dilakukan dua kali setahun menurut Halal Assurance Management System (HAMS) oleh eksekutif halal dan dikawal selia Jawatankuasa Halal Dalaman Syarikat.

Justeru, sudah tiba masanya pihak berkuasa, terutama JAKIM melihat kepada keperluan untuk melaksanakan proses pengauditan halal bebas bagi menambah baik pengurusan jaminan halal sedia ada di Malaysia.

Dalam hal ini, proses pengauditan halal bebas boleh dilaksanakan oleh firma pengauditan halal bertauliah (yang menerima pentauliahan daripada JAKIM) yang dilantik oleh ahli lembaga pengarah syarikat.

Selain itu, pengauditan halal bebas juga boleh dimanfaatkan oleh pihak JAKIM untuk menjalankan proses pengauditan halal bagi pihak JAKIM untuk mengatasi kekangan tenaga kerja dihadapi.

Ini sudah pasti akan meningkatkan lagi kepatuhan pihak pengeluar dan penjual terhadap jaminan halal bagi produk dan perkhidmatan yang disediakan mereka.

Proses pengauditan halal bebas akan memberi nilai tambah, terutama terhadap keyakinan masyarakat terhadap sesuatu barangan dan perkhidmatan halal.

Proses pengauditan halal bebas dilaksanakan oleh pihak profesional bebas yang tidak terikat dengan kepentingan syarikat.

Pada masa sama, ia juga membantu mengurangkan kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa untuk memantau proses penyediaan barangan dan perkhidmatan halal secara berkala.

Penulis adalah Felo Siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X