Rabu, 11 November 2020 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Elak ketirisan peruntukan RM322.54b pulihkan negara

BELANJAWAN 2021 bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' bertepatan dengan situasi semasa negara yang amat memerlukan segenap lapisan masyarakat bersatu hati serta tenaga bagi mencapai kemenangan mutlak secara bersama, iaitu ekonomi negara pulih sepenuhnya dan wabak COVID-19 berakhir.

Belanjawan 2021 mendasari tiga matlamat induk, iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Tiga matlamat yang digariskan ini adalah untuk memperkasakan ekonomi negara agar pulih sepenuhnya daripada kemelesetan, khususnya bagi merangsang sektor permintaan agregat, penawaran agregat dan sektor kewangan. Kestabilan dalam ketiga-tiga sektor ini adalah prasyarat untuk menjamin ketahanan ekonomi pada masa hadapan.

Belanjawan 2021 juga kesinambungan dan pelengkap kepada pakej rangsangan fiskal sedia ada, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).

Gabungan Belanjawan 2021 bersama pakej rangsangan fiskal sedia ada sudah tentu mempercepat dan meningkatkan lagi kesan pengganda ekonomi khususnya dalam memperkasakan sektor permintaan agregat, penawaran agregat serta sektor kewangan negara.

Hal ini tentu memberikan sinar kepada usaha pemulihan ekonomi negara sepenuhnya pada tahun hadapan, iaitu lebih awal daripada apa yang diramalkan sebelum ini.

Belanjawan 2021 juga suatu sejarah yang mencadangkan peruntukan perbelanjaan kerajaan sangat besar berjumlah RM322.54 bilion berbanding dengan RM297 bilion pada belanjawan tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 8.6 peratus.

Jumlah yang besar itu amatl wajar untuk menggerakkan keseluruhan sektor ekonomi, di samping membantu isi rumah yang terkesan, menyokong sektor perniagaan yang terjejas dan memberikan isyarat positif kepada pasaran kewangan khususnya pasaran saham dan modal.

Dari aspek kutipan hasil, jangkaan kutipan pada 2021 adalah RM236.9 bilion dengan negara dijangka mengalami belanjawan defisit RM84.84 bilion atau defisit 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Defisit bajet besar ini pasti meningkatkan saiz hutang kerajaan (peratus hutang daripada KDNK). Kadar semasa hutang kerajaan/KDNK ialah 60.7 peratus, iaitu melebihi kadar statutori yang ditetapkan sebanyak 60 peratus.

Bagi menampung defisit fiskal itu, kerajaan terpaksa menerbitkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Isu Pelaburan Kerajaan Malaysia, Bil Perbendaharaan dan sukuk, di samping mendapatkan sumber pinjaman lain pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, defisit fiskal besar dan berpanjangan berpotensi memberikan beberapa kesan negatif kepada ekonomi negara.

Pertama, menjejaskan kelestarian fiskal dalam jangka panjang jika kerajaan gagal melunaskan tanggungjawab seperti pembayaran kadar faedah bon dan pembayaran prinsipal bon yang sudah matang.

Kedua, berpotensi menyebabkan peningkatan kadar faedah domestik pada jangka panjang yang bakal menjejaskan pelaburan swasta pada masa hadapan akibat peningkatan kos dana.

Ketiga, berpotensi menurunkan penarafan bon terbitan kerajaan jika gagal meyakinkan agensi penarafan antarabangsa mengenai kekukuhan asas fiskal negara dan usaha reformasi fiskal.

Keempat, belanjawan defisit yang berterusan pasti memberikan kesan negatif kepada generasi akan datang yang terpaksa menanggungnya melalui pembayaran cukai tinggi pada masa hadapan.

Mengikut teori Keynes, ketika kemelesetan ekonomi, kerajaan memainkan peranan penting untuk mengatasinya, di samping memastikan kesejahteraan rakyat dan perniagaan terbela.

Justeru, dalam hal ini perbelanjaan kerajaan amat besar diperlukan untuk menstabilkan ekonomi. Dalam konteks Malaysia, belanjawan defisit negara sudah bermula sejak 1998 (ketika krisis kewangan Asia) sehinggalah kini, iaitu melebihi tempoh 20 tahun.

Bagaimanapun, disiplin asas dasar fiskal masih diteruskan, iaitu sebarang defisit fiskal hanya untuk menampung perbelanjaan pembangunan dan bukan perbelanjaan operasi.

Ini bermaksud hutang kerajaan melalui terbitan bon bertujuan membiayai keperluan perbelanjaan pembangunan produktif untuk memberikan kesan pengganda besar kepada ekonomi negara.

Kejayaan Belanjawan 2021 juga amat bergantung kepada kecekapan institusi kerajaan yang mentadbir dalam melaksanakan amanah diberikan.

Dalam hal ini, kecekapan proses pelaksanaan dan penyampaian belanjawan yang disalurkan amat perlu supaya setiap ringgit yang dibelanjakan sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran dengan segera tanpa berlaku ketirisan supaya kesan pengganda kepada ekonomi dapat direalisasikan.

Pengembangan kegiatan ekonomi sudah pasti memberikan kesan positif kepada sektor perniagaan dan dapat mencipta peluang pekerjaan baharu yang akan mendorong peningkatan hasil cukai kerajaan pada masa hadapan.

Namun, usaha memperkasakan ekonomi negara seharusnya tidak diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan sahaja.

Sektor swasta khususnya pengguna dan sektor perniagaan harus bersikap lebih terbuka, optimis serta memandang ke hadapan bagi setiap peluang dan kekuatan yang dimiliki untuk merencana strategi bagi membantu kerajaan memperkasakan ekonomi.

Ini selaras dengan tema belanjawan 'Teguh Kita, Menang Bersama' yang menyerlahkan hasrat kerajaan untuk memastikan semangat setiakawan semua pihak.

Hal ini supaya kita boleh mencapai kejayaan bersama dan membanggakan generasi akan datang bagaimana krisis ekonomi dan kesihatan berjaya kita tangani dengan semangat jiwa Malaysia.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat IDEA-UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X