Selasa, 10 November 2020 | 10:00am

Pelan Induk Wakaf Nasional urus aset lebih sistematik

BELANJAWAN 2021 yang berhasrat mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional tepat pada masanya untuk menyelaras dan memantapkan pembangunan wakaf di negara kita.

Secara sejarahnya, perkembangan pesat wakaf berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, era seterusnya menyaksikan pelbagai bentuk wakaf bukan setakat keagamaan, malah pembangunan prasarana dan perkhidmatan awam.

Namun, selepas zaman Fatimiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah, institusi wakaf mengecut akibat tekanan penjajah serta kelemahan pentadbiran wakaf itu sendiri.

Di negara ini, sebelum mencapai kemerdekaan pada 1957, wakaf bertapak dan berkembang melalui pengajian pondok, madrasah, surau, masjid serta kubur di seluruh negara.

Pada masa itu, wakaf difahami dalam konteks keagamaan semata-mata. Sebenarnya, wakaf mempunyai skop lebih luas merentasi bidang pendidikan, perniagaan, pertanian, kesihatan dan kebajikan.

Antara alasan perubahan ini ialah perkembangan sistem perbankan patuh syariah dan pendemokrasian ilmu apabila ilmu keagamaan, termasuk wakaf diajar dengan meluas di institusi pengajian tinggi.

Memandangkan potensi wakaf luas dan mempunyai masa hadapan cerah, pada 2004, kerajaan menubuhkan Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (JAWHAR) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memajukan wakaf di negara ini. Kemudian pada 2008, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) ditubuhkan untuk melaksanakan pembangunan wakaf.

Terdapat empat fasa pembangunan wakaf di negara ini. Fasa pertama sebelum 2005 memperlihatkan pembangunan wakaf ekonomi melalui kerjasama dengan swasta.

Fasa kedua mulai 2006 hingga 2010 menumpukan pelbagai pembangunan harta tanah seperti keagamaan, pendidikan dan kesihatan melalui kerjasama pintar agensi kerajaan dengan swasta.

Fasa Ketiga, sepanjang 2011 hingga 2015 membabitkan pengukuhan kerjasama JAWHAR dan majlis agama Islam negeri (MAIN) dalam meneruskan kesinambungan projek Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

Fasa Keempat, antara 2016 hingga 2020 dan seterusnya membabitkan perancangan pembangunan harta tanah wakaf merangkumi rangkaian hotel wakaf, penjenamaan semula produk wakaf, pewujudan pendidikan wakaf serta pengukuhan sinergi antara agensi berkaitan wakaf.

Pada 2016, Kajian Pelan Transformasi Pembangunan Harta Tanah Wakaf disiapkan di bawah seliaan JAWHAR, iaitu wadah khusus memandu agensi berkaitan wakaf untuk bergerak aktif dalam memajukan harta tanah.

Selain data berkaitan hartanah wakaf, aspek pembiayaan, pembangunan dan latihan serta kemahiran juga dihurai. Kerjasama strategik antara agensi berkaitan wakaf dengan pelbagai agensi diperkukuhkan.

Kajian perbandingan dibuat mengenai kejayaan endowmen di Amerika Syarikat dan United Kingdom, hospital mata di Nigeria, universiti wakaf di Indonesia, wakaf perkilangan di Emiriah Arab Bersatu, wakaf bazar awam di Turki dan wakaf istibdal di Singapura.

Pembangunan wakaf sering menghadapi cabaran. Daripada hampir 30,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara, hanya 12 peratus (3,600 hektar) dimajukan. Baki 88 peratus (26,400 hektar) belum dimajukan. Hanya kira-kira 2 peratus terletak di dalam atau berhampiran pusat pertumbuhan utama.

Faktor lain mempengaruhi potensi tanah wakaf ialah saiz tidak ekonomik untuk tujuan pembangunan yang berimpak besar. Di Melaka, hanya 20 peratus tanah wakafnya mempunyai keluasan melebihi seekar.

Begitu juga cabaran memajukan wakaf pendidikan tinggi. Tabung wakaf pendidikan tinggi dimulakan akhir 2016, tetapi hanya tertumpu wakaf tunai.

Masih terdapat kelemahan perlu diperbaiki terutama tadbir urus, struktur organisasi, tahap pengurusan profesional, agihan manfaat wakaf, mempelbagaikan wakaf terutama padang, makmal, dewan kuliah, peralatan, harta intelek, buku, artifak, kolam renang, gimnasium, restoran dan asrama.

Begitu juga kerjasama erat antara universiti dengan agensi berkaitan wakaf. Di bawah Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan, perihal keagamaan terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

Justeru, amalan wasatiyah perlu untuk mengharmonikan undang-undang pentadbiran wakaf seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Kanun Tanah Negara (1965) dan Peraturan Tanah Negeri.

Kementerian Pendidikan Tinggi perlu merangka Polisi Wakaf Pendidikan Tinggi untuk maksud penyeragaman. Begitu juga aspek modal insan untuk mentadbir dan menguruskannya. Mereka seharusnya mampu bertindak secara profesional.

Justeru, program pensijilan pengurusan wakaf secara profesional mampu melahirkan pengurus wakaf profesional di negara kita dan rantau sebelah sini.

Potensi wakaf begitu luas dan masih belum diterokai sepenuhnya di negara kita. Menurut laporan Islamic Financial News pada 2013, nilai aset global bagi wakaf kira-kira AS$1 trilion (RM4.1 trilion).

Di Malaysia, nilai aset wakaf dianggarkan AS$325 bilion (RM1.3 trilion). Jadi, usaha penyelarasan untuk memajukan wakaf secara bersepadu melalui Pelan Induk Wakaf Nasional kena pada masanya.

Usaha memasyarakatkan budaya berwakaf perlu diperkasa. Pembangunan semula tanah boleh mengguna pakai konsep wakaf terutama tanah rizab Melayu, FELDA, adat dan natif.

Tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru boleh dimajukan menggunakan konsep wakaf.

Disebabkan wakaf tidak boleh dijual beli (kecuali pajak), hartanah wakaf akan menjadi benteng, penyelamat dan pelindung untuk melindungi hartanah pegangan orang Islam dan Melayu serta Bumiputera. Barangkali akan wujud Bandar Wakaf Kuala Lumpur di negara kita nanti.

Justeru, Pelan Induk Wakaf Nasional yang akan diwujudkan perlu mencari jalan penyelesaian kepada masalah wakaf berkenaan.

Ini termasuk penggunaan sistem komputeran dalam memajukan wakaf dan GIS, tanah rizab Melayu dan wakaf, menggubal perundangan wakaf, mengharmonikan perundangan wakaf, menerbitkan sukuk intifa serta memperkasakan wakaf.

Oleh itu, Belanjawan 2021 berhasrat mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional tepat pada masanya untuk menyelaras dan memantapkan pembangunan wakaf di negara kita.

Kajian Pelan Transformasi Wakaf Harta Tanah yang diterbitkan JAWHAR pada 2016 boleh dijadikan asas untuk mengorak langkah seterusnya.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA)

Berita Harian X