Isnin, 2 November 2020 | 11:00am
Kesan gelombang ketiga COVID-19 yang impaknya kepada rakyat belum diketahui sepenuhnya. - Foto hiasan
Kesan gelombang ketiga COVID-19 yang impaknya kepada rakyat belum diketahui sepenuhnya. - Foto hiasan

Belanjawan 2021 perlu teruskan pakej rangsangan ekonomi

JUMAAT ini, Belanjawan 2021 akan dibentangkan. Ini belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jelas bahawa fokus utama belanjawan ini akan tertumpu kepada bagaimana kerajaan menangani pandemik COVID-19 dan kesannya kepada rakyat, perniagaan serta ekonomi.

Apa yang pasti, kelangsungan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan perlu diteruskan. Hakikatnya, masih ada rakyat, terutama dalam golongan B40 dan M40 yang begitu memerlukan bantuan secara langsung dan cepat.

Golongan miskin, miskin bandar dan golongan yang dikategorikan sebagai vulnerable seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta belia menganggur, begitu terkesan. Oleh itu, bantuan kewangan bukan secara one-off, sebaliknya lebih bersifat pemberian berterusan hingga keadaan menjadi lebih baik diperlukan.

Mereka ialah golongan yang perlu disasarkan untuk diberikan bantuan kewangan secara berterusan, contohnya setiap bulan hingga keadaan menjadi lebih baik pada masa hadapan. Selain bantuan kewangan, mereka perlu bantuan dari segi kesihatan mental dan pendidikan anak yang begitu sukar menjalani pembelajaran dalam talian akibat kekangan infrastruktur.

Selain itu, sudah tiba masa juga kerajaan dalam belanjawan ini, memperkasakan jaringan keselamatan sosial sedia ada bagi memastikan keadaan lebih terkawal jika krisis dalam skala kita alami sekarang berlaku pada masa hadapan.

Mungkin ini cara lebih baik selain cadangan untuk pengeluaran maksimum RM10,000 daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off bagi mengharungi cabaran impak pandemik COVID-19 ini.

Namun, jika keadaan mendesak, cadangan ini boleh dipertimbangkan, terutama kesan gelombang ketiga COVID-19 yang impaknya kepada rakyat belum diketahui sepenuhnya. Namun, pengeluaran wang KWSP perlu dilihat sebagai jalan terakhir kerana ia membabitkan simpanan rakyat untuk hari tua.

Peniaga, terutama berniaga sendiri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mereka yang berada dalam sektor tidak formal, masih memerlukan bantuan. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di sesetengah kawasan.

Oleh itu, perlanjutan tempoh moratorium mungkin boleh dipertimbangkan. Namun, ia mesti dalam bentuk bersasar. Belanjawan ini juga perlu memperkenalkan strategi baharu berbentuk jangka sederhana.

Contohnya, strategi membabitkan ekosistem PKS itu sendiri seperti SME Bank dan SMEcorp. Institusi ini perlu digembleng supaya peniaga PKS dapat diperkasakan seperti dalam aspek mendepani cabaran perniagaan pasca pandemik COVID-19 seperti pengurusan aliran tunai, kemahiran e-dagang dan memupuk elemen keusahawanan serta membantu mereka mencari jaringan perniagaan serta peluang dan pasaran baharu dalam era ekonomi digital.

Satu lagi perkara penting perlu difokuskan dalam Belanjawan 2021 adalah bagaimana asas ekonomi dapat diperkukuhkan semula. Isu pokok di sini adalah apakah strategi yang akan dirangka untuk meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi negara. Apakah sektor ekonomi yang perlu diberi keutamaan?

Tanpa pertumbuhan, hasil negara akan terjejas. Hasil negara sudah terjejas dengan kejatuhan harga minyak dunia dan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Dengan hasil rendah, usaha kerajaan untuk meningkatkan kemakmuran rakyat ketika ini dan masa terdekat juga akan terjejas.

Pertama, langkah untuk menyelamatkan sektor ekonomi paling terjejas akibat pandemik COVID-19 perlu dirangka seperti pelancongan, penerbangan dan perhotelan. Mereka memerlukan bantuan tambahan supaya tidak 'gulung tikar' pada masa terdekat.

Program Cuti-Cuti Malaysia mungkin boleh dilaksanakan lebih agresif dengan pemberian kupon ataupun pengecualian cukai.

Pada masa sama, belanjawan ini perlu menumpukan kepada sektor yang dapat meningkatkan perniagaan, pelaburan, penggunaan dan pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini seperti eksport, pembinaan, perkhidmatan, kesihatan, infrastruktur, perkilangan serta pertanian.

Projek infrastruktur seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) perlu disegerakan. Insentif untuk menarik FDI seperti pengurangan cukai korporat mungkin boleh dipertimbangkan.

Sektor pertanian ketika ini amat penting. Jika kita lihat data ekonomi suku kedua tahun ini, hanya sektor pertanian mengalami pertumbuhan, manakala sektor lain menguncup. Oleh itu, langkah meningkatkan produktiviti sektor pertanian perlu diberikan fokus dalam Belanjawan 2021. Konsep pertanian moden seperti pertanian menegak boleh diperkenalkan dalam Belanjawan ini.

Dalam sektor perkhidmatan, sumber pertumbuhan baharu boleh diperkenalkan seperti kewangan Islam, industri halal dan pertumbuhan hijau. Peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi, pada sekitar lima hingga tujuh peratus amat penting ketika ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama pekerjaan berpendapatan tinggi dan untuk golongan muda.

Apabila aktiviti ekonomi dirancakkan, hasil kerajaan juga akan bertambah dengan peningkatan hasil cukai yang dijangka dapat diperoleh.

Dalam sektor kesihatan, jelas bahawa peruntukan untuk sektor ini perlu ditingkatkan daripada hanya 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika ini. Peruntukan khas kepada barisan hadapan juga perlu ditingkatkan sebagai tanda penghargaan kepada wira negara ini.

Akhir sekali, Belanjawan 2021 perlu memberikan gambaran kerajaan mempunyai iltizam jelas untuk menekan butang reset ekonomi sebagai persediaan kepada ekonomi Malaysia dalam menghadapi norma baharu dan ekonomi pasca pandemik COVID-19. Ekonomi digital, ekonomi tanpa kontak, ekonomi kitaran, ekonomi berdasarkan kepintaran buatan (AI) dan machine learning, perlu disiapsiagakan dari sekarang.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X