Jumaat, 30 Oktober 2020 | 11:00am
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merancakkan ekonomi negara. - Gambar hiasan
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merancakkan ekonomi negara. - Gambar hiasan

Peningkatan sosioekonomi rakyat terus jadi keutamaan

Beberapa hari lalu, kita sekali lagi digemparkan dengan isu politik yang terus-menerus menyuntik bahang dalam negara yang sedia terkesan dengan krisis pandemik yang tidak pasti bila akan berpenghujung.

Ketika ramai mempersoal atau bermain spekulasi mengenai cadangan pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak ramai sedar isu berkaitan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan sedikit masa lagi turut terheret dalam bahang tercetus berkenaan.

Belanjawan 2021 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini. Ia satu proses yang cukup penting dan bermakna. Semestinya ia akan memberi kesan menyeluruh kepada rakyat dan negara dalam menghadapi cabaran kewangan serta ekonomi untuk menempuhi 2021 yang diyakini akan bertambah mencabar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata tumpuan utama akan merentasi empat tema yang menjadi landasan pembentangan Belanjawan 2021.

Empat tema itu ialah mengambil peduli terhadap rakyat, kehidupan yang mampan, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dan memacu ekonomi.

Dalam melestarikan inti pati Belanjawan 2021, tema pertama, iaitu berkait usaha mengambil peduli rakyat tersangat penting. Ia berkait rapat usaha melindungi dan memperkasa rakyat yang sedia terkesan khususnya dengan pandemik masih berterusan.

Pasti ia akan menyasarkan kepada inti pati pelaksanaan suntikan seperti beberapa siri Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang digerakkan sebelum ini.

Seperti dikatakan Prof Dr Jamal Othman daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), aspek pekerjaan dan pendapatan rakyat akan menjadi dasar dalam pelaksanaan pakej PRIHATIN dan PENJANA.

Hal ini turut disokong Prof Dr Yeah Kim Leng daripada Pusat Kajian Perniagaan Universiti Sunway. Beliau menegaskan ketika ini impak ekonomi dan kesihatan tidak seimbang akibat impak pandemik ke atas isi rumah berpendapatan rendah.

Justeru, langkah dan tumpuan harus diberi kepada usaha untuk menanganinya dengan langkah fiskal yang berani.

Belanjawan 2021 perlu memasukkan sokongan pendapatan yang lebih besar serta langkah padu. Ia bukan sahaja untuk melindungi pekerjaan, tetapi juga mewujudkan pekerjaan baharu dan menyediakan program kemahiran semula bagi menambah baik mata pencarian penduduk miskin di kawasan luar bandar dan bandar.

UOB Global Economics and Markets Research dalam laporan prabelanjawan turut sependapat dengan kenyataan ini. Laporan itu menyatakan Belanjawan 2021 perlu fokus untuk menjaga kepentingan rakyat dan menyediakan kehidupan mampan untuk rakyat.

Beberapa inisiatif yang sudah digerakkan di bawah pakej rangsangan sedia ada sepanjang tahun ini boleh diteruskan melalui Belanjawan 2021.

Ini termasuk Program Subsidi Upah (RM11.996 bilion diluluskan sehingga 9 Oktober lalu dan memberi manfaat kepada lebih 2.6 juta pekerja serta 322,134 majikan), selain bantuan tunai bagi golongan B40 dan M40 serta pengecualian cukai jualan automotif.

Semua langkah yang menjurus ke arah tema mengambil peduli rakyat ini sedikit sebanyak membantu dalam mengurangkan beban rakyat untuk menghadapi cabaran 2021.

Ironinya, dengan memberi lebih banyak bantuan tunai khususnya kepada golongan B40 dan M40, ia akan mendorong kuasa beli serta merangsang perbelanjaan pengguna dan meningkatkan ekonomi.

Langkah seperti ini juga dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump yang menggunakan dasar pengembangan menerusi Akta Potongan Cukai dan Pekerjaan 2017, di samping meningkatkan perbelanjaan budi bicara. terutama untuk pertahanan.

Pengurangan cukai akan menyediakan banyak wang kepada pengguna walaupun golongan berpendapatan tinggi lebih cenderung menggunakan pengurangan cukai mereka untuk tujuan melabur atau menyimpan yang tidak membantu merancakkan ekonomi.

Dalam pada itu, fokus Belanjawan 2021 juga perlu menyentuh soal kehidupan mapan.

Rakyat sendiri secara dasarnya perlu bertindak bagi mengambil peluang dengan pelbagai pakej dan pelan rangsangan ekonomi yang sudah serta bakal disediakan kerajaan.

Krisis COVID-19 memaksa perniagaan dan individu untuk melipatgandakan usaha. Bukan setakat digital, tetapi juga dari sudut alam sekitar serta sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyokong kalangan pekerja, pelanggan dan komuniti tempatan.

Pandemik COVID-19 ternyata tidak menjejaskan momentum bagi pelaburan mapan. Malah, kita melihat sebahagian besar pasaran, termasuk AS yang menerima dan mengamalkan prinsip ESG mencatatkan prestasi lebih baik. Insentif berkaitan ESG seperti pengecualian cukai terhadap pendapatan pengurusan bagi syarikat pengurusan dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) serta dana patuh syariah, lanjutan pengurangan cukai kos terbitan sukuk SRI bagi tempoh tiga tahun lagi sehingga taksiran cukai 2023 dan lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga 2023.

Semua ini untuk membantu perniagaan dan individu menjalani kehidupan mapan walaupun dilanda cabaran dan tekanan ekonomi.

Rakyat juga mengharapkan peruntukan khas bagi mendorong penerapan teknologi dan digital bagi membantu peniaga serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus memupuk inovasi digital melalui modal teroka baharu.

Sebagai usaha berterusan mendepaninya, kerajaan diharap tetap memperkasa penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam kalangan awam serta swasta untuk memastikan Malaysia kekal menjana pertumbuhan ekonomi yang positif.

Peningkatan peniaga dan PKS yang menggunakan teknologi digital bagi urusan perniagaan dengan kos efektif, dilihat pada tahap amat menggalakkan dan pada landasan tepat.

Teknologi digital perlu diperkasa bagi membantu peniaga dan PKS meneruskan kelangsungan hidup untuk tahun ini dan tahun hadapan.

Penulis adalah Pensyarah dan Koordinator Program Ijazah Kewangan dan Pelaburan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor

Berita Harian X