Sabtu, 24 Oktober 2020 | 12:18pm

Prorog Parlimen dari segi perundangan, politik

Perkataan 'prorog' menjadi popular dalam krisis Demokrasi Berparlimen negara kita ketika ini. Sejak merdeka hingga kini, pemprorogan Parlimen diamalkan di negara kita bagi menandakan tamatnya penggal Parlimen untuk digantikan penggal berikutnya.

Bagi tujuan pemprorogan Parlimen, Yang di-Pertuan Agong menghadiri Parlimen dan menyampaikan titah penutup. Pemprorogan Parlimen kemudiannya disiarkan dalam warta.

Apakah dimaksudkan dengan memprorog Parlimen? Perkataan prorog agak janggal. Ia bukan perkataan bahasa Melayu. Malah ia tiada dalam Kamus Dewan.

Menurut Etimology Dictionary Online perkataan prorog, (ejaan bahasa Inggeris, prorogue) berasal daripada perkataan Latin, prorogare yang secara literal bermaksud, 'untuk bertanya secara terbuka.'

Prorogare juga difahamkan sebagai 'untuk meminta persetujuan awam bagi memanjangkan tempoh dalam jawatan.'

Menurut bahasa Inggeris moden, perkataan prorog dalam makna perundangan ialah 'berhenti sementara.' Black's Law Dictionary, kamus undang-undang terkenal mendefinisikan prorogue sebagai '(1) to postpone or differ; (2) to discontinue a session of (a legislative assembly esp. the British Parliament) without dissolution; (3) To suspend or discontinue a legislative session.'

Jelasnya, prorog ialah istilah khusus berkaitan Parlimen dan istilah khusus bagi undang-undang Perlembagaan yang bermaksud memberhentikan Parlimen atau menggantung Parlimen tanpa membubarkannya.

Ini sekali gus, sidang Parlimen dihentikan atau direhatkan sehingga persidangan selepas itu atau sehingga Parlimen dibubarkan. Justeru, kesan jelas akibat pemprorogan Parlimen ialah Parlimen tidak boleh bersidang.

Di negara kita, perkataan prorog didapati dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan, 'Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.'

Perkara 55(5) menyatakan sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) yang belum diputuskan Parlimen tidak terluput disebabkan pemprorogan Parlimen. Perkara 55(7) pula menyatakan RUU yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) dan (4A) Perkara 66 tidak terluput oleh kerana pemprorogan Parlimen.

Kecuali perkara yang dinyatakan segala urusan Parlimen yang lain, termasuk usul, masa soal jawab Parlimen, semua jawatankuasa persidangan dan selainnya adalah terluput.

Pada ketika ini tiada undang-undang atau peraturan khusus berkaitan pemprorogan Parlimen di negara kita. Kajian ilmiah tempatan juga tiada yang khusus dan terperinci.

Mungkin kerana ia bukan isu sebelum ini. Malah banyak negara, termasuk Britain juga tidak mempunyai undang-undang khusus. Mereka mengamalkan prorog Parlimen berasaskan amalan Perlembagaan (constitutional convention).

Justeru, terdapat beberapa persoalan perlu dijawab secara akademik atau idealisme berdasarkan kepada sejarah dan nilai demokrasi serta Raja Berperlembagaan kita dan pengalaman negara lain juga boleh diambil perhatian.

Dalam suasana politik tidak stabil, mengikut pengalaman ia digunakan untuk menstabilkan suasana politik.

Bagi Raja Berperlembagaan, walaupun begitu jelas kuasanya untuk mengisytihar pemprorogan Parlimen, pengisytiharan berkenaan berkemungkinan boleh menyebabkan institusi ini terperangkap dalam kontroversi politik sehingga mengaburi konsep asal bahawa memprorog Parlimen adalah kuasa prerogatif baginda.

Apa yang berlaku di Britain pada 2019 dikatakan memalukan institusi beraja walaupun Ratu Elizabeth II hanya bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Pemprorogan Parlimen mempunyai beberapa isu perundangan dan isu politik yang mungkin berbangkit. Saya cuba menghuraikan persoalan perundangan.

Antara isu perundangan mungkin timbul termasuklah; pertama, adakah memprorog Parlimen kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong atau adakah baginda hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Kedua, adakah mahkamah boleh meneliti dan membuat keputusan berkaitan tindakan memprorog Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong dan ketiga, berapa lamakah pemprorogan Parlimen boleh berlaku.

Perkara 55(2) tidak menyebut sama ada prorog adalah kuasa budi bicara atau bertindak atas nasihat. Oleh itu, terdapat perbezaan pandangan di sini mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Terdapat pandangan menyatakan ia kuasa budi bicara dan ada menyatakan ia kuasa bertindak atas nasihat. Hujah untuk budi bicara ialah ia kuasa
prerogatif raja dan kuasa bertindak atas nasihat ialah prinsip umum Raja Berperlembagaan yang mana Perkara 40(1) dan (1A) diterima pakai.

Apa yang berlaku di Britain pada 2019 ialah mahkamah memutuskan nasihat diberikan kepada Ratu adalah tidak wajar, maka pemprorogan Parlimen diisytiharkan sebagai tidak sah.

Keputusan kes dari luar negara, hatta dari Britain sekalipun, tidak mengikat mahkamah, namun ia perlu dijadikan teladan atau sempadan.

Perbezaan antara Malaysia dan Britain mungkin menjadi faktor penting untuk diteliti. Britain mengamalkan Kedaulatan Parlimen dan sekatan ke atas Parlimen untuk meneliti tindakan kerajaan adalah suatu yang amat serius.

Bagi Malaysia, kita mengamalkan Keluhuran Perlembagaan, maka sekiranya peruntukan Perlembagaan ditaati, ia tidak begitu serius berbanding di Britain.

Walaupun begitu, perlu diingatkan pihak eksekutif, Jemaah Menteri bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen seperti dinyatakan dalam Perkara 43(3).

Perkara yang tidak dipersoalkan ialah prorog ialah kuasa prerogatif raja. Di Britain, Ratu melaksanakan kuasa tersebut atas nasihat. Memprorog Parlimen adalah kuasa prerogatif Ketua Utama Negara.

Perlembagaan tidak menjelaskan sama ada keputusan Yang di-Pertuan Agong memprorog Parlimen ini boleh disemak semula oleh mahkamah atau pun tidak. Sekiranya dikiaskan kepada peruntukan berkaitan darurat, keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disemak mahkamah.

Perlembagaan tidak menyatakan jangka masa pemprorogan Parlimen. Jangka masa pemprorogan Parlimen boleh diandaikan selama enam bulan kerana Perkara 55(1) menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dari semasa ke semasa memanggil persidangan Parlimen, tetapi ia tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara tarikh persidangan akhir penggal Parlimen kepada penggal berikutnya.

Penulis adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X