Isnin, 8 Ogos 2022 | 12:42pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Wujud geran padanan di media bantu promosi sektor pelancongan

Menurut Laporan Survei Pelancongan Dalam Negeri 2021 Jabatan Perangkaan (DOSM), perbelanjaan pelancongan domestik 2021 turun 54.5 peratus untuk merekodkan RM18.4 bilion. Laporan merangkumi statistik ketibaan pelawat, perbelanjaan pelancongan, corak perjalanan dan profil sosial dan demografi pelawat domestik itu jelas menggambarkan situasi sebenar sektor pelancongan negara terjejas akibat pandemik COVID-19.

Prestasi tidak menentu ini banyak didorong sekatan sempadan, prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan pergerakan berterusan kesan kemunculan varian baharu seperti Omicron dan Delta hingga memberi impak kepada pelancongan domestik pada tahun itu. Bencana banjir pada akhir tahun berkenaan di kebanyakan kawasan di Semenanjung turut menyebabkan perjalanan domestik menjadi lebih teruk.

Namun, suasana suram itu kembali cerah apabila kebangkitan industri pelancongan mula menampakkan sinar. Dengan peralihan kepada fasa endemik, ia bakal menyumbang pemulihan industri pelancongan dan dijangka menyaksikan pertumbuhan positif pada tahun ini diterajui sektor pelancongan domestik.

Ini selari dengan indikator kadar penghunian bilik hotel ditunjukkan pada suku pertama tahun ini. Pelonggaran peraturan perjalanan rentas negeri dan pembukaan pintu sempadan negara kepada pelancong bermula April lalu, memberi impak ketara kepada sektor pelancongan negara.

Selain pelbagai pakej rangsangan ekonomi, kerajaan memperkenalkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 sebagai kesinambungannya. Antara inisiatif di bawah pelan itu ialah penyaluran insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bermula 29 April lalu, membabitkan Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.

Inisiatif pulih sektor

Inisiatif ini diperluaskan secara berperingkat kepada Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan, selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah serta taman tema.

Oleh itu, rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun RM50 hingga RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas. Dianggarkan 14,925 individu bakal menerimanya dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2.9 juta.

Bagi membantu sektor perhotelan, pengangkutan dan industri spa, kerajaan memberikan bantuan kepada penggiat yang layak dalam bentuk dana serta geran seperti Pemberian Geran Sokongan Pelancongan, Seni & Budaya (GSPSB) dan Dana Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN).

Bagi merancakkan penganjuran acara mampu menarik kunjungan pelancong, kerajaan memberikan Geran Padanan Pelancongan Seni & Budaya (GPPSB) berjumlah RM50 juta melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam penganjuran acara pelancongan, seni dan budaya berimpak tinggi pada tahun ini.

Malah, MOTAC turut mempergiatkan usaha pemulihan industri pelancongan dengan Tourism Recovery Framework (TRF 2.0) memfokuskan meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama pintar antarabangsa dan nasional, memperkasakan masyarakat setempat, mengukuhkan daya tahan serta memastikan kemampanan industri pelancongan negara dalam mendepani ketidakpastian pada masa mendatang.

Dengan pembukaan semula aktiviti pelancongan seluruh negara, peningkatan kadar vaksinasi, pembukaan sempadan negara serta pelaksanaan TRF2.0, MOTAC menyemak semula sasaran ketibaan pelancong kepada 4.5 juta orang dengan pendapatan RM11.1 bilion bagi tahun ini.

MOTAC pastinya tidak bersendirian mendepani cabaran ketika dan pascapandemik kerana ia turut mendapat kerjasama dan komitmen penggiat industri pelancongan. Beberapa siri libat urus antara MOTAC dengan persatuan serta penggiat industri pelancongan diadakan bagi mencari penyelesaian terbaik, sekali gus meletakkan hala tuju industri pelancongan negara ke landasan sebenar.

Hakikatnya banyak lagi inisiatif kerajaan kepada sektor pelancongan negara sudah dan akan dilaksana, tetapi tidak didendangkan. Oleh itu, kerajaan sepatutnya memanjangkan bantuan atau geran sokongan untuk tujuan promosi di media tempatan.

Buat permulaan, MOTAC dicadangkan melancarkan geran padanan pengiklanan dan promosi untuk membantu pengusaha produk pelancongan tempatan mengiklankan produk mereka di media tempatan. Jika ini dapat dilaksanakan MOTAC bukan sahaja dapat membantu pengusaha produk pelancongan tempatan, malah membantu media tempatan yang banyak berjasa membantu mempromosikan industri pelancongan selama ini.

Penulis adalah Timbalan Presiden Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) dan Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan

Berita Harian X