Sabtu, 23 Julai 2022 | 12:00pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dipilih pada pemilihan di Kongres Nasional Ke-16 PKR yang diadakan di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dipilih pada pemilihan di Kongres Nasional Ke-16 PKR yang diadakan di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam. - NSTP/Eizairi Shamsudin

'Cikgu disiplin' lengkapkan rentak tenang Anwar ke medan PRU-15

KONGRES Nasional Tahunan PKR Ke-16 cukup signifikan memandangkan ia terakhir dianjurkan sebelum gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dipalu. Namun, sejauh mana PKR bersedia dan apakah gandingan dua teraju utama, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli mampu membentuk formula diperlukan untuk mendepani cabaran itu.

Wartawan BH - Adha Ghazali, Rohaniza Idris dan Mohd Nasaruddin Parzi yang membuat liputan sepanjang tiga hari kongres itu berkongsi pandangan dalam beberapa isu berkaitan parti tunjang Pakatan Harapan (PH) berkenaan.

Pandangan mengenai kombinasi Anwar-Rafizi.

Adha: Saya kira kedua-duanya saling melengkapi. Peranan Rafizi lantang dan agresif diperlukan untuk mengimbangi pendekatan Anwar yang rentaknya saya kira sudah semakin perlahan dan beransur tenang. Sifat 'air' melingkari Anwar dan 'api' pada Rafizi akan melengkapi untuk memacu gerak kerja PKR ke arah PRU-15.

Rafizi terkenal dengan sikap agresif disulami pendekatan berfakta. Pada saya inilah roh sebenar perjuangan PKR yang asasnya ditubuhkan di jalanan lebih 20 tahun lalu. PKR perlu kembali kepada semangat dan roh perjuangan ini, supaya aura parti lantang dengan laungan 'Reformasi' dan 'Lawan Tetap Lawan' tidak akan luntur.

Buktinya jelas dapat dilihat apabila kembalinya Rafizi ke arena politik, aura PKR sendiri mula berubah dan ahli serta perwakilan merestuinya dengan memberi kepercayaan besar untuk beliau menduduki jawatan kedua tertinggi parti.

Saya suka melihat bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang sentiasa tahu siapa lawannya sebenar. Cuma persoalannya apakah perjuangan dibawa Rafizi akan benar-benar disambut? Jangan pula ia sekadar dilihat dari jauh sambil bertepuk tangan, khususnya dalam kalangan 'otai' yang masih belum 'move on' atau menerima sepenuhnya kehadiran Rafizi?

Rohaniza: Saya setuju gandingan antara mereka nampak serasi. Benar pada awal kongres baru-baru ini, nampak hubungan mereka seakan-akan tegang, namun menjelang penggulungan selepas Rafizi membuat penjelasan terbuka, Anwar nampaknya dapat menerima pendekatan dan pembawaan timbalannya itu.

Anwar masih dengan pendekatan sedia adanya, berulang kali menekankan kepentingan ahli parti untuk tidak menolak terus kumpulan tewas pada pemilihan dan mereka berjasa serta berjuang sejak 23 tahun lalu.

Ditekankan juga Anwar kepentingan menjaga adab dan disiplin parti. Rafizi sedikit lantang dan menegaskan pendekatannya tidak sama sekali 'menikam' Anwar dari belakang. Berdasarkan situasi hari terakhir kongres, jelas hubungan kedua-duanya nampak baik dan tidak ada masalah.

Namun, itu semua di depan mata... di pentas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di mana perbincangan sebenar berlaku, hanya mereka dalam parti yang tahu.

Mohd Nasaruddin: Kombinasi Anwar dan Rafizi memberi harapan baharu kepada PKR untuk menghadapi PRU-15. Walaupun sebahagian besar pimpinan setia dengan Anwar masih kurang menerima corak dan pembawaan Rafizi, keupayaan Timbalan Presiden itu dan pasukannya menguasai parti termasuk dalam jawatan utama seperti MPP dan barisan naib presiden, meletakkan kedudukan kepemimpinan baharu lebih dominan dalam menentukan dasar dan hala tuju PKR, sungguhpun ada pihak dalamannya sendiri menolak atau terus mengkritik.

PKR sudah melalui fasa perpecahan dan pemutihan parti. Ahli dan pemimpin yang ada dalam PKR hari ini adalah mereka yang memang setia dan sayangkan partinya. Apa pun perselisihan wujud selepas ini, keutamaan bagi mereka adalah survival PKR dan kemenangan dalam pilihan raya.

Justeru, gandingan Anwar dan Rafizi dianggap pihak tertentu saling bertentangan - walaupun akan ada perselisihan dari segi pandangan dan gerak kerja - namun dijangka tidak akan menjurus PKR ke lembah perpecahan lebih kronik selepas ini.

Implikasi kehadiran semula Rafizi dan sejauh mana ia mempengaruhi PKR.

Adha: Saya rasa dua sahabat saya pasti setuju laungan dan sorakan gemuruh perwakilan ketika nama Rafizi diumum sebagai Timbalan Presiden PKR dan ketika beliau berjalan menuju pentas utama kongres baru-baru ini, cukup menggambarkan suara akar umbi mahukan nafas baharu dalam rentak perjuangan parti.

Saya sendiri tidak kenal Rafizi secara peribadi, namun sepanjang mengikuti perkembangannya, saya akui beliau boleh menjadi 'lawan digeruni'. Beliau diketahui seorang berpegang kepada data dan fakta. Saya percaya dalam situasi yang demografi pengundi ketika ini semakin berubah, strategi 'perang' digunakan Rafizi akan banyak membantu terutama ketika pengundi semakin bergantung kepada media sosial.

Namun itu tidak mencukupi kerana Rafizi tidak boleh bekerja sendiri. Apa pun, dengan dominasi kem beliau dalam barisan kepemimpinan parti, diharap Rafizi tidak sendirian. Secara ringkas saya boleh katakan Rafizi boleh jadi 'panglima' perang terbaik dalam PKR untuk menerajui parti itu menuju PRU-15.

Cumanya sekarang, apakah perjuangan Rafizi akan disahut? Bak kata beliau "saya sudah tunaikan permintaan kamu untuk kembali, sekarang saya nak minta daripada kamu pula untuk sama-sama bekerja untuk memenangkan parti."

Rohaniza: Sukar dinafikan 'comeback' Rafizi sememangnya dinanti. Bagi veteran dan otai PKR atau kelompok Reformasi, mereka agak kurang senang kerana kelantangan Rafizi seakan menenggelamkan Anwar dan tidak menghormati presiden parti itu.

Namun, bagi generasi baharu termasuk generasi BERSIH dan perwakilan muda, kehadiran Rafizi seakan memberi suntikan baharu kepada parti yang melalui episod duka pengkhianatan melalui Langkah Sheraton. Tambahan pula, kehadiran semula Rafizi kali ini membawa bersama barisan kepemimpinan daripada pasukannya sendiri.

Berdasarkan perbahasan pada kongres, pembahas lebih muda dengan lantang menyatakan mereka tidak mahu bernostalgia dengan perjuangan parti ketika mula ditubuhkan, sebaliknya melihat ke hadapan untuk membawa perubahan kepada parti.

Bagi yang mengenali Rafizi, sikap lantangnya dan kadangkala 'lebih sudu dari kuah' sememangnya boleh diterima, namun bagi pemimpin lama tindakan itu kurang disenangi lebih-lebih lagi dilihat seakan membelakangkan presiden. Ini diakui sendiri Rafizi.

Namun, Anwar seperti sudah menjangka kerana hubungannya dengan Rafizi umpama anak dan bapa. Malah, ketika ucapannya di pentas kongres, Rafizi sempat kongsi kisah hubungannya dengan Anwar mengaturkan majlis perkahwinannya melebihi kenduri perkahwinan anak sendiri. Ia penting supaya perwakilan faham wujudnya 'hubungan' kukuh antara kedua-dua mereka.

Apa pun kehadiran Rafizi sudah tentu merancakkan kembali PKR, malah sejak beliau mengumumkan pencalonan merebut jawatan nombor dua itu, carian di Twitter mengenai PKR semakin bertambah. Kelesuan PKR yang kalah teruk pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) nampaknya sedikit terubat dengan kehadiran Rafizi.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bersama barisan MPP baharu yang dipilih pada pemilihan di Kongres Nasional Ke-16 PKR di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bersama barisan MPP baharu yang dipilih pada pemilihan di Kongres Nasional Ke-16 PKR di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Mohd Nasaruddin: Kemunculan Rafizi sejak kempen pemilihan lalu membina momentum besar kepada PKR untuk menentukan hala tuju kepada politik PKR yang sebelum ini dilihat semakin memudar. Prestasi dicapai PKR dalam tiga siri PRN ternyata meletakkan ahlinya gusar terhadap masa depan PKR itu sendiri.

Rafizi berjaya membina kembali momentum itu dengan memperkenalkan pasukannya yang sebahagian besar muka baharu atau barisan pemimpin pelapis parti. Untuk menjangka kekuatan pasukan baharu PKR ini, masih terlalu awal sebab mereka belum diuji.

Namun, sentimen dijangka positif kepada PKR, malah kepada mana-mana parti politik pun yang berjaya menampilkan pembaharuan dalam parti ketika ini.

Contohnya, jika dilihat kepada Barisan Nasional (BN), siri PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang mereka sertai sebelum ini, BN mengambil langkah berani menampilkan lebih 70 peratus muka baharu termasuk sebahagian besar adalah calon anak muda.

Ini meletakkan harapan tinggi kepada penyokong setia parti dan sedikit sebanyak menyumbang kepada momentum sokongan pengundi atas pagar, terutama mereka yang tidak mahu muka lama atau muka sama mendominasi parti. Hasilnya, BN berjaya meyakinkan pengundi tegar mereka untuk terus mengundi BN dan sedikit sebanyak mula menarik keyakinan kepada pengundi atas pagar dan muda.

Faktor pembaharuan ini antara yang membantu mereka meraih kemenangan besar dalam PRK dan PRN.

Keadaan pasca-Kongres PKR selepas perpecahan ketara ketika pemilihan.

Adha: Ramai setuju kongres hadir ketika situasi PKR boleh dikatakan agak kritikal - menyaksikan persaingan antara kem cukup ketara. Saya percaya ramai lawan bertepuk tangan melihat situasi ini. Namun, pemilihan sudah berakhir dan ikrar dilakar perwakilan untuk mengenepikan perbezaan dan persaingan berlaku ketika pemilihan, perlu dikotakan. Ikrar sahaja tidak bermakna, jika di lapangan ia tidak dikotakan.

Saya percaya bukan hanya PKR, malah semua parti politik sekalipun perlu mengelak sengketa dalaman. Sekelumit sengketa jika dibiar, mungkin boleh bertukar menjadi perang besar ditambah jika ada mencucuk di belakang. Perlu diingat rakyat sudah lama mengalami lesu politik dan hingar-bingar perebutan kuasa harus segera dinoktahkan, sebelum masing-masing dihenyak rakyat dalam PRU.

Kebimbangan besar datang apabila persaingan kembali ketika memilih calon untuk PRU. Bukan hanya sesama parti, malah rakan dalam gabungan politik juga masing-masing merasa berhak dan layak. Perlu diingat, PKR ketika kongres menyatakan mahu bertanding di semua kerusi dimenangi dan pastinya 'pertembungan' hak dan tuntutan kerusi akan berlaku.

Dari segi pemilihan parti, saya percaya Anwar sudah pun menyelesaikan isu ketiadaan wakil India serta Sabah dan Sarawak dalam barisan kepemimpinan parti melalui mesyuarat pada malam Selasa lalu. Ini penting kerana PKR tidak boleh membiarkan mana-mana kelompok tertinggal dan terabai, supaya sasaran parti muncul yang terkuat dalam PRU-15 membuahkan hasil.

Rohaniza: Saya juga tertarik dengan janji Ketua Wanita PKR baharu, Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli pada penggulungan Kongres Wanita dan AMK, Jumaat lalu. Mereka setuju tiada lagi kem dalam PKR kecuali hanya satu.

Kenyataan sama turut diungkap tiga naib presiden PKR baharu, yang menekankan persaingan dalam pemilihan perlu dilupakan untuk parti itu bergerak ke hadapan. Adalah terlalu awal untuk mengulas sama ada perpecahan itu berterusan atau tidak. Namun, berdasarkan situasi semasa, PKR nampaknya sedaya upaya merapatkan kesatuan mereka untuk menuju PRU-15 yang mungkin diadakan bila-bila masa.

Mohd Nasaruddin: PKR akan menyatu sebagai parti bersedia untuk menuju PRU. Barisan kepimpinan baharu, mereka menyertai puncak kuasa parti untuk memenangkan parti dan tidak meletak kepentingan politik peribadi semata-mata. Namun, sama ada pasukan ini mampu menterjemahkan hala tuju politik mereka dalam PH, akan menjadi satu persoalan yang masih belum berjawab.

Sebab, pasukan baharu PKR ini dilihat membina naratif dan gerak kerja berbeza, namun matlamat mereka masih sama untuk menang dalam PRU. Pasukan Rafizi jelas menolak agenda khemah besar, namun sebahagian pemimpin PH menerima agenda itu sebagai satu strategi meraih cukup kerusi membentuk kerajaan pasca PRU-15.

Sama ada strategi membina keyakinan rakyat dibawa Rafizi akan lebih meyakinkan untuk meraih kejayaan dalam PRU atau bergabung dengan parti dalam blok pembangkang lebih mudah untuk membentuk kerajaan, semua ini akan menjadi pertimbangan pimpinan mereka.

Jika gagal diurus sebaiknya, politik PH akan terus berpecah. Kesannya, sukar untuk kompromi apatah lagi menang PRU. Kini, sentimen rakyat terhadap PKR dan PH khususnya dilihat tidak mengukuh. Beberapa isu nasional yang dihangat dan dikitar semula termasuk isu tuntutan Kumpulan Sulu, janji PH, hutang negara, isu ekonomi dan pelaburan memberi tekanan kepada PH, dengan sentimen penolakan kepada PH cukup membimbangkan.

Sebahagian perwakilan yang hadir pada Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sebahagian perwakilan yang hadir pada Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pandangan mengenai potensi PKR dalam PRU-15.

Adha: Saya tak mahu sentuh isu peluang PKR kerana saya yakin rakan saya Mohd Nasaruddin lebih arif. Cuma satu dapat saya katakan, jika kena dengan gayanya, PKR dibarisi kepemimpinan baharu lebih segar tidak mustahil mampu memberi saingan cukup kuat di pentas PRU-15.

Saya sedikit pelik kenapa pentas kongres lebih digunakan perwakilan untuk membodek Anwar dan terus-menerus meyakinkan halwa telinga semua dengan menjulang Presiden PKR itu sebagai calon Perdana Menteri. Seingat saya, tinggi juga nada Rafizi ketika menyentuh sikap dan budaya ini sewaktu berucap di pentas kongres. Mungkin mereka bodek sebab ada makna, siapa yang tahu.

Pada saya, jika budaya bodek terus-menerus berakar umbi, saya yakin PKR akan berterusan dibuai khayalan, sedangkan fokus utama perlu ditumpukan adalah khidmat bakti kepada rakyat. Di sinilah peranan perlu dimainkan Rafizi sebagai 'cikgu disiplin' untuk tujuan semak dan imbang.

Perlu diingat, rakyat kini terhimpit pelbagai isu baik dari segi harga barang, kenaikan kos sara hidup dan bermacam-macam lagi. Jadi, tidak kiralah kamu datang atas label PKR, UMNO, BERSATU atau parti apa sekali pun, jika rakyat tak yakin masalah mereka diambil peduli dan ditangani, jangan harap mereka nak undi.

Rohaniza: Pada saya, PKR dengan barisan kepemimpinan baharu dilihat bersemangat dan pemilihan Rafizi sebagai Pengarah Pilihan Raya memberi harapan kesiapsiagaan parti itu menuju PRU-15. Jika dilihat kepada pendekatan Rafizi, beliau sememangnya seorang berstrategi.

Malah jika tidak dilantik menjawat jawatan itu pun, sebenarnya bekas Ahli Parlimen Pandan ini sudah ada pelannya tersendiri. Rafizi juga menawarkan diri untuk menjadi 'tok ketua' mengepalai jentera parti bagi PRU-15 pada kongres baru-baru ini.

Persoalannya kini, PKR pada PRU-15 tidak bertanding sendirian sebaliknya sebagai satu pakatan dengan PH. Memandangkan barisan kepemimpinan yang ada muka baharu dan Rafizi pula baru kembali, diharap strateginya tidak bertentangan dengan pasukan PH.

Rafizi kena mencari formula untuk memenangkan hati PH walaupun hakikatnya, beliau tidak asing dalam kalangan kepemimpinan PH yang ada kini.

Mohd Nasaruddin: Nampaknya Adha bagi tugas berat pada saya. Benar di atas kertas PKR mempunyai harapan untuk mengekalkan beberapa kerusi yang mereka menang dalam PRU 2018 khususnya di Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. Semua negeri ini mempunyai penyokong PH tinggi sama ada berstatus tegar atau atas pagar.

Jadi, PKR sudah tentunya akan menumpukan gerak kerja jentera di kawasan tumpuan atau kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka yakin boleh menang. Berbanding, menghabiskan wang ringgit dan jentera untuk bertempur di kerusi atau kubu kuat BN khususnya UMNO.

Strategi ini biasa dibuat PKR dalam mana-mana pilihan raya termasuk di tiga PRN lalu. Namun, keupayaan ini sangat bersandar kepada ketumbukan jentera PKR. Kesiapsiagaan jentera ini membabitkan kerja meraih dan merayu undi, gerak gempur bahan kempen sama ada fizikal atau maya, proses pengiraan kertas undi serta kesiapsiagaan mereka di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) menyusun aktiviti ceramah dan kunjungan rumah ke rumah.

Atas sebab itu, Anwar dalam ucapan dasar dan penggulungannya ketika kongres minggu lalu menekankan berkali-kali mengenai kemantapan jentera ini.

Berita Harian X