Jumaat, 22 Julai 2022 | 12:30pm

RUU larang lompat parti julang sistem demokrasi berparlimen

SEHINGGA akhir Mac lalu, seramai 39 Ahli Parlimen bertukar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Amalan demokrasi di negara ini memberikan ruang seluas-luasnya kepada wakil rakyat untuk melompat parti.

Tambahan pula di Malaysia tidak ada undang-undang atau akta menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat. Maka, timbul persoalan di sini mengenai hak lompat parti wakil rakyat dan kepentingan masyarakat terbanyak.

Atas dasar itulah ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilihat menggunakan kebebasan mereka untuk lompat parti atas kepentingan dan perjuangan yang mereka sendiri tafsirkan.

Namun, perbuatan melompat parti menyaksikan ia turut menjadi punca ketidakstabilan politik di negara ini, dengan tiga Perdana Menteri dilantik sejak PRU-14 diadakan pada 2018.

Perbuatan melompat parti ini menggambarkan konsep demokrasi yang menjulang idea kebebasan ideal, namun ia sering disalah tafsir pihak tertentu atas kepentingan peribadi mereka.

Kebebasan ideal bukan bermakna bebas atas segala-galanya. Kita kena faham falsafah demokrasi memberikan penekanan utama kepada elemen rasional dan bermoral.

Oleh itu, kebebasan dalam tafsiran demokrasi turut terikat secara langsung dengan elemen rasional, bermoral dan beberapa elemen lain lagi.

Dalam konteks ini, selain daripada hak rakyat untuk mengundi, menyokong mana-mana calon atau parti politik, menyertai dengan aktif dalam politik, kebebasan berpersatuan dan pelbagai aktiviti lain, calon pilihan raya juga mempunyai hak untuk menyertai parti politik yang dapat mendukung perjuangan mereka.

Soalnya, adakah mereka bebas menggunakan sepenuhnya hak mereka untuk melompat parti atau perlu bertindak dengan lebih rasional dalam memastikan kepentingan masyarakat terbanyak dijaga dan dibela.

Masyarakat hilang kepercayaan

Tindakan lompat parti seolah-olah menghancurkan amanah dimandatkan pengundi dalam pilihan raya umum (PRU) lalu. Kepentingan masyarakat terbanyak juga seolah-olah diabaikan dalam percaturan politik tidak mengendahkan hasrat pengundi.

Implikasinya, masyarakat terbanyak hilang kepercayaan terhadap wakil rakyat mereka pilih, kewibawaan dan kejujuran wakil rakyat juga dipertikaikan.

Tindakan lompat parti beberapa orang ahli Parlimen dan ADUN khususnya selepas PRU-14 bukan sahaja melahirkan rasa kecewa masyarakat terbanyak yang mengundi mereka, tetapi turut memporak-perandakan pemerintahan di Malaysia.

Tindakan ahli Parlimen bebas melompat parti menyebabkan kerajaan terbentuk hari ini tidak lagi melalui proses pilihan raya demokratik, tetapi atas percaturan politik wakil rakyat yang bebas menggunakan hak lompat parti mereka.

Tindakan itu menjejaskan kestabilan politik negara sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong menggunakan mekanisme penyelesaian di luar proses kebiasaan dalam menentukan peneraju Kerajaan Persekutuan.

Dengan kata lain, kerajaan terbentuk hari ini tidak kukuh, goyah dan silap percaturan boleh ditumbangkan pada bila-bila masa. Apabila kerajaan tidak stabil, sudah tentu kepentingan masyarakat terbanyak akan turut terjejas.

Lantaran itu, tindakan kerajaan dalam usaha meminda Perkara 10 Perlembagaan dan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dilihat tepat pada masanya sebagai mekanisme untuk terus mewujudkan kestabilan politik dan memastikan kelancaran pemerintahan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengesahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 sudah memuktamadkan pindaan kecil dalam draf penyata pada 12 Julai lalu dan mengesahkan draf penyata berkenaan.

Nota Jemaah Menteri berhubung pindaan itu juga dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri tanpa sebarang persoalan dibangkitkan. Bermakna, nasib RUU ini bergantung kepada keputusan ahli Parlimen di Dewan Rakyat nanti.

Dari perspektif Perlembagaan dan undang-undang, sememangnya agak sukar untuk memperincikan setiap perkara membabitkan isu lompat parti ini.

Dari perspektif parti politik, penggubalan akta itu akan terus mengikat kesetiaan wakil rakyat mereka dengan parti mereka tandingi, manakala dari perspektif wakil rakyat, mungkin menjadi masalah kepada mereka sekiranya tidak lagi sehaluan dengan parti mereka.

Menariknya, RUU itu mengandungi perkara mensyaratkan seseorang ahli Parlimen atau ADUN perlu mengosongkan kerusinya dan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi mengisi kekosongan akibat tindakan wakil rakyat bertukar parti.

Justeru, seorang wakil rakyat perlu berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan untuk melompat parti kerana impaknya menyebabkan kedudukannya sebagai ahli Parlimen atau ADUN terlucut.

Perkara ini perlu diberikan penekanan khusus sebagai mekanisme kawalan dan peringatan kepada semua wakil rakyat supaya tidak menyalah gunakan hak dan kedudukan dimandatkan kepada mereka.

'Kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat'

Ironinya, RUU ini jika menjadi akta nanti, ia tidak memberikan kelebihan kepada mana-mana pihak atau parti, tetapi akan terus menjulang dan memartabatkan sistem demokrasi berparlimen diamalkan di negara ini.

Kepentingan masyarakat terbanyak perlu sentiasa diberikan keutamaan berbanding kepentingan peribadi seseorang wakil rakyat. Sesuai dengan konsep demokrasi 'kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.'

Sementara itu, berdasarkan hasil kajian politik dan pilihan raya dilaksanakan kebanyakan penyelidik, lebih 70 peratus pengundi di Malaysia cenderung untuk memilih parti berbanding calon pada pilihan raya.

Statistik ini menunjukkan kebanyakan wakil rakyat di Malaysia menang atas tiket parti berbanding personaliti calon itu sendiri. Hal ini kerana rata-rata pengundi faham hanya parti memenangi kerusi terbanyak di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu membentuk kerajaan.

Sekiranya calon yang mereka undi menang, tetapi parti politik calon itu kalah, maka calon itu tidak mampu membentuk kerajaan mereka idamkan. Akan tetapi, harus difahami sistem pilihan raya di negara kita berteraskan kepada pemilihan calon dan bukannya pemilihan parti.

Kedudukan parti politik dalam sistem pilihan raya di negara kita hanya wujud menerusi penggunaan nama dan simbol digunakan seseorang calon pada pilihan raya.

Maka, wujud kekeliruan antara hasrat pengundi lebih berkecenderungan memilih parti politik dengan sistem pilihan raya berteraskan kepada pemilihan calon.

Bagaimanapun, hakikat perlu diterima, tanpa parti politik, seseorang calon itu sukar memenangi kerusi ditandinginya. Di sini, timbul soal kesetiaan, tanggungjawab, amanah, hasrat dan harapan pengundi terhadap wakil rakyat mereka yang dipilih berasaskan parti politik.

Penulis adalah Ketua Jabatan merangkap pensyarah politik Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X