Rabu, 20 Julai 2022 | 2:59pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tiga senario dijangka jadi pencetus kemelut dalam PKR

Kongres Nasional Tahunan PKR berakhir Ahad lalu, memperlihatkan kemelut dalaman parti semakin meruncing dengan ketidakselesaan terhadap Timbalan Presiden baharu, Rafizi Ramli tampak ketara disebabkan sikap mengkritik secara terbuka kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan strategi dilihat tidak menguntungkan PKR.

Pertentangan karakter dan hala tuju politik antara Anwar-Rafizi menjadi cabaran besar kepada PKR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), malah bakal mencetuskan perbalahan dalaman lebih serius apabila Rafizi serta kumpulannya mendominasi, terutama dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Perbalahan dalaman dapat dilihat menerusi beberapa keadaan berikut.

l Pertama, penentuan strategi kerjasama politik menerusi konsep khemah besar antara PKR dengan parti politik lain.

Konsep itu ditolak Rafizi kerana terdapat kemungkinan beberapa parti politik lain menumpang kekuatan PKR tidak menguntungkan parti. Kenyataan itu difahami merujuk kepada hubungan merangkumi parti seperti Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dianggap tidak berdaya saing.

Sekiranya PKR masih bersetuju dengan konsep khemah besar dan membenarkan platformnya digunakan seperti pemilihan logo pada pilihan raya, ia membuka ruang kemungkinan sekali lagi dipergunakan pemain politik untuk kembali berkuasa.

Pada PRU-14, kepemimpinan PKR sanggup membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kempen pilihan raya dan menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri demi menyelamatkan negara.

Kesilapan besar PKR adalah terlalu mempercayai Dr Mahathir meskipun beliau ketika regim pentadbirannya pernah menghumban Anwar dan penyokong gerakan reformasi ke penjara.

Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri menang atas tiket PKR akhirnya runtuh akibat permainan politik yang ingin menghalang Anwar sebagai Perdana Menteri dan tindakan bersendirian Dr Mahathir meletakkan jawatan.

Ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada PKR berhati-hati meneruskan konsep khemah besar sehingga menyebabkan Rafizi komited menolak pendekatan itu.

Lantik pemimpin propresiden

l Kedua, Anwar dinilai akan terus berusaha mencengkam kepimpinan parti dengan melantik penyokong dalam pasukannya untuk jawatan strategik tertentu dalam parti.

Berdasarkan Fasal 21.7 Perlembagaan PKR, Presiden diberikan kuasa melantik 24 penyandang jawatan penting dalam parti antaranya tiga Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan 14 Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

Peluang ini diyakini akan digunakan untuk melantik pemimpin propresiden bagi mengimbangkan dan mengawal kekuatan pasukan Rafizi dalam parti.

Tindakan sama dilakukan Anwar sebelum ini apabila beliau melantik Rafizi sebagai Naib Presiden PKR selepas tewas pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2018.

Oleh itu, tidak mengejutkan jika Anwar melantik semula calon propresiden tewas untuk menyandang jawatan penting dalam PKR seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Fuziah Salleh, Farhash Wafa Salvador, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Fahmi Fadzil.

l Ketiga, penentuan calon PRU-15 menjadi sukar apabila dua kem utama, iaitu kem Anwar dan Rafizi bersaing untuk dicalonkan pada pilihan raya. Sudah tentu Presiden mempunyai kuasa menandatangani watikah calon pilihan raya sangat berhati-hati menerima calon mewakili pasukan Timbalan Presiden.

Kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kubu kuat dan berpotensi dimenangi semula PKR dijangka akan diserah kepada kumpulan propresiden, manakala calon mendukung Rafizi akan diberikan kerusi sukar dimenangi.

Pengagihan kerusi tidak adil boleh mencetuskan sabotaj dalaman parti, sekali gus menyebabkan PKR akan hilang separuh bilangan kerusi Parlimen dimenanginya pada PRU-14.

Namun, PKR belum terlambat meletakkan semula potensi kemenangannya pada PRU-15. PKR perlu direformasikan dengan tindakan politik drastik, iaitu Anwar berundur sebagai Presiden dan menjawat Penasihat Umum.

Sepanjang Anwar di belakang tabir politik PKR ketika dipenjarakan, parti itu berkembang menerusi peningkatan cemerlang pada setiap pilihan raya umum bermula PRU-12.

Kedua, pemimpin parti yang masih berharap dan berjuang Anwar menjadi Perdana Menteri perlu diketepikan sebagai calon PRU-15 kerana matlamat itu tidak lagi relevan kepada rakyat berbanding isu penting mampu meraih sokongan pengundi.

Ketiga, kepemimpinan parti perlu mohon maaf kepada ahli kerana lemah dalam melaksanakan pemilihan apabila lambat mengumumkan keputusan pemilihan berbanding Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X