Selasa, 5 Julai 2022 | 12:45pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Percepat e-kerajaan bendung rasuah, ketirisan

Senario kenaikan harga barang turut dikaitkan amalan rasuah dan salah guna kuasa, termasuk mereka terbabit dalam rantaian bekalan selain pembabitan penjawat awam.

Harga barangan melambung tinggi pada kadar tidak munasabah menyebabkan rasuah dikatakan sebagai punca seperti berlaku di Sri Lanka. Sistem kapitalis rakus, terutama monopoli perniagaan kartel adalah bukti bahawa budaya rasuah semakin menebal dalam sistem perniagaan negara.

Pada masa sama, kerajaan terpaksa menangani masalah kenaikan harga barang susulan penularan COVID-19, konflik Russia-Ukraine dan kelembapan ekonomi global akibat pandemik.

Dalam konteks ketirisan dan penyelewengan dikatakan mengakibatkan kenaikan harga barang, mungkin sampai masa kerajaan mempercepatkan inisiatif e-kerajaan bagi membendung rasuah dalam sektor awam dan swasta.

Falsafah utama di sebalik pelaksanaan pendigitalan adalah 'apabila kurang perhubungan fizikal, maka akan berkurang peluang atau gejala rasuah di negara ini'.

Sebagai badan bebas, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) meyakini sistem pendigitalan e-kerajaan akan dapat mengurangkan rasuah dalam sektor kerajaan.

Bagi memastikan keberkesanannya dan mempercepat penyampaian sistem e-kerajaan ini, ia memerlukan pembabitan dan sokongan semua pihak serta komitmen besar kerajaan sendiri. Setiap teknologi baharu pasti ada kekuatan dan kelemahan yang pakar di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan cendekiawan di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu segera mengkajinya.

Paling penting, ia memudahkan proses menjejak aliran wang bagi mengetahui wang itu daripada siapa dan ke mana. Bermakna, sektor kerajaan dan swasta harus sedia bekerjasama serta sanggup bertindak di luar bidang masing-masing bagi memastikannya dapat dilaksanakan berkesan.

Perlu diakui sektor swasta antara pemacu utama pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, maka kerajaan harus memanfaatkan kelebihan ini sebagai sumber daya, rakan kongsi serta pengguna, sesuai keperluan dan kehendak masa hadapan sistem e-kerajaan ini.

Strategi kerajaan untuk terbabit aktif dengan sektor perniagaan diperlukan ketika berusaha mengembangkan transformasi pendigitalan.

Kerajaan juga perlu bekerjasama mendapatkan sokongan dan kepakaran sektor swasta serta rakyat untuk memahami serta membantu mengatasi cabaran teknikal bagi meningkatkan pengembangan dan penyampaian strategi ini.

Oleh itu, kerajaan boleh memperkenalkan proses end-to-end dalam perkhidmatan transaksi pembayaran penuh dan mewajibkan e-kerajaan bermula dari awal sesuatu urusan demi meningkatkan keberkesanannya bagi mengurangkan rasuah.

Kerajaan perlu mengkaji dengan teliti peranan dan sumbangan sektor swasta dalam e-kerajaan untuk memastikan keberkesanan serta penerimaan sistem ini sebagai 'alat' dalam usaha mencegah rasuah. Ini penting dalam mencari kaedah untuk memberikan insentif berkenaan pembabitan sektor swasta dalam menggunakan sistem e-kerajaan ini.

Penggunaan aplikasi berasaskan web menggunakan algoritma penilaian kepuasan pengguna e-kerajaan oleh syarikat pasti membantu memperluas pemahaman dan pengetahuan mengenai inisiatif ini.

Perbincangan maya bersama pelbagai pihak perlu dilakukan bagi menyatukan sektor awam dan swasta yang terbabit dalam e-kerajaan, termasuk pembangun perisian, golongan ahli akademik serta masyarakat untuk memastikan sistem ini diterima. Kajian impak terhadap keberkesanan sistem ini sebagai alat antirasuah juga amat penting dalam memastikan wawasannya berjaya kerana ia sedang berkembang pesat di serata dunia.

Mengembangkan transaksi dalam talian atau pendigitalan ini diakui membabitkan kos tinggi, justeru kaedah telus dan terbuka dapat mengelak pemilihan sistem menjayakan e-kerajaan ini diselubungi pula dengan isu rasuah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Berita Harian X