Ahad, 19 Jun 2022 | 10:52am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Teliti isu calon SPM 2021 tak hadir dikait generasi keciciran

Setiap pengumuman jumlah dan nama calon memperoleh keputusan cemerlang serta prestasi subjek dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kolej Sultan Islam Sultan Alam Shah (KISAS), tepukan dan sorakan murid, ibu bapa dan guru jelas kedengaran walaupun saya hanya mengikutinya secara dalam talian.

Mana tidaknya seorang calon mendapat A+; 11A (78); 10A (42); 9A (45); 8A (32); 7A (43); 6A (27); 5A (18); 4A (lapan); 3A (tiga) dan 2A (seorang), selain prestasi mata pelajaran secara keseluruhan mencatatkan keputusan cemerlang.

Reaksi sama pasti dapat disaksikan di semua sekolah, terutama Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang sememangnya mempunyai kelebihan dari sudut keupayaan murid, kepakaran guru serta kelebihan infrastruktur.

Kegembiraan itu kemudian dikongsi di media sosial daripada Facebook dan Twitter hingga Instagram serta TikTok, termasuk memuat naik slip keputusan SPM dan gambar pelajar bersama ibu bapa, guru atau rakan mereka.

Kami di media cetak, stesen televisyen atau portal berita tidak kurang semangatnya, seribu satu kisah kejayaan calon SPM pelbagai latar belakang disiarkan, apatah lagi 382,156 pelajar terbabit meredah 'musim' paling perit dalam sejarah moden ketamadunan manusia, iaitu pandemik COVID-19.

Ucapan tahniah wajar diberi kepada semua calon SPM 2021, walau apapun keputusan diperoleh kerana ia bukan penamat kepada perjalanan akademik dan ilmu mereka, sebaliknya peralihan ke fasa lebih penting.

Kementerian Pendidikan (KPM) tampaknya berpuas hati keputusan cemerlang SPM 2021, walaupun Gred Purata Nasional (GPN) menurun sedikit, iaitu 4.86 berbanding 4.80 pada tahun sebelumnya.

Namun, di sebalik kegembiraan itu terdapat fakta membimbangkan, iaitu 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan. Ia dikongsi Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid, manakala pada sidang media lain, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menjelaskan sebahagian besar adalah calon persendirian.

Bagaimanapun keesokannya, Lembaga Peperiksaan mengeluarkan kenyataan disifatkan untuk memberikan gambaran sebenar, iaitu 10,681 calon tidak menduduki SPM 2021, merangkumi 9,037 calon atau 2.3 peratus adalah mereka mendaftar di sekolah bawah KPM, sekolah agensi kerajaan, sekolah menengah negeri, sekolah swasta dan sekolah menengah agama rakyat, manakala 1,644 calon atau 0.42 peratus adalah calon persendirian.

Hakikatnya, sama ada 24,941 atau 10,681 calon tidak menduduki SPM, ia bukan sekadar angka atau statistik, sebaliknya mereka sebahagian generasi muda tidak dapat berbuat demikian kerana pelbagai faktor dan sebab.

Apakah mereka tidak dapat menduduki SPM kerana masalah peribadi disebabkan kemiskinan keluarga, tuntutan hidup hingga perlu bekerja, termasuk terbabit dalam ekonomi gig atau masalah kesihatan, termasuk psikologi?

Lebih penting lagi, sejauh mana ketidakhadiran mereka itu dipengaruhi faktor pandemik COVID-19 kerana Bank Dunia pernah mengingatkan 1.6 bilion pelajar terjejas akibat penutupan sekolah pada awal pandemik dan terus meningkat selagi tidak dapat dikawal.

Malah, KPM mengeluarkan data keciciran murid, iaitu 11,301 murid berhenti sekolah dalam tempoh Mac hingga Disember 2020, manakala 10,015 murid pula antara Januari hingga Julai tahun lalu.

Sememangnya tanpa data jumlah calon tidak hadir SPM sebelum pandemik, sukar membuat kesimpulan ketidakhadiran peperiksaan 2021 itu sebagai simptom daripada generasi keciciran atau lost generation akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperlukan untuk membendung penularan COVID-19.

Bagaimanapun, jumlah direkodkan Lembaga Peperiksaan itu besar hingga memerlukan KPM mengadakan post-mortem untuk mengenal pasti punca sebenar dan mengemukakannya secara telus kepada umum supaya penyelesaiannya tidak hanya dibebankan kepada kementerian itu semata-mata.

Apatah lagi dengan keadaan negara dalam Peralihan ke endemik, dijangkakan satu demi satu simptom daripada penyakit generasi keciciran akan mula dikesan, termasuk sejauh mana mutu Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) sepanjang pandemik tempoh hari apabila calon SPM 2021 menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Kejayaan SPM 2021 tidak boleh dijadikan kayu ukur mutlak kepada PdPR khususnya dan sistem pendidikan umumnya sepanjang pandemik, sebaliknya perlu mengambil kira keupayaan mereka dalam pendidikan seterusnya.

Justeru, isu ketidakhadiran calon SPM 2021 itu perlu dilihat dalam kerangka masalah lebih besar membabitkan generasi keciciran hingga memerlukan penyelesaian menyeluruh merentas kementerian dan kerajaan.

Di sini, KPM perlu membuka pintu kepada pihak lain termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen yang sebelum ini beberapa kali meluahkan kesal terhadap kegagalan Mohd Radzi hadir ke mesyuarat itu sedangkan Menteri Pengajian Tinggi dapat berbuat demikian.

Justeru, ada baiknya isu ketidakhadiran calon SPM 2021 ini sekiranya berkait secara langsung dengan generasi keciciran dijadikan titik tolak baharu untuk KPM bekerjasama dengan semua pihak dalam menyelesaikan permasalahan kritikal kepada masa depan negara ini.

Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

Berita Harian X