Rabu, 15 Jun 2022 | 10:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Munsyi Muda Bahasa di jabatan kerajaan digalakkan

Penggunaan bahasa Melayu dalam hubungan diplomatik antarabangsa bukanlah baharu, sebaliknya manuskrip lama membuktikan penggunaan bahasa itu dalam tulisan Jawi melalui penulisan warkah kepada ketua kerajaan luar oleh Raja-Raja Melayu.

Tradisi ini 'dikembalikan' semula pucuk pimpinan semasa apabila pemimpin utama negara menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu dalam persidangan serantau dan antarabangsa serta mengutuskan surat kepada pemimpin negara luar dalam bahasa ibunda dengan terjemahan bahasa Inggeris.

Dari satu sudut, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu berpotensi untuk menjadikan bahasa dan budayanya yang kaya sebagai alat diplomasi lunak, seterusnya membentuk identiti kebangsaan kukuh seperti Jepun, Perancis, Korea Selatan, Turki dan Indonesia.

Oleh itu, usaha mewujudkan jawatan Munsyi Muda Bahasa di setiap jabatan kerajaan amat digalakkan khususnya bagi sektor luar negara. Pelbagai usaha dapat dilakukan Wisma Putra dalam mendukung hasrat murni ini.

Antaranya, penempatan atase linguistik dalam kalangan pegawai perancang atau guru bahasa ke pejabat perwakilan Malaysia di luar negara (MALAWAKIL) untuk menguruskan teks ucapan, surat dan kenyataan rasmi dengan menggunakan laras serta istilah bahasa Melayu tepat.

Atase turut berperanan merancang program mempromosikan bahasa Melayu di luar negara melalui pelbagai wadah dan kerjasama. Perancis antara contoh negara mempunyai atase linguistik di pejabat kedutaannya, selain Nigeria, Kenya dan India.

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) turut berperanan sebagai agensi pemberi latihan dan penyelidikan kepada Wisma Putra. Di bawah IDFR, Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya dipertanggungjawabkan untuk merancang program berkaitan pengayaan bahasa dan budaya.

Antaranya, Kursus Asas Perbualan Bahasa Melayu ditawarkan setiap tahun kepada diplomat luar dan ekspatriat di negara ini. Melalui kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula, IDFR kini pada fasa terakhir mengemas kini buku daftar istilah diplomasi dan hubungan antarabangsa ke bahasa Melayu.

Peranan pegawai penyelidik amat signifikan untuk menjalankan kajian dan menghasilkan penulisan berkaitan pemerkasaan bahasa serta budaya sebagai usaha memberikan saranan kepada Wisma Putra dalam pembuatan polisi berkaitan. Lebih-lebih lagi apabila Diplomasi Budaya antara bidang tumpuan dalam Kerangka Dasar Luar Malaysia.

Di peringkat pentadbiran kerajaan pula, penjenamaan semula nama dan laman sesawang agensi kerajaan yang kini menggunakan akronim bahasa Inggeris turut boleh dipertimbangkan seperti Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).

Keseimbangan dalam isu ini dapat diwujudkan dengan mengetengahkan idea bahawa kemahiran berbahasa tidak hanya terhad kepada satu bahasa sahaja. Bahasa Inggeris, iaitu lingua franca semasa masyarakat antarabangsa perlu juga diberi pengiktirafan sewajarnya dan dikekalkan peranannya dalam aspek seperti pelancongan, perdagangan dan diplomasi yang menjadi antara kekuatan Malaysia.

Kini Malaysia berada pada kedudukan ke-28 di dunia dalam tahap penguasaan bahasa Inggeris, sekali gus ketiga terbaik di rantau Asia Tenggara selepas Singapura dan Filipina. Apapun, rumus dalam mencari titik keseimbangan antara memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Penolong Pengarah di Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Wisma Putra

Berita Harian X