Isnin, 13 Jun 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Teruskan amalan jaga kesihatan, kebersihan

Kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan diri sememang meningkat dengan drastik selepas pandemik COVID-19 walaupun pada peringkat awal, ramai agak sukar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan serta melaksanakan norma baharu.

Bagaimanapun, kesedaran sama masih tidak berlaku dalam konteks penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis, sebaliknya sebahagian terus mengamalkan pemakanan tidak sihat termasuk mengandungi lemak, garam dan gula dalam kadar tinggi, selain kurang aktif dan tidak bersenam.

Justeru, pemilihan Perangi COVID-19 & Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Dengan Makan Secara Sihat sebagai tema sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2022 sangat relevan dengan suasana pandemik dan endemik penyakit kronik tidak berjangkit kerana penghidapnya meningkat setiap tahun.

Definisi sihat tidak terhad kepada kesihatan fizikal semata-mata, malah meliputi kesihatan mental dan sosial. Gaya hidup sihat menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bermaksud kita perlu melakukan amalan tertentu seperti menjaga pemakanan dan bersenam dalam mengurangkan risiko penyakit dan kematian.

Kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat adalah untuk mengelakkan penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi. Obesiti pula menyumbang kepada pelbagai gejala kesihatan yang boleh membawa maut seperti serangan jantung, strok dan kanser.

Realitinya, kurang kesedaran terhadap gaya hidup sihat ini, boleh meningkatkan risiko kematian. Kajian Kesihatan dan Mobiditi 2019 Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 50.1 peratus rakyat negara ini mempunyai lebih berat badan dan mengalami obesiti, malah hampir 50 peratus tidak tahu mereka menghidapi darah tinggi dan 25 peratus tidak aktif fizikal.

Dari aspek pengambilan diet seimbang, 94.9 peratus rakyat tidak makan sayur dan buah secukupnya, sekali gus semua data ini memberi gambaran kempen kesihatan dilaksanakan KKM belum mencapai impak signifikan dari aspek perubahan sikap dan tingkah laku rakyat.

Harus diingat, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dilancarkan pada 11 November tahun lalu menjadi inisiatif komprehensif untuk membudayakan hidup sihat sejahtera sepanjang hayat. Pendekatan menyeluruh daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta perlu dijadikan keutamaan.

Contohnya, pelaksanaan program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) digerakkan di seluruh negara bagi membendung masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi punca kematian pramatang di negara ini.

Oleh itu, Kempen Gaya Hidup Sihat perlu dipergiatkan melalui platform media sosial kerana usaha memupuk kesedaran kendiri terhadap penjagaan diri memerlukan sistem sokongan padu daripada masyarakat.

Penyertaan dalam persatuan, kelab, agensi, program atau aktiviti berteraskan promosi kesihatan umpamanya boleh mendorong keinginan serta motivasi untuk hidup lebih sihat dan aktif.

Apatah lagi pembabitan komuniti secara bersemuka atau maya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kesedaran menjalani gaya hidup sihat semakin mudah pada masa kini.

Tip dan panduan pemakanan sihat serta aktiviti kecergasan fizikal lebih mudah didapati dengan mengikuti pempengaruh media sosial dalam kalangan jurulatih dan selebriti kesihatan berkelayakan. Pempengaruh terkenal dan popular mempunyai daya tarikan tersendiri hingga dapat mempengaruhi pengikut mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Kesan membabitkan diri dalam komuniti sihat dapat meningkatkan tahap literasi kesihatan yang membantu individu mendapat maklumat kesihatan, membudayakan hidup sihat, membuat kawalan kendiri sebagai tindakan awal mencegah penyakit dan menjaga kesihatan bagi mengelak komplikasi penyakit.

Pelaksanaan kempen berterusan dan pembabitan masyarakat sebegini dapat mewujudkan trend untuk hidup lebih sihat dan aktif hingga menjadi tumpuan semua lapisan peringkat umur demi melahirkan generasi berkualiti dan produktif.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah

Berita Harian X