Rabu, 1 Jun 2022 | 10:45am
Pengarang terkemuka, Zaharah Nawawi meninggal dunia semalam pada usia 82 tahun.
Pengarang terkemuka, Zaharah Nawawi meninggal dunia semalam pada usia 82 tahun.

Zaharah penulis berjiwa kental, idea besar

Pengarang yang baik adalah mereka bangkit melawan dan sedaya upaya memperbetulkan keadaan. Kata-kata itu mungkin tepat untuk menggambarkan kekuatan dan kentalnya semangat, pengarang terkemuka, Zaharah Nawawi meninggal dunia semalam pada usia 82 tahun.

Zaharah, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1996 bukan hanya dikenali sebagai penulis, malah anak kelahiran Johor ini bekas wartawan sejak 1975.

Beliau mula menulis sejak berusia 12 tahun dan meneruskan bakatnya hingga menutup usia akibat barah kulit.

Sumbangannya dalam ranah sastera negara bukan sedikit. Bagi kalangan penulis muda atau mereka mahu belajar menulis, Zaharah sinonim dengan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada November 1997.

Penubuhan kelab itu bukan atas dukungan dana mana-mana pihak, tetapi dengan kesedaran beliau sendiri sebagai pengarang mahu mendidik dan melahirkan generasi penulis baharu.

Sebagai pembaca, penggemar sastera juga dalam kalangan sarjana, Zaharah dikenali menerusi karya beliau membawa idealisme cukup kental. Selain merakamkan pemikiran politiknya, kekuatan jiwa sebagai seorang wanita dan anak Melayu terakam kemas dalam karya antaranya dapat dilihat menerusi novel setebal 1,351 halaman, berjudul Anugerah.

Anugerah walaupun dilihat ramai pengkritik sebagai naskhah berbau feminisme, tetapi bagi mereka yang membacanya dengan mata hati, novel ini membawa pemikiran politik.

Ia disorot daripada kaca mata wanita dengan memperlihatkan perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan.

Selain Anugerah, Zaharah juga menghasilkan Haruman Kencana novel berlatarkan kota Paris, manakala dalam novel Cinta Penyerahan Tragedi beliau menghasilkannya secara bersama dengan Hamidah Kamaruddin.

Meskipun dikenali sebagai novelis, Zaharah juga menghasilkan puisi dengan kumpulan puisi pertamanya Warna & Wajah diterbitkan pada 2003.

Kecintaan Zaharah kepada dunia penulisan kreatif juga menyaksikan beliau meninggalkan kerjayanya di Pustaka Cipta Sdn Bhd dan memperuntukkan masanya membuat penyelidikan mengenai perjuangan anak tempatan menentang komunis di Batu Pahat.

Zaharah ketika itu menerima dana Derma Cipta daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan perjuangan Panglima Salleh Selendang Merah dalam novel menggunakan tajuk sama.

Sebagai penulis, Zaharah dikenali pembaca sebagai penulis kuat jiwanya dan membawa idea besar. Beliau bukan penulis menyajikan pembaca dengan naskhah cinta lara atau putus kasih sesama manusia sebaliknya berkongsi idea mengenai kasih sayang kepada bangsa dan tanah air.

Pemergiannya satu kehilangan besar kepada negara ketika dunia penulisan tradisional semakin dihambat dengan arus media sosial.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita

Berita Harian X