Khamis, 26 Mei 2022 | 9:12pm
Pameran barangan China seperti tulisan khat pada pinggan hiasan menarik perhatian sempena Simposium Pengantarabangsa Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, awal minggu ini
Pameran barangan China seperti tulisan khat pada pinggan hiasan menarik perhatian sempena Simposium Pengantarabangsa Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, awal minggu ini

Bahasa Melayu bantu perkukuh persahabatan China-Malaysia

ANTARA banyak negara di dunia yang menawarkan kursus bahasa Melayu, China adalah sebuah negara yang amat penting dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu varian Tanah Melayu di persada dunia.

Seperti yang diketahui umum, hubungan China dan Malaysia bermula 2,000 yang lalu sejak Dinasti Han dan mencapai kemuncaknya ketika pemerintahan Dinasti Ming di China dan Kesultanan Melaka.

Selepas merdeka, Malaysia menjalinkan hubungan rasmi dengan China pada tahun 1974.

Perhubungan diplomatik antara China-Malaysia telah diangkat tarafnya sebagai "Perkongsian Strategik Komprehensif" semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada tahun 2013.

Secara keseluruhannya, perhubungan dua hala ini berkembang dengan positif sekaligus mendorong perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China.

Pada hakikatnya, seawal 1960-an, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah mula membenih di China.

Pada tahun 1962, Beijing Foreign Studies University (BFSU) merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus bahasa Melayu di China dengan Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.

Usaha murni ini telah menjadi titik permulaan bagi penawaran dan perkembangan kursus bahasa Melayu di China dan hingga kini, institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah membabitkan 11 universiti dan dua kolej.

Menurut statistik setakat Mei tahun ini, sejumlah 41 orang pensyarah China dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 institusi pengajian tinggi China.

Sejumlah 457 orang siswa peringkat sarjana muda dan enam orang sarjana sedang belajar di kampus.

Sejumlah 965 orang lepasan peringkat sarjana muda dan 10 orang sarjana berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam tempoh 60 tahun ini.

Pencapaian Perkembangan Program Ijazah Bahasa Melayu di China

Secara umumnya, program pengajian Melayu di China berfokus pada pengajaran bahasa dan persuratan Melayu, bermatlamat untuk memupuk individu yang mahir menguasai kebolehan mendengar, bertutur, memahami dan berkebolehan menterjemah apa sahaja bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

Di samping itu, jurusan-jurusan bahasa Melayu di China tidak terhad kepada kajian bahasa Melayu sahaja, sebaliknya merangkumi kajian kebudayaan dan kemasyarakatan Melayu.

Harus ditegaskan bahawa pencapaian dan kejayaan melahirkan graduan jurusan bahasa Melayu yang bermutu tinggi di China adalah berkait rapat dengan bantuan dan sokongan berterusan yang amat berharga daripada pihak-pihak Malaysia yang terlibat serta kerjasama erat yang terjalin antara kedua-dua pihak, misalnya Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia ke China serta institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia tempatan, misalnya UM, UKM, USM, UITM dan sebagainya.

Sebagai perkongsian kejayaan pelajar, setakat ini, siswa-siswi jurusan bahasa Melayu di China pernah mendapat johan dua kali, naib johan lima kali dan tempat ketiga satu kali dalam sejumlah 14 sesi Pertandingan Pidato Antarabangsa Piala Perdana Menteri. Inilah salah satu bukti kejayaan pendidikan program pengajian Melayu di China.

Detik-detik Bersejarah Penting dalam Perkembangan Pengajian Melayu di China

Dalam tempoh masa 60 tahun, iaitu sejak pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China mula membenih, berakar, bertumbuh sehinggalah berbuah dengan subur, terdapat beberapa detik bersejarah penting yang bukan sahaja menandakan pencapaian perkembangan bahasa Melayu di China, tetapi juga menjadi lambang kepada hubungan ilmiah dan pendidikan antara China dan Malaysia.

Yang pertama ialah penubuhan Pusat Pengajian Melayu China. Pada 20 Jun 1997, Pusat Bahasa Melayu ditubuhkan di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya tentang pengajaran bahasa Melayu di China.

Perasmian pusat ini disaksikan bersama oleh kedua-dua orang Menteri Pendidikan China dan Malaysia pada ketika itu, iaitu Tuan Zhu Kaixuan dan Datuk Seri Najib Razak.

Pada 1 September 2005 pula, Pusat Bahasa Melayu BFSU dinaikkan taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China. Sejak ditubuhkan, Pusat Pengajian Melayu China telah berfungsi sebagai pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China.

Detik bersejarah yang kedua ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di BFSU. Pada awal tahun 2007, secara rasminya Kursi itu telah ditubuhkan dengan Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dilantik sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu China yang pertama dan yang ketiga, manakala Prof Datuk Dr Mohd Taib dilantik sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu China Kedua oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Kursi yang mula berfungsi pada awal tahun 2008 ini berperanan memperkenalkan bidang-bidang baharu dalam pengajian Melayu, meningkatkan program ilmiah pada peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa dan juga pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di China.

Satu lagi detik bersejarah ialah penubuhan Sekretariat Penggerak Pengajian Melayu China (SPPMC). Pada 4 Januari 2019, dengan bantuan dan sokongan Education Malaysia Beijing, Kedutaan Besar Malaysia ke China, Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China Kali Pertama berjaya diadakan di BFSU.

SPPMC telah ditubuhkan dalam mesyuarat ini bertujuan untuk menggalakkan komunikasi dan kerjasama antara institusi-institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus bahasa Melayu di China, di samping memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan antara China dan Malaysia.

Kesimpulan

Kini, kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sedang berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara khasnya dan di arena antarabangsa amnya.

Usaha-usaha Kerajaan Malaysia seperti ini akan menjadikan bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa ilmu yang lebih hebat dan bahasa berwibawa lagi berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Pepatah Melayu berkata, "Bersekutu bertambah mutu", kami yakin bahasa Melayu akan mempunyai masa depan yang lebih cemerlang dengan kerjasama kita semua. Persahabatan China-Malaysia juga akan terus diperkukuh dengan perkembangan pengajian Melayu di China.

Penulis:

1. Prof Dr Su Yingying @ Suria

,Dekan Institusi Pengajian Asia, Beijing Foreign Studies University

2. Dr. Han Xiao @ Indah

,Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Institusi Pengajian Asia, Beijing Foreign Studies University

Berita Harian X