Rabu, 16 March 2022 | 11:00am
Tindakan drastik dan berkesan perlu diambil segera bagi mengelakkan banjir terus berlaku di ibu negara. - Foto hiasan
Tindakan drastik dan berkesan perlu diambil segera bagi mengelakkan banjir terus berlaku di ibu negara. - Foto hiasan

Pembangunan, pengangkutan lestari elak Kuala Lumpur 'tenggelam'

BEBERAPA kawasan di Lembah Klang terutama di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur sekali lagi ditenggelami banjir kilat akibat fenomena hujan lebat luar biasa pada 7 Mac lalu.

Kejadian hujan lebat disertai ribut petir dan angin kencang melanda ibu kota serta kawasan sekitarnya pada awal Mac ini adalah kali kedua dicatat dalam tempoh tiga bulan.

Kejadian sama turut berlaku pada Disember tahun lalu yang bukan sahaja menenggelamkan beberapa lokasi di Kuala Lumpur, namun turut menyaksikan beberapa kawasan di Selangor terjejas teruk.

Fenomena hujan luar biasa ini bukan perkara mengejutkan ketika seluruh dunia mengalami perubahan iklim semakin hari semakin membimbangkan. Minggu lalu kita menyaksikan banjir terburuk melanda bandar Brisbane di Australia dalam tempoh 20 tahun.

Justeru, tindakan proaktif perlu diambil segera untuk menangani isu perubahan iklim semakin parah hingga mengakibatkan kerugian hingga berbilion-bilion ringgit dalam sekelip mata.

Jumlah kerugian keseluruhan bencana banjir di 11 negeri pada Disember lalu merekodkan RM6.1 bilion, iaitu bersamaan 0.40 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti dinyatakan dalam Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021.

Dalam kejadian terbaru itu pula, ribuan kenderaan ditenggelami air di Kuala Lumpur akibat banjir kilat yang berlaku dalam selang masa tiga bulan.

Hakikatnya, kejadian ini perlu menyedarkan kita mengenai kebergantungan masyarakat kepada kenderaan persendirian untuk ke tempat kerja di ibu kota bukan sahaja membawa kesesakan lalu lintas, malah menjadi penyumbang kepada perubahan iklim.

Perubahan iklim berlaku akibat pemanasan global kerana paras suhu bumi meningkat yang turut berpunca pelepasan gas toksik pencemar daripada kenderaan bermotor.

Selain itu, kebergantungan kita kepada kenderaan persendirian juga petunjuk kelemahan perancangan dan reka bentuk bandar yang komprehensif. Perancangan pembangunan dan reka bentuk bandar sangat penting dalam mengurangkan impak perubahan iklim, selain memastikan bandar di negara ini berdaya tahan terhadap apa juga tekanan dan kejutan.

Justeru, cadangan penting dalam reka bentuk bandar yang boleh bertindak sebagai mitigasi bencana akibat perubahan iklim terbahagi kepada dua, iaitu langkah jangka pendek dan jangka panjang.

Langkah jangka pendek disyorkan memperbanyakkan tanaman pokok jalanan yang berfungsi sebagai teduhan, selain menyerap gas karbon dioksida, menggalakkan dan mengekalkan hutan bandar yang sihat.

Langkah jangka panjang yang perlu diambil pula ialah pembangunan berkepadatan tinggi di lokasi selamat, iaitu mempunyai kelengkapan infrastruktur dan rangka kerja institusi baik bagi mengelakkan taburan bandar tidak sekata yang meluaskan lagi taburan pelepasan gas kesan rumah hijau.

Selain itu, pembangunan bercampur dengan perumahan, tempat kerja dan kemudahan runcit dan perkhidmatan berdekatan antara satu sama lain dapat mengurangkan pelepasan gas toksik pencemar daripada kenderaan.

Begitu juga, reka bentuk menekankan saiz blok bangunan dan lebar jalan lebih kecil, bilangan persimpangan, liputan kaki lima, lintasan pejalan kaki dan pokok jalanan lebih banyak yang semua ini boleh menggalakkan jalan lebih mesra pejalan kaki.

Selain mengambil kira pengurangan masa perjalanan dengan menyediakan pengangkutan awam berdekatan perumahan, tempat kerja dan destinasi tarikan.

Kita juga perlu memelihara kawasan lapang untuk pengurusan air hujan ketika kejadian hujan lebat luar biasa dan penyejukan bandar.

Kerajaan juga disarankan memberi insentif kepada pembangunan di kawasan brownfield, iaitu kawasan yang dahulu digunakan sebagai industri atau kawasan komersial yang mungkin tercemar atau tidak tercemar, tetapi mempunyai potensi dibangunkan semula selepas dibersihkan atau dipulihkan semula.

Pelaksanaan langkah jangka pendek dan panjang itu perlu diwajibkan pihak berkuasa bagi mengurangkan kesan akibat fenomena hujan lebat luar biasa yang semakin parah kebelakangan ini.

Jika langkah itu tidak diambil sekarang, apakah kita mahu mengambil sikap 'tunggu dan lihat' hingga Kuala Lumpur benar-benar tenggelam.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Senibina (Perancangan Bandar dan Wilayah dan Pembangunan Komuniti), Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X