Selasa, 15 March 2022 | 10:45am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pandemik tak halang perpustakaan tingkat mutu perkhidmatan

PANDEMIK COVID-19 melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia sejak 2020 menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularannya.

PKP menyebabkan kerajaan menutup hampir semua sektor ekonomi dan perkhidmatan. Justeru, turut menerima kesannya ialah universiti, kolej, institusi pendidikan dan sekolah. Sebahagian besar institusi pendidikan terpaksa ditutup dan jika dibuka, operasinya berdepan larangan sangat terhad dan ketat.

Dalam hal ini, fungsi perpustakaan di universiti turut terjejas dan terkesan akibat PKP. Namun, perkhidmatan perpustakaan tetap diteruskan dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Keadaan ini mendorong perpustakaan, terutama di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bertindak pantas merangka beberapa aspek keselamatan dan kemudahan pantas bagi memenuhi kehendak pelanggan memerlukan perkhidmatan maklumat segera.

Sekatan larangan dan ruang terhad bagi penggunaan perpustakaan secara fizikal mendorong perkhidmatan diubah sesuai dengan norma baharu bagi mengekalkan fungsinya tanpa sebarang kekurangan.

Dalam mendepani cabaran ini, pustakawan perlu lebih kreatif untuk memastikan fungsi perpustakaan sebagai gedung ilmu dan maklumat kepada pengguna, walaupun berdepan pandemik dan sekatan pergerakan fizikal.

Antara yang terpaksa dilakukan seperti melaksanakan pelbagai kaedah penyampaian maklumat kepada pengguna bagi memastikan fungsi perpustakaan kekal relevan. Ini termasuk mewujudkan perkhidmatan secara dalam talian.

Perkhidmatan ini bukan sekadar dalam urusan meminjam dan pemulangan buku atau bahan ilmiah, sebaliknya segala maklumat yang dicari pengguna khususnya penuntut serta kakitangan akademik.

Penambahbaikan perkhidmatan perlu dilaksanakan seperti mewujudkan sistem pengesanan aktiviti pengguna. Sistem ini dibangunkan bagi kegunaan merekod kehadiran pelawat ke perpustakaan sepanjang tempoh pendemik.

Ia dibangunkan melalui aplikasi pengaturcaraan program 'php' atau sumber terbuka yang bertujuan mengesan data maklumat pengguna sama ada kakitangan akademik, pelajar atau pengguna luar.

Sistem ini mampu mengenalpasti jumlah pengguna perpustakaan dan berintegrasi dengan sistem pangkalan data. Sistem ini boleh diakses melalu login berasaskan nombor identiti pelajar, kad pengenalan atau kod bar pengguna.

Sistem ini juga mampu mengesan maklumat lengkap pelawat seperti nama, alamat, telefon, emel, kod serta tarikh dan masa mereka masuk ke perpustakaan.

Setiap rekod kemasukan ini disimpan bagi membolehkan dapatan semula data pihak perpustakaan untuk mengenalpasti pelawat berisiko kepada kontak jangkitan dan dihubungi. Sistem ini berkesan untuk mengesan lokasi kontak rapat.

Sistem lain disediakan perpustakaan, termasuk sembang dalam talian perpustakaan kerana perkhidmatan runding rujuk secara bersemuka adalah perkhidmatan sangat penting memberikan maklumat segala keperluan pengguna, seperti nasihat pencarian maklumat dan rujukan penyelidikan ilmiah.

Sepanjang PKP, perkhidmatan bersemuka bersama pelajar terpaksa dihentikan. Oleh hal demikian, satu aplikasi sembang secara maya boleh dibangunkan seperti dilaksanakan di Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sistem sembang secara maya ini dibangunkan sebaik saja PKP dilaksanakan tetapi dikawal selia oleh pustakawan bagi menjawab segala persoalan secara terus dengan pengguna.

Langkah proaktif lain ialah membangunkan laman web COVID-19 yang memuatkan tiga perkara utama seperti maklumat umum jangkitan COVID-19, berita terkini, senarai koleksi bahan berkaitan COVID-19, koleksi terbuka dan infografik.

Maklumat langsung dari portal Kementerian Kesihatan (KKM) serta pesanan dari kerajaan turut disediakan di laman web ini bagi kemudahan pengguna.

Pustakawan juga perlu melihat alternatif lain bagi memastikan perkhidmatan kepada pengguna tidak terjejas. Ini termasuk mengambil inisiatif mengkaji beberapa sistem pengurusan perpustakaan lain bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan perpustakaan yang cekap dan berkesan dikekalkan.

Pembangunan sistem perpustakaan berasaskan 'sumber terbuka' membolehkan tugas katalog bahan mampu dilakukan secara bekerja di rumah (WFH). Hasil daripada pembangunan ini mampu memberikan impak besar kepada produktiviti dan hasil kerja staf perpustakaan walaupun hanya bekerja di rumah.

Sepanjang PKP, pustakawan juga perlu mencari jalan bagaimana hendak membolehkan pengguna membuat pencarian pelbagai maklumat di pusat setempat tetapi masih dapat berhubung dengan perpustakaan.

Kaedah ini mengubah pandangan pengguna daripada penggunaan pencarian melalui 'Online Public Access Catalog' (OPAC) kepada pusat pencarian sehenti mirip pencarian enjin Google dan lebih bebas.

Secara keseluruhannya, pustakawan perlu mengambil langkah proaktif dan mempelbagaikan ilmu dalam menangani norma baharu perkhidmatan mereka ketika dan pasca COVID-19.

Segala isu dan permasalahan mengenai perkhidmatan perpustakaan perlu ditangani dan direkodkan sebagai rujukan data bagi membantu membuat keputusan di masa hadapan.

Dalam dunia serba moden dan canggih dengan kemajuan ICT, pustakawan perlu 'berevolusi' dan 'berevolisasi' secara 'versatile' bagi memenuhi keperluan pengguna dan organisasi.

Pustakawan juga perlu berasimilasi dengan pantas dengan teknologi baharu dalam mendepani perubahan persekitaran mengikut keperluan serta kemahiran tambahan diperlukan.

Pada era digital, menjadi keperluan bagi pustakawan untuk lebih inovatif dan kreatif, memaparkan karakter luar biasa untuk berdepan dengan pandemik serta mengekalkan penyampaian perkhidmatan cekap kepada pengguna.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X