Jumaat, 11 March 2022 | 11:00am

Memartabat bahasa Melayu tuntut kerjasama semua pihak

Usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa global bukan sesuatu yang mustahil, namun ia memerlukan semangat jati diri kental demi kelangsungan memartabatkan bahasa Melayu.

Matlamat memartabatkan bahasa Melayu pula tidak boleh diletakkan kepada peranan pihak tertentu sahaja tetapi menuntut komitmen seluruh rakyat.

Dukungan pihak berkepentingan khususnya pemimpin negara dalam mengiktiraf bahasa Melayu turut menjadi syarat penting bagi memperkukuhkan martabat bahasa kebangsaan pada peringkat antarabangsa.

Penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang mahu bahasa Melayu digunakan bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk kerja di luar negara sangat dinantikan pejuang bahasa kebangsaan.

Ia menunjukkan pucuk pimpinan utama negara menyuarakan keyakinan bahasa Melayu boleh menjadi bahasa antarabangsa.

Ia jelas menyokong kewibawaan bahasa Melayu menjadi 'lingua franca' dalam semua bidang terutama pentadbiran, pendidikan, undang perundangan, politik dan ekonomi.

Sebagai warganegara yang cinta bahasa kebangsaan, ini satu petanda untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi perlu dilakukan pelbagai pihak.

Perlu difahami, hal ini dapat memenuhi matlamat pembinaan negara bangsa dan membentuk identiti kebangsaan. Peranan pemimpin negara amat ditagih bagi memastikan matlamat ini dilaksanakan di negara ini dan rantau ASEAN serta dunia.

Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut meletakkan asas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha memperkasa bahasa Melayu untuk menjadi bahasa global.

Ini dibuktikan dengan kenyataan media Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang KPT komited memulakan kerjasama strategik untuk mengembangkan aspek penting tamadun alam Melayu ke peringkat antarabangsa.

Tegas Noraini, program pengembangan bahasa Melayu di institut pengajian tinggi (IPT) di negara ASEAN dapat melonjak taraf dan peranan bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai 'lingua franca' bahkan bahasa ilmu dan bernilai ekonomi di rantau ini.

Ini memberi impak kepada pengiktirafan penulisan akademik dalam dunia pendidikan tinggi. Secara tidak langsung memberi merit kepada artikel dan buku menggunakan pengantar bahasa Melayu.

Hal ini juga memberi peningkatan profesionalisme seseorang ahli akademik. Di samping itu, pemberian peruntukan geran penyelidikan menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu diberi keutamaan.

Penyelidikan berteraskan teknologi, maklumat dan komunikasi serta sains dan matematik juga perlu bersandarkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Perlu disedari, bahasa Melayu bukan sekadar bahasa kebangsaan, ia juga alat penyatuan dan perpaduan, alat kreativiti insan membentuk kehidupan lebih baik dan bahasa ilmu mengangkat ekonomi negara.

Oleh hal yang demikian, masyarakat sepatutnya tidak berasa segan dan janggal dengan bahasa Melayu.

Di samping itu, bahasa kebangsaan juga adalah asas peradaban ilmu. Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai alat interaksi seharian, ia memiliki peranan lebih besar iaitu sebagai identiti dan penegak tamadun.

Jika mahu melihat masyarakat luar menghormati dan mengiktiraf bahasa Melayu, ia perlu dijadikan tali pengikat menyatupadukan masyarakat Malaysia.

Apa yang penting, tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi dapat membentuk masyarakat tinggi ilmu dan peradabannya tanpa meminggirkan bahasa lain dituturkan di negara ini.

Penulis adalah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X