Sabtu, 26 Februari 2022 | 11:01am
 Ambil insurans atau takaful apabila bercuti ke luar negara sebagai ‘penyelamat’ ketika musibah. - Foto hiasan/BERNAMA
Ambil insurans atau takaful apabila bercuti ke luar negara sebagai ‘penyelamat’ ketika musibah. - Foto hiasan/BERNAMA

Usah abai kepentingan insurans, takaful ketika melancong

Cuti penggal akhir sekolah sudah bermula. Lazimnya ia menjadi waktu ditunggu-tunggu pelbagai industri terutama pelancongan. Ia juga biasanya masa dinanti-nanti Keluarga Malaysia untuk bercuti bersama ke destinasi pelancongan.

Penggerak industri pelancongan sama ada pengusaha hotel, homestay atau inap desa pasti sudah 'berkira-kira' perolehan yang mungkin dapat dijana apabila orang ramai bercuti.

Tempoh cuti penggal tiga minggu ini dijangka merancakkan kembali industri pelancongan yang hampir lumpuh sejak 2020 akibat penularan COVID-19.

Justeru, sejak pengumuman kebenaran rentas negeri oleh kerajaan pada suku keempat tahun lalu, industri pelancongan serba sedikit menunjukkan peningkatan dari segi permintaan dalam kalangan pelancong tempatan.

Ini menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan, terutama keberkesanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menangani COVID-19.

Namun, sejak ledakan varian Omicron melanda, usaha merancakkan sektor ini sedikit tersentak. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedar kebimbangan dihadapi penggerak industri pelancongan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy, ketika merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2022, Khamis lalu memberi jaminan segala aktiviti boleh dijalankan seperti biasa dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sudah pasti peluang keemasan ini tidak akan disia-siakan semua, sebaliknya orang ramai boleh merancang percutian yang tertangguh bersama keluarga.

Memetik laporan Visa Voice of Consumer, hampir tujuh daripada 10 rakyat Malaysia menyatakan tidak sabar untuk melancong. Hampir 40 peratus pula dilaporkan merancang melancong ke luar negara bermula pertengahan tahun ini.

Pembukaan sempadan antarabangsa kepada pelawat dari semua negara pada masa terdekat pula, pasti merancakkan industri pelancongan tempatan.

Namun, dalam keterujaan kita, terdapat beberapa perkara perlu diutamakan. Antaranya, keperluan menyediakan insurans atau takaful perjalanan bagi melindungi sebarang risiko tidak diingini. Perlindungan ini sering diabaikan dan boleh menyebabkan percutian berubah menjadi tragedi.

Persediaan bagi menghadapi sesuatu tidak diingini perlu diambil perhatian ketika bercuti. Polisi perlindungan perjalanan bukan saja untuk perlindungan semata-mata, bahkan banyak manfaat boleh dinikmati.

Ia memastikan kita boleh menikmati percutian dengan tenang tanpa sebarang kerisauan. Lazimnya, ia memberi jaminan perlindungan untuk kerugian, kemalangan dan apa saja bentuk kesulitan boleh menjejaskan perjalanan percutian.

Namun, ramai sering salah faham dengan perkara ini, sebaliknya berpendapat insurans atau takaful perjalanan tidak perlu diambil jika sudah memiliki insurans atau takaful perubatan.

Harus diingat perlindungan perubatan hanya melindungi kos rawatan dan perubatan di hospital, manakala insurans dan takaful perjalanan pula melindungi diri daripada sebarang risiko semasa perjalanan percutian.

Antara skop perlindungan dan manfaat sering ditawarkan syarikat insurans serta pengendali takaful ialah pampasan penuh apabila orang dilindungi meninggal dunia atau hilang upaya kekal akibat kemalangan ketika perjalanan termasuk bayaran perubatan kecemasan, perpindahan perubatan seperti perkhidmatan penghantaran pulang pesakit atau jenazah. Begitu juga, manfaat perlindungan tambahan jika menyertai aktiviti berbahaya.

Pengguna juga akan mendapat manfaat perlindungan liabiliti undang-undang pihak ketiga bagi sebarang bentuk kecederaan atau kehilangan dan kerosakan harta benda dalam perjalanan.

Di samping itu, terdapat pengendali perlindungan perjalanan menawarkan produk baharu dalam bentuk perlindungan manfaat tambahan COVID-19 dalam perjalanan.

Ini sudah pasti memberikan lebih keyakinan kepada individu untuk melancong atas jaminan perlindungan terhadap jangkitan virus ini.

Justeru, mana-mana individu yang ingin bercuti ke luar negara perlu mengambil insurans kembara untuk menjadi 'penyelamat' jika berlaku perkara tidak diingini.

Pelbagai kes membabitkan rakyat terkandas dan memerlukan banyak wang bagi menampung kos rawatan di luar negara seperti pernah dilaporkan media sebelum ini wajar menjadi pengajaran.

Namun, setiap syarikat pengendali perlindungan perjalanan menawarkan pelbagai pelan perlindungan dan manfaat berbeza.

Di sini, amat penting untuk kita menyemak dengan teliti semua jenis manfaat perlindungan, pengecualian termasuk terma dan syarat polisi insurans atau sijil takaful untuk memastikan pelan perlindungan itu bersesuaian dengan keperluan perjalanan percutian.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Berita Harian X