Khamis, 17 Februari 2022 | 11:00am
PdP secara maya tuntut pelajar IPT lebih berdisiplin dan beretika untuk hadiri kuliah. Foto hiasan/Rohanis Shukri
PdP secara maya tuntut pelajar IPT lebih berdisiplin dan beretika untuk hadiri kuliah. Foto hiasan/Rohanis Shukri

Pembelajaran secara maya gugat nilai murni pelajar IPT

Selepas hampir dua tahun negara kita mendepani cabaran COVID-19, masyarakat dilihat mula terbiasa dengan kehidupan norma baharu. Walaupun kes terus meningkat saban hari, masyarakat kini keluar bekerja serta menjalani rutin harian dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Kesan kehidupan ini bukan hanya dilihat dari aspek ekonomi, malah turut memberi impak kepada aspek pendidikan di Malaysia, terutama bagi pendidik di universiti sama ada awam atau swasta.

Sebelum wujud wabak ini, pendidik mungkin kurang terdedah dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya atau ODL (Online Distance Learning).

Kini, selepas pelaksanaan ODL menginjak tahun ketiga, pendidik tidak lagi canggung menguruskan peranti, laman sesawang dan aplikasi memudahkan proses PdP.

Dari sudut berbeza, kerjasama daripada pelajar untuk memastikan proses PdP dapat dijalankan mengikut jadual, amat dituntut. Interaksi dua hala di antara pelajar dan pendidik dapat memastikan perjalanan ODL lancar serta berkesan.

Namun, apa yang menjadi kebimbangan pendidik di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah mengenai peminggiran nilai murni dalam kalangan pelajar.

Ketika penggunaan pelbagai peranti menjadi keperluan mendesak pada masa kini, terdapat segelintir pelajar masih belum dapat memanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan pembelajaran secara ODL.

Isu disiplin serta etika pelajar dalam menghadapi proses PdP secara maya ini memberikan cabaran kepada pendidik. Realitinya, terdapat segelintir pelajar bersikap sambil lewa menghadirkan diri ke kuliah ODL.

Antara faktor yang menyumbang kepada sikap pelajar ini adalah pendedahan yang meluas terhadap penggunaan media sosial menerusi peranti mudah alih dan mudah mengakses pelbagai laman sesawang tidak berkaitan.

Pelaksanaan tugasan juga sukar untuk dilakukan secara berkumpulan sehingga memberi kesan kepada pencapaian objektif pembelajaran, serta penerapan nilai murni yang ditetapkan bagi sesuatu kursus.

Cabaran penerapan nilai murni ini memberi kesan kepada agenda universiti dan negara untuk melahirkan pelajar serta graduan masa hadapan yang berdaya maju.

Melihat kepada impak COVID-19 dari pelbagai sudut, pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menekankan kepada pelaksanaan perubahan dan transformasi negara untuk mendepani cabaran COVID-19.

Di antara strategi RMK-12 yang menjurus kepada transformasi agenda pendidikan negara adalah untuk membangunkan bakat masa hadapan dengan menambah baik hasil pembelajaran.

Selain daripada pencapaian akademik, penekanan juga dibuat terhadap pemupukan nilai murni, sikap dan tingkah laku baik dalam kalangan pelajar.

Di samping itu, pelan strategik jangka pendek dan panjang akan dikaji semula untuk memupuk nilai dan membangunkan karakter pelajar secara menyeluruh.

Oleh itu, pihak pentadbiran universiti, pendidik, serta pelajar perlu bekerjasama dan berperanan untuk mengambil langkah lebih berkesan bagi mendepani cabaran peminggiran nilai murni susulan pelaksanaan ODL.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor

Berita Harian X