Jumaat, 7 Januari 2022 | 11:01am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Imbangi pembangunan, kelestarian alam sekitar

BANJIR besar bukanlah asing di negara ini kerana monsun timur laut antara November dan Februari serta musim antara monsun (April dan Oktober) biasanya membawa keamatan hujan tinggi, seterusnya menyebabkan banjir di beberapa kawasan tertentu.

Malaysia mengalami fenomena alam itu hampir setiap tahun tetapi banjir besar paling dahsyat pada abad ke-20 direkodkan pada 1926, 1963, 1965, 1967, 1969, 1971, 1973, 1979, 1983, 1988 dan 1993.

Namun, 20 tahun kebelakangan ini, kejadian banjir benar-benar meninggalkan impak sangat besar pada negara dan rakyat direkodkan berlaku pada Disember 2006/Januari 2007 seperti di Kota Tinggi; 2009/2010 (Kedah dan Perlis) serta 2014 (Kelantan, Terengganu dan Pahang).

Baru-baru ini, bencana banjir berlaku di luar jangka dan sangat unik kerana memberi kesan amat mendalam terutama kepada penduduk di kawasan tidak dijangka seperti Taman Sri Muda, Shah Alam serta Jelebu.

Media sosial memaparkan rumah kampung hanyut dibawa arus bah deras, kemusnahan harta benda dan kerosakan kemudahan awam hingga mendorong pelbagai persoalan terutama dalam kalangan penduduk ditimpa bencana ini.

Umumnya, masyarakat mempertikaikan keberkesanan pelbagai projek tebatan banjir dan sistem amaran banjir yang sudah serta sedang dijalankan kerajaan. Sememangnya jika dilihat mata kasar, semua projek ini sepatutnya mampu mengurangkan risiko banjir.

Namun, jawapan kepada persoalan ini seharusnya dilihat melalui perspektif lebih luas. Kebanyakan projek ini dijalankan berperingkat berdasarkan peruntukan belanjawan sedia ada dan dilaksanakan pada kawasan berisiko tinggi, contohnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Banyak kawasan ini berjaya dikurangkan impak banjir jika dibandingkan sebelum terbinanya projek tebatan banjir. Pun begitu, selepas terjadinya banjir besar di Selangor dan Negeri Sembilan ini, diharapkan kerajaan meneruskan usaha mengurangkan risiko banjir, terutama di kawasan berkepadatan tinggi.

Kerjasama lebih erat antara kerajaan dengan pakar akademik juga wajar diteruskan. Secara tidak langsung, ia akan melahirkan lebih banyak pakar tempatan dalam bidang ini.

Sememangnya kerajaan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek tebatan banjir. Namun, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu membantu dalam mengurangkan risiko banjir dengan menjaga sistem perparitan dan memelihara kebersihan sungai di kawasan masing-masing.

Masalah pembuangan sampah ke dalam sistem perparitan dan sungai antara faktor utama banjir kerana ia tidak mampu menerima jumlah isi padu air larian sepatutnya, sekali gus mengakibatkan limpahan air bah.

Konsep pembangunan mampan sering dilaungkan dan dipaparkan pada papan iklan perlu dilaksanakan secara telus dan tegas. Malangnya, nilai ekonomi setiap pembangunan ditafsirkan hanya berdasarkan pulangan keuntungan dalam bentuk wang ringgit tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar secara menyeluruh.

Kejadian banjir besar baru-baru ini ternyata mengakibatkan kerosakan signifikan hingga menyebabkan kehilangan nyawa puluhan orang awam.

Sebagai langkah ke hadapan penting, kita sebagai rakyat yang sentiasa inginkan kehidupan harmoni, sejahtera dan selamat perlu mengambil sikap proaktif membantu kerajaan mengurangkan risiko kejadian bencana banjir.

Sikap tidak ambil peduli dan tidak boleh ditegur perlu dibuang, baik sebagai rakyat mahupun kerajaan bagi merealisasikan dan mengukuhkan semangat Keluarga Malaysia.

Nur Shazwani adalah Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Jazuri adalah Profesor Madya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Berita Harian X